KUALA LUMPUR:Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menilai cadangan Persatuan Orang-Orang Buta untuk meneruskan operasi perkhidmatan mengurut yang diusahakan mereka. 

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sangat bersimpati dengan kumpulan berkenaan memandangkan pekerjaan itu menjadi satu-satunya punca pendapatan mereka.

"Hari ini saya terima cadangan dibangkitkan, dan saya telah bangkitkannya dalam Mesyuarat Teknikal PKP, dan saya juga menerima cadangan Persatuan Orang Buta yang kerjanya hanya mengurut.

"Saya faham macam mana sukar kehidupan mereka kerana kehidupan mereka bergantung kepada kerja mengurut dan tiada pekerjaan lain, kita sangat simpati. Kita telah meminta KKM melihat kepada perkara ini," katanya dalam sidang media pada Khamis. 

Tambahnya, penelitian KKM perlu dilakukan memandangkan pekerjaan mengurut berkenaan melibatkan aktiviti bersentuhan dengan pelanggan. 

"Perlu diseimbangkan antara keperluan hidup tukang urut Persatuan Orang Buta dengan keperluan menjaga kesihatan sebab mengurut ini melibatkan pekerjaan bersentuhan," tambahnya. 

Selain itu kerajaan juga sedang meneliti banyak lagi cadangan operasi dari pelbagai sektor pekerjaan lain dan akan diumumkan tidak lama lagi.