KKM seru orang ramai lapor kesan sampingan ubat sempena #MedSafetyWeek 2025

Kempen diselaraskan oleh NPRA itu merupakan sebahagian daripada inisiatif global anjuran WHO yang melibatkan penyertaan 130 organisasi dari 117 negara. - Gambar NPRA
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menyeru orang ramai serta anggota kesihatan supaya memainkan peranan aktif dalam melaporkan kesan sampingan ubat terutamanya sempena kempen tahunan #MedSafetyWeek 2025 dari 3 hingga 9 Nov ini.
Ringkasan AI
- KKM menyeru orang ramai serta anggota kesihatan untuk aktif melaporkan kesan sampingan ubat sempena #MedSafetyWeek 2025.
- Kempen diselaraskan oleh NPRA adalah sebahagian daripada inisiatif global WHO yang melibatkan 130 organisasi dari 117 negara.
- Pemantauan keselamatan ubat penting untuk memastikan ubat di pasaran selamat; anggota kesihatan boleh laporkan menerusi PhIS manakala pengguna boleh guna borang ConSERF.
"Pemantauan keselamatan ubat amat penting bagi memastikan ubat-ubatan yang berada di pasaran adalah selamat dan berkesan di samping meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan mengenal pasti serta melaporkan kesan sampingan yang disyaki berpunca daripada ubat-ubatan.
"Semua laporan kesan sampingan yang diterima akan dianalisis untuk mengesan risiko keselamatan terkini seperti kesan sampingan baharu atau menentukan tindakan pengurangan risiko," menurut kenyataan itu.
Menurut KKM anggota kesihatan boleh membuat laporan menerusi Sistem Maklumat Farmasi Hospital (PhIS) di fasiliti kementerian atau dengan menghantar borang manual kepada NPRA melalui e-mel [email protected].
Sementara pengguna boleh berbincang dengan anggota kesihatan atau menghantar borang Pelaporan Kesan Sampingan Ubat atau Vaksin (ConSERF) melalui e-mel atau pos.
"Kerjasama orang ramai amat dihargai dalam memastikan sistem pemantauan keselamatan ubat negara ini sentiasa berkesan dan responsif terhadap sebarang risiko baharu," menurut KKM.
Sepanjang kempen berkenaan, semua pihak digalakkan untuk bersama-sama menyebarkan mesej keselamatan ubat dengan menggunakan #MedSafetyWeek di platform media sosial bagi meningkatkan kesedaran terhadap inisiatif itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


