JOHOR BAHRU: Pengurusan Hospital Sultanah Aminah (HSA) menafikan dan memandang serius isu tular berkaitan individu didakwa petugas hospital yang meminta bayaran deposit wad secara tunai tanpa resit rasmi.
HSA menerusi hantaran di Threads memaklumkan siasatan awal mendapati individu berkenaan bukan petugas hospital, dan telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Advertisement
Sehubungan dengan itu, orang awam dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan hanya membuat sebarang bayaran di Kaunter Hasil rasmi serta memastikan resit sah diterima bagi setiap transaksi.
"Langkah ini bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan oleh pihak yang cuba mengambil kesempatan," menurut hantaran itu.
Terdahulu, tular hantaran seorang wanita di Threads yang mempersoalkan sekiranya hospital berkenaan mengenakan bayaran deposit bagi pendaftaran wad.
Dia mendakwa ibunya perlu membayar sejumlah RM30 kepada individu terbabit, iaitu seorang wanita, ketika ingin membuat pendaftaran masuk wad ayahnya tanpa diberi resit bayaran.
-- BERNAMA