PETALING JAYA: Saluran podcast Keluar Sekejap (KS) akan menganjurkan pesta audio siar pertama di Malaysia, KL PodFest 2024 selama dua hari pada 3 dan 4 Februari tahun depan.

Bertempat di Pusat Seni Persembahan Petaling Jaya (PJ PAC), festival sulung dengan kerjasama Media Prima bakal menampilkan barisan 'podcaster' terkemuka dari Malaysia dan Singapura.

Antara lain termasuk lebih 20 sesi rakaman langsung, bengkel, dan aktiviti menarik disajikan buat para peminat, pendengar, dan calon 'podcaster' hujung minggu tersebut.

Ketua kurator dan podcaster Keluar Sekejap, Khairy Jamaluddin berkata KL PodFest 2024 berperanan sebagai platform untuk pencipta mempamerkan pandangan, kisah dan bakat unik mereka.

Ujarnya lagi, festival ini bertujuan memupuk kreativiti, dialog silang budaya, dan peluang ekonomi melalui penyertaan tempatan serta antarabangsa.

"Ia sekali gus menyumbang kepada pemantapan budaya di samping memperkenal negara Malaysia dan negara serantau di peringkat global.

“Misi kami adalah untuk merapatkan jurang antara 'podcaster' dan pendengar, pada masa sama mengalu-alukan pendatang baharu," katanya.

Tambah beliau, industri podcast telah berkembang menjadi pasaran idea dinamik dan berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam industri penyiaran.

“Dengan pelbagai genre daripada hal ehwal semasa kepada gaya hidup dan sukan, KL PodFest 2024 akan menjanjikan pengalaman inklusif untuk semua.

"Merangkumi pelbagai genre topik, KL PodFest 2024 menjanjikan pengalaman inklusif dari isu semasa, hingga gaya hidup dan sukan," jelasnya ketika sidang media KL PodFest 2024 pada Khamis.

Turut hadir, Nazri Noran, Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio merangkap Presiden Radio Komersial Malaysia.

Antara podcast yang akan terlibat adalah Tiber, Malam Seram, Financial Faiz, OKLETSGO, Mr Money TV, SneakerLAH, Mamak Sessions by Jinnyboy, The Amin Idris Show, TTYL, Head Over Heels by Maggy Wang, Balls Deep by The Takeaway, Table Talk by The Takeaway dan Ajar.

Sementara itu, barisan podcast dan jadual penuh akan diumumkan pada 15 Januari depan.

Terdahulu, Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan melancarkan siaran pertama podcast, Keluar Sekejap di saluran YouTube pada awal Mac yang kini berjaya meraih lebih 241,000 langganan dalam tempoh kurang setahun.