SERIAN: Kelemahan dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan proses pelaksanaan ujian calitan COVID-19 didapati antara punca 239 tahanan di Depot Imigresen Semuja di sini dijangkiti virus itu.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Openg berkata kesemua tahanan sepatutnya perlu menjalani ujian calitan dan disahkan negatif sebelum dihantar ke pusat tahanan berkenaan, namun SOP itu tidak dipatuhi.

"Selain itu, punca lain virus itu merebak dengan pantas ialah keadaan di depot berkenaan yang menempatkan terlampau ramai tahanan dengan kira-kira 75 orang di dalam satu blok. Bilangan tahanan yang ramai ini agak menyukarkan pematuhan kepada SOP penjarakan fizikal," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mendengar taklimat pengurusan tahanan oleh Pengarah Imigresen Sarawak Datuk Ken Leben di sini semalam.

BACA: Wujud pelanggaran SOP di Depot Tahanan Semuja - Uggah

BACA: COVID-19: Sarawak lapor pertambahan 124 kes positif, satu kluster baharu

BACA: Dakwaan pengabaian SOP di depot tahanan, JPBN Sarawak lakukan siasatan

Abang Johari berkata justeru, blok tambahan sementara akan dibina untuk menempatkan tahanan yang terlibat bagi tujuan kuarantin di dalam depot terbabit dengan menempatkan 10 tahanan di dalam satu bilik berbanding 20 tahanan sebilik ketika ini.

Seramai 463 tahanan yang ditempatkan di Depot Imigresen Semuja belum dapat diusir kerana pelbagai isu antaranya penerbangan terhad, sempadan negara masih ditutup, tiada peruntukan tiket, tiada dokumen, tiada maklum balas kedutaan dan tidak mendapat pengesahan kewarganegaraan.

Daripada jumlah itu, seramai 239 tahanan telah disahkan positif dan tiada kakitangan imigresen dilaporkan dijangkiti virus itu.

Turut hadir pada sesi taklimat itu ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail, Pengarah Kesihatan Negeri Dr Chin Zing Hin dan Pengarah Penjara Negeri Mohamad Rosidek Musa.

-- BERNAMA