Skip to main content

Malaysia

KLDEX dibuka untuk kongsi kisah durian Malaysia dengan dunia

KLDEX
Pelancaran KLDEX menandakan pembukaan Festival Durian Malaysia 2026 yang bertemakan "One Durian. A Whole Malaysia", satu inisiatif yang direka untuk mempromosikan durian Malaysia sebagai ikon budaya dan pelancongan. - Foto Facebook/KLDEX
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pembukaan Kuala Lumpur Durian Experience Centre (KLDEX), tarikan pertama seumpamanya yang didedikasikan kepada "Raja Buah", menandakan usaha baharu untuk mengetengahkan kekayaan warisan durian Malaysia sambil mengukuhkan kedudukan negara dalam pasaran durian premium global.

Pusat yang terletak berhampiran Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) di Jalan Ampang itu dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing pada Sabtu dalam satu majlis yang dihadiri pemain industri, pihak berkepentingan dalam sektor pelancongan serta tetamu jemputan.

Majlis itu turut menampilkan sesi merasa durian yang memperkenalkan beberapa varieti premium Malaysia, selain persembahan kebudayaan secara langsung di seluruh pusat berkenaan bagi meraikan kekayaan warisan durian negara.

Pelancaran itu juga menandakan pembukaan Festival Durian Malaysia 2026 yang bertemakan "One Durian. A Whole Malaysia", satu inisiatif yang direka untuk mempromosikan durian Malaysia sebagai ikon budaya dan pelancongan, di samping menghubungkan pekebun, pengeksport, pemain industri pelancongan, rakan kongsi budaya, pencipta kandungan dan perniagaan tempatan.

Dibangunkan oleh MyBolehBoleh, KLDEX diasaskan bersama oleh Ang Kean Wee dan Edison Ang Wei Phang.

Pusat berkeluasan 20,451 kaki persegi itu mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Tourism Malaysia.

Berucap pada majlis pelancaran itu, pengasas bersama KLDEX yang juga pengasas MyBolehBoleh, Edison Ang berkata pusat berkenaan ditubuhkan bagi memelihara dan mendokumentasikan secara sistematik kisah di sebalik varieti durian unik Malaysia, yang kebanyakannya masih kurang dikenali meskipun memiliki reputasi di peringkat antarabangsa.

"Visi kami adalah untuk memelihara warisan budaya durian Malaysia serta mendokumentasikan secara sistematik kisah di sebalik varieti durian Malaysia yang tersendiri seperti D24, Musang King dan Black Thorn.

"Walaupun durian Malaysia terkenal di seluruh dunia, kisah-kisah berharga ini jarang diceritakan secara menyeluruh," katanya.

Edison berkata KLDEX diwujudkan bukan sekadar sebagai tarikan pelancongan, tetapi sebagai platform untuk memperkenalkan identiti budaya Malaysia menerusi buah ikonik negara.

Beliau berkata Musang King dan Black Thorn telah menerima pengiktirafan petunjuk geografi (GI), sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai varieti durian yang berasal dari Malaysia, manakala durian negara terus mendapat pengiktirafan antarabangsa kerana aroma yang kaya serta profil rasa yang kompleks.

Sementara itu, Pengasas Bersama merangkap Pengarah Urusan KLDEX Ang Kean Wee berkata pusat itu tidak pernah dirancang sekadar menjadi tempat orang ramai menikmati atau membeli durian.

"Kami mahu KLDEX bukan sekadar menjadi tempat menjual durian, tetapi sebuah pusat pengalaman durian yang membolehkan orang ramai mempelajari mengenai durian Malaysia dan sejarahnya, di samping membantu dunia mengenali bahawa varieti premium seperti Musang King dan Black Thorn berasal dari Malaysia," katanya.

Beliau berkata KLDEX juga berharap dapat mendidik pengunjung mengenai keunikan durian Malaysia, termasuk amalan penuaian tradisional yang membolehkan buah masak secara semula jadi sebelum gugur dari pokok, berbeza dengan kaedah yang digunakan di beberapa negara jiran.

Menurut Ang, memelihara amalan itu penting bagi mengekalkan kualiti serta rasa tersendiri yang menjadikan durian Malaysia semakin mendapat permintaan di pasaran antarabangsa.

Mengulas perancangan masa depan, Edison berkata KLDEX akan menjadi titik permulaan untuk membawa kisah durian Malaysia ke luar negara menerusi Festival Durian Malaysia.

"Kami merancang membawa festival ini ke luar negara, bermula dengan lima wilayah dan 10 bandar di China," katanya sambil menambah bahawa China kekal sebagai pengguna durian terbesar dunia, merangkumi sebahagian besar permintaan global.

KLDEX dipromosikan sebagai pusat pengalaman durian bersepadu pertama dan terbesar di Asia, menawarkan pengunjung pengalaman imersif menyelami budaya durian Malaysia menerusi muzium, pameran interaktif, teater imersif, program pendidikan, premis runcit serta pengalaman makanan dan minuman.

Pengunjung KLDEX boleh meneroka arkib sejarah yang menelusuri asal usul serta evolusi durian Malaysia, zon pengalaman bertemakan dusun yang memaparkan kaedah penanaman tempatan dan ekosistemnya, selain persembahan yang diilhamkan daripada budaya durian Malaysia.

Pusat itu turut menempatkan ruang runcit serta makanan dan minuman yang menawarkan pelbagai produk berasaskan durian, manakala bengkel pendidikan dan sesi penceritaan budaya diadakan bagi memberikan pemahaman lebih mendalam kepada pengunjung mengenai warisan durian Malaysia.

Ditubuhkan pada 2023, MyBolehBoleh ialah syarikat peruncitan dan pengeksport durian Malaysia yang giat mempromosikan durian Malaysia di peringkat antarabangsa di samping memperkenalkan kekayaan budaya serta industri durian negara.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement