Kementerian Kesihatan (KKM) pada Selasa memaklumkan kluster persidangan gereja di Kuching, Sarawak yang dikesan sejak 15 Mac lalu telah berkahir.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 2,751 individu telah disaring, manakala 191 kes didapati positif COVID-19 membabitkan kluster tersebut, setakat hari ini.

Jelas beliau, kluster tersebut melibatkan sehingga lima generasi dari pelbagai kawasan di Sarawak.

“Kini, kluster ini telahpun sampai ke pengakhirannya.

“KKM ingin mengucapkan syabas kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBS) serta semua petugas yang telah memberikan perkhidmatan masing-masing dalam segala aktiviti berkaitan kluster ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jelas Dr Noor Hisham, 12 kes daripada kluster tersebut dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), selain terdapat tiga kematIan.

Berikut perincian kematian membabitkan kluster tersebut:

- Kematian ke-2 (iaitu kes ke-358);

- Kematian ke-37 (iaitu kes ke-2,471);

- Kematian ke-67 (iaitu kes ke-2,864).