MALAYSIA
KKM sasar haram vape sepenuhnya pertengahan 2026

Dr Dzulkefly Ahmad, berkata penetapan garis masa itu dibuat berdasarkan dapatan Jawatankuasa Pakar yang sedang meneliti cadangan berhubung isu berkenaan sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri. - Astro AWANI / Shahir Omar
CYBERJAYA: Kementerian Kesihatan menyasarkan pengharaman penuh rokok elektronik dan vape dapat dilaksanakan selewat-lewatnya pertengahan tahun depan.
Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata penetapan garis masa itu dibuat berdasarkan dapatan Jawatankuasa Pakar yang sedang meneliti cadangan berhubung isu berkenaan sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
"Nota sudah dibentangkan dan memorandum akhir akan dikemukakan dalam masa terdekat.
"Jawatankuasa pakar sedang meneliti secara lebih terperinci untuk dimasukkan dalam pembentangan memorandum. Dari situ Kabinet akan membuat keputusan dan kita tetapkan garis masa bagi pengharaman penuh menjelang pertengahan 2026,” katanya.Beliau berkata demikian selepas melancarkan National Blueprint for Behavioural Insights in Health di sini, pada Khamis.
Blueprint yang dibangunkan KKM dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Malaysia, Brunei dan Singapura itu menekankan bahawa kesihatan serta kesejahteraan tidak hanya bergantung kepada rawatan perubatan semata-mata, tetapi turut dipengaruhi faktor tingkah laku, sistem dan tanggungjawab bersama.
Sementara itu, Dr Dzulkefly menegaskan kementerian tidak boleh mendahului keputusan Kabinet memandangkan sebarang dasar berkaitan kawalan tembakau dan vape perlu mendapat kelulusan di peringkat tertinggi kerajaan.
“Kita mengambil pendekatan secara berfasa dengan matlamat akhir untuk mengharamkan penggunaan vape sepenuhnya. Namun, saya tidak boleh mendahului keputusan Kabinet,” katanya.
Sebelum itu, Dr Dzulkefly dalam jawapan bertulis di Dewan Negara sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan akan mengharamkan sepenuhnya penjualan rokok elektronik atau vape sebagai langkah membendung penyalahgunaan produk berkenaan.
Beliau berkata, pelaksanaannya akan dibuat secara berperingkat bermula dengan pengharaman sistem terbuka sebelum diperluas kepada semua jenis vape sehingga meliputi keseluruhan produk.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami