MALAYSIA
KKR pertimbang alternatif bina terowong atasi risiko jalan runtuh, lubang benam

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pertimbangan itu dibuat berdasarkan keperluan geoteknikal dan kesesuaian lokasi berkenaan. - Foto FB Nanta Linggi
KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) mempertimbang kaedah pembinaan alternatif seperti terowong bagi jalan berbukit dan tanah tinggi di seluruh negara untuk mengurangkan risiko runtuhan jalan serta lubang benam.
Ringkasan AI
- KKR pertimbang pembinaan terowong di jalan berbukit dan tanah tinggi sebagai alternatif untuk kurangkan risiko runtuhan dan lubang benam, namun tiada perancangan khusus untuk laluan FT185 buat masa ini.
- RM186 juta diperuntukkan di bawah RMK12 bagi kerja pembaikan cerun di laluan kritikal seperti FT185, termasuk projek besar di Kinta dan Gua Musang.
- KKR manfaatkan teknologi dron dan kaji lebih 2,000 black spot di seluruh negara untuk pemetaan, penilaian cerun, dan kerja baik pulih infrastruktur demi keselamatan pengguna jalan raya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim mengenai cadangan membina terowong atau penggunaan teknologi di jalan berbukit dan tanah tinggi terutama di laluan FT185 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley yang menjadi nadi penghubung antara Kelantan, Pahang dan Perak.
Alexander berkata, laluan FT185 merupakan salah satu daripada 13 laluan kritikal cerun yang dipantau secara berterusan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
Setakat ini, sejumlah RM186 juta telah diperuntukkan di bawah pelbagai fasa Rolling Plan (RP) menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan pencegahan cerun di laluan tersebut.
“Antara projek utama yang telah diluluskan ialah Seksyen 44.1 (Daerah Kinta, Perak) berjumlah RM122 juta, Seksyen 61 (Daerah Gua Musang, Kelantan) RM10.4 juta dan Seksyen 42.7 (Daerah Kinta, Perak) sebanyak RM19.995 juta,” ujar beliau.
Mengenai penggunaan teknologi pula, Alexander berkata, KKR komited memastikan keselamatan dan keberkesanan infrastruktur negara termasuk di FT185.
Ketika ini katanya, teknologi dron sudah dimanfaatkan bagi tujuan pemetaan topografi serta penilaian keadaan jalan raya dan cerun dengan lebih tepat dan cekap.
Sementara itu, mengulas soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin), Alexander berkata, lebih 2,000 lokaliti di seluruh negara dikategorikan kawasan berisiko tinggi atau 'black spot'.
"KKR maklum mengenai masalah yang menjadi keutamaan apabila peruntukan terhad diterima. Kita buat keutamaan kerja baik pulih di kawasan 'black spot'. Jika persimpangan tiada lampu jalan, kita pasangkan lampu untuk pencahayaan supaya lebih selamat digunakan ketika malam dan selekoh kita buat perkara sepatutnya.
"Isu 'black spot' ini memang dikaji dengan teliti untuk memastikan bentuk baik pulih, selain turut melaksanakan Penilaian Keadaan Turapan (PCA) supaya kerja baik pulih kekal sepatutnya dibuat di kawasan berkenaan," ujarnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami