KOTA TINGGI: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan membina 618 hab rangkaian gentian optik titik kehadiran (PoP) di Johor pada tahun ini, kata menterinya Tan Sri Annuar Musa pada Khamis.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 31 PoP bakal didirikan di kawasan persekolahan di Kota Tinggi, manakala 13 PoP di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama.

Antara lokasi yang terlibat di DUN Johor Lama adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Johor Kampung, SK Panchor, SK Datuk Ismail Saadon, SK Muzafar Shah, dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Tawar.

"Ia adalah sebahagian daripada inisiatif MyDigital, bagi menyediakan kemudahan internet pantas di kawasan luar bandar.

"Sekarang ini kita telah mengeluarkan tender, yang akan ditutup pada 2 atau 3 Mac nanti, melibatkan PoP fasa dua yang akan melibatkan lebih banyak sekolah atau PoP termasuk universiti dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di Felda Pasak di sini.

Menerusi inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) katanya, kadar liputan internet 4G di Kota Tinggi telah meningkat kepada 96.56 peratus sehingga suku keempat tahun lalu, dan ia dijangka melonjak kepada 97.62 peratus pada akhir tahun ini.

Menurutnya sebanyak RM65.29 juta diperuntukan bagi tempoh suku keempat tahun 2020 hingga hujung tahun ini, bagi JENDELA di Kota Tinggi.

Annuar turut memaklumkan sebanyak 87 PEDi telah beroperasi di seluruh Johor setakat ini manakala 14 PEDI baru akan dibina.

"Secara keseluruhan ia akan menjadikan 101 PEDi di Johor termasuk dua PEDi yang telah beroperasi di Kota Tinggi. Ia sejajar dengan saranan kerajaan satu PEDi di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya.

-- BERNAMA