MALAYSIA
KLIA capai standard global kecekapan pelepasan dengan tambah baik ruang udara - CAAM

KLIA berjaya mencapai kecekapan pelepasan selaras dengan piawaian global selepas pelaksanaan penambahbaikan ruang udara, pencapaian penting dalam keupayaan pengurusan trafik udara Malaysia. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya mencapai kecekapan pelepasan selaras dengan piawaian global selepas pelaksanaan penambahbaikan ruang udara, pencapaian penting dalam keupayaan pengurusan trafik udara Malaysia.
Ringkasan AI
- KLIA capai kecekapan pelepasan global selepas laksana operasi berlepas serentak SIPDO di tiga landasan.
- Kecekapan laluan pelepasan KLIA 86.54%, melebihi penanda aras global walaupun trafik udara naik 15%.
- CAAM komited tingkat inovasi dan keselamatan, jadikan Malaysia peneraju pengurusan trafik udara serantau.
"Prosedur ini direka dengan piawaian pemisahan yang ketat serta sistem pengurusan trafik udara yang canggih bagi memastikan tahap keselamatan tertinggi di samping mengurangkan kelewatan, mengoptimumkan aliran trafik dan meningkatkan jumlah kapasiti pelepasan," katanya.
Menurut pihak berkuasa penerbangan itu, inisiatif berkenaan dibangunkan berasaskan kejayaan terdahulu "Simultaneous Independent Parallel Approach Operations Based (SIPA) on Flight Direction" atau operasi pendekatan mendarat secara serentak dan bebas di landasan selari berdasarkan arah penerbangan, yang mula diperkenalkan pada Oktober 2024.
CAAM berkata kedua-dua penambahbaikan ini bertujuan memperkemas laluan ketibaan dan pelepasan pesawat di Kawasan Olah Gerak Terminal (TMA) Kuala Lumpur, iaitu hab penting bagi operasi ruang udara Malaysia dan serantau.
Menurut kenyataan itu, berdasarkan data prestasi ruang udara yang dikumpul pada Mei 2025, KLIA mencatatkan kecekapan laluan pelepasan sebanyak 86.54 peratus, melebihi penanda aras global iaitu 86.34 peratus.
Walaupun jumlah trafik udara meningkat sebanyak 15 peratus sejak Oktober 2024, lapangan terbang itu turut merekodkan peningkatan kecekapan laluan ketibaan sebanyak 1.34 peratus, katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata pencapaian ini membuktikan komitmen CAAM terhadap inovasi, keselamatan dan kecekapan dalam pengurusan ruang udara Malaysia.
"Dengan mengadaptasi amalan terbaik antarabangsa serta memanfaatkan prosedur canggih seperti inisiatif ini, Malaysia sedang menempatkan posisinya sebagai peneraju dalam pengurusan trafik udara serantau," katanya dalam kenyataan sama.
CAAM berkata pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan syarikat-syarikat penerbangan bagi memastikan peningkatan mutu perkhidmatan di ruang udara yang turut membawa perubahan positif dari segi kecekapan operasi di darat.
Menurutnya pelaksanaan ini akan terus dipantau dengan rapi, dengan perancangan pada masa hadapan untuk meluaskan penambahbaikan ini ke seluruh sistem ruang udara negara.
Pencapaian ini dijangka dapat menyokong permintaan sektor penerbangan yang semakin meningkat, mengukuhkan keyakinan industri serta memperteguh kedudukan Malaysia sebagai hab penerbangan serantau. kata CAAM.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami