MAAF.. tajuk kali ini agak sensasi. Namun, penyanyi ini pernah bersama band pop Melayu di Singapura pada awal 50-an.

Malah, pernah menyanyikan lagu-lagu S. Afendi, M. Bakri, Sam Saimun dan lagu-lagu tema filem Hindi.

Vokalis muda ini muncul pada era trend kumpulan gitar rancak baru membentuk arus hiburan pop.

Minatnya pada muzik sangat serius hingga memberanikan diri menyertai Bintang Radio di Singapura.

"Saya juga menyanyi di majlis makan malam meraikan tetamu," kata anak Melaka yang merantau ke Singapura pada usia remaja.

Dunia mudanya ranggi dan penuh keghairahan pada muzik. Bagi memahirkan diri sebagai penyanyi, wartawan muda ini menerima didikan vokal daripada pemuzik terkenal, Ahmad Wan Yeh.

Maaf. Kenapa bintang pop Melayu diangkat sebagai Ikon Membaca KLWBC 2020?

Jawapannya mudah. Penyanyi yang meminati lagu Hindi Tu Mera Chand (runut bunyi filem Dillagi terbitan 1949) - memang penulis hebat.

Setelah lebih 30 tahun meninggalkan impiannya sebagai vokalis, Yang Dipertuan Agung menganugerahkan gelaran Sasterawan Negara (SN) ke Empat pada 1985.

Datuk Seri A. Samad Said (Pak Samad) memang vokalis King Rangers. Selain meminati penyanyi pop Melayu, dia juga peminat filem Dillagi arahan A.R Kardar.

Selain lagu Tu Mera Chand, bersama kugiran anak muda di sekitar Temasik, Pak Samad turut mendendangkan lagu Dewi Manja dan Hai Malam (Sam Saimun) dan Hanya Nyanyian (S Efendi).

"Saya sempat berkawan baik dengan M. Bakrie dan Jeffrydin," katanya.

Pak Samad memang so sweet

Melalui artikel ini, saya memilih tajuk yang "so sweet" bagi memperkenalkan Ikon Membaca KLWBC 2020.

Bunyi agak sensasi dan populis, tetapi inilah rahsia masa remajanya yang tidak pernah saya ketahui. Pak Samad nama besar dalam dunia kesusasteraan Melayu.

Setelah dua dekad menulis, sumbangan dihargai dengan menerima Anugerah SN ketika berusia 53 tahun.

Pak Samad melahirkan banyak karya hebat dalam genre novel, puisi dan drama pentas. Profilnya sebagai sasterawan terlalu panjang kalau mahu dihuraikan.

Google menyediakan tiap inci informasi mengenai degup kesasterawanan anak kelahiran Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka.

Datuk Seri A. Samad Said merupkan ikon Kuala Lumpur World Book Caiptal 2020 . - Gambar Astro AWANI/Shahir Omar

Pak Samad lahir 8 Februari 1932. Kini pada usia 87 tahun, kocak jiwanya tetap kekal sasterawan tegar.

Kanvas seninya memiliki warna-warni. Selain catan profil diri yang penuh daya kreatif - Pak Samad juga
subjek kontroversi.

Pak Samad mengakui, pembabitan dalam politik adalah satu pilihan peribadi.

"Sama seperti Pak Sako dan Ahmad Bustaman, generasi kami ada pengaruh siasah," katanya.

Pembabitan dalam politik bukan warna utama seorang Pak Samad. Secara fakta, dia mengabdi diri pada
kesusasteraan lebih enam dekad.

Senarai panjang judul buku-bukunya adalah bukti - dirinya sasterawan sejati. Malah, proses bukti - dirinya sasterawan sejati.

Malah, proses pembacaannya sangat luar biasa; merentas bangsa, bahasa dan benua. Sepanjang perbualan, Pak Samad mengimbau proses pembacaannya.

Betapa dirinya didewasakan karya-karya John Steinbeck (1902-1968) melalui novel-novel The Grapes of Wrath (1939) dan The East of Eden (1952).

Steinbeck menerima Noble Prize pada 1962.

Selain itu, karya-karya Ernest Hemingway - For Whom The Bell Told (1940) dan The Old Men And The Sea (1952) masih menjadi bahan bacaannya.

Pak Samad juga mengimbau pada raja novel Indonesia, Pramoedya Ananta Toer (1925-2006). Secara spesifik dikaguminya semua karya agung tahanan politik itu ketika dipenjara di Pulau Buru (1965-1979).

Pramoedya menghasilan titralogi Bumi Manusia, Anak Semua Bangsa, Jejak Langkah dan Rumah Kaca ketika dipenjara tanpa bicara oleh Rejim Suharto.

"Saya menemui hampir semua penulis Indonesia dari Angkatan 45. Cuma usaha memenui Pramoedya tidak berjaya walaupun cuba diatur Kerajaan Belanda,"katanya.

Pak Samad sendiri dikagumi kerana rantaian karyakaryanya yang pelbagai - novel, puisi dan drama
pentas.

Dari novel Salina ke Bulan Tak Bermadu di Fatehpur Sikri, Sungai Mengalir Lesu, Adik Datang, Di Hadapan Pulau, Langit Petang dan Daerah Zeni.

Dramanya pula, Di Mana Bukan Selalu Retak, Wira Bukit dan Lantai T Pinkie meninggalkan impak besar di
pentas persembahan.

Pak Samad juga penyair dalam katalisnya yang tersendiri. Bahasa indah tapi keras dan tajam menikam
senario sosial dan kritik politik.

Antologi Benih Harapan, Benih Semalu, Daun Semalu Pucuk Paku, dan Suara Dari Dinding Dewan menjadikan Pak Samad jelas bernada siasah dalam rona sasteranya.

Cuma Al Amin (1999) meninggalkan titik religus yang luar biasa. Pak Samad menulis puisi panjang mengenai biografi Nabi Muhammad.

Selain Al Amin, novel Hujan Pagi dan Salina dianggap pencapaian luar biada dan menjadi mahakarya paling diingati.

Si jambang putih memang menggerunkan

Pada 1987, kali pertama saya melihat Pak Samad ketika hadir pada Pertemuan Penyair Muda Malaysia di
Padang Merbuk, Kuala Lumpur.

Mengaguminya membuatkan diri berasa sangat gerun untuk bertegur sapa. Selepas itu, ratusan kali kami berselisih di Pasar Seni, Masjid Jamek, Masjid Negara dan restoran mamak di
Stesen Keretapi Kuala Lumpur.

Bayangkan sejak 1987 hingga 2019, kami tidak pernah berbual panjang. Apa lagi duduk semeja. Rasa kagum membuatkan saya hanya berani menegur dan bersalaman kalau tersua secara kebetulan Pak Samad tidak pernah tahu saya meminati sastera.

Dia tidak cam saya. Pada pertemuan di kafe berdekatan Bangsar pada Selasa lalu, Pak Samad tidak
perasan yang kami kerap bertemu dan bersalaman.

Tuah saya memang muncul minggu lalu. Selepas 32 tahun, kami bertemu dan sempat mengeteh sambil berbual soal Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia (KLWBC) 2020.

Pak Samad agak terkedu apabila saya menghulurkan tiga buku saya. Ketika itu barulah dia perasan, saya
juga menulis.

"Saya tidak pernah nampak buku-buku ini," katanya jujur.

Sebenarnya, Pak Samad tidak pernah tahu saya pencuri nombor satu. Saya mencuri banyak ilmu dari
buku-bukunya. Malah, ketika melalui kehidupan gulau sebagai hippie pada dekad 80an, saya selalu bertanya pada diri sendiri: "Aku ini mahu jadi apa?"

Jawapannya mudah dan selalu berbisik dalam hati: "Lihat Pak Samad. Kalau dapat jadi macam dia...
baguslah...."

Saya sangat dipengaruhi naratif realisme magis dalam novel Hujan Pagi (1987) berbanding One Hundred Year of Solitude (1967) karya Gabriel Garcia Marquez.

Saya mencuri banyak seni teknik naratif Pak Samad terutama dalam menarasikan diskriptif kehalusan pelataran cerita dalam novel.

Teknik Pak Samad sangat luar biasa; kehalusan naratifnya dalam susunan kata-katanya terasa hidup.
naratifnya dalam susunan kata-katanya terasa hidup.

Ini membuatkan proses pembacaan karya-karyanya umpama menonton sebuah filem di dalam delusi minda.

Kehalusan seni bercerita membuatkan novelnya bergerak seperti frem demi frem lalu menjadi filem
dalam imaginasi pembaca.

Malah, hingga sekarang pun saya percaya: Novel yang baik bukan sekadar dipacu idea yang besar, tetapi memiliki stail penceritaan yang digerakkan bahasa yang indah.

Ketika belajar di USM, SN Shahnon Ahmad berjaya menangkap "pencurian" yang saya lakukan. Shahnon guru saya di kelas Penulisan Kreatif.

"Kamu menulis terlalu Samad Said," kata Shahnon.

Tapi Shahnon guru yang baik. Dia mengajar rahsia kekuatan bahasa dalam naratif penceritaan novelnovel Pak Samad.

"Kalau mahu hebat macam Samad Said, kamu kena menulis puisi. Bahasa Samad sangat indah kerana dia
juga penyair."

Ngeteh dengan Pak Samad dan pesanannya

Kami bertemu jam 10.30 pagi di kafe berdekatan Bangsar. Pertemuan yang diaturkan Tan Sri Johan
Jaaffar.

Saya bertemu lebih dulu dengan anak Pak Samad, Hilmi - 15 minit sebelum Pak Samad muncul dengan kurta serba putihnya.

Kami berempat duduk berbual bersama Era Ramly (wakil KLWBC 2020). Saya gugup agak lama. Apatah lagi ketika Pak Samad menolak pelawaan untuk mengambil minuman. Dia nampak kurang selesa dilayan terlalu sempurna.

Kami bergebang lama. Pak Samad mengulang berkalikali peringatan dan ia melekat dalam fikiran saya.

"Jangan sesekali melupakan sumbangan novel Di Bawah Alunan Ombak (1961) oleh Rashid Ngah dan
novel Ibrahim Omar bertajuk Desa Pingitan (1966),"katanya.

Saya berfikir sepanjang perbualan itu, terutama pesannya. Dua atau tiga kali diulangnya soal keprihatinan pada novel-novel Rashid dan Ibrahim.

"Walaupun dua penulis ini dilupakan dan dianggap tidak besar, tetapi dua novel itu wajar dibaca,"pesannya.

Saya mendengarnya. Saya tahu dua novel itu sebagai buku terbitan dekad 60-an. Cuma, saya tidak sempat
mengenali kedua-dua penulisnya.

"Kalau karya era sekarang, kamu kena baca SM Zakir,"pesan Pak Samad lagi.

KLWBC 2020 menghargai yang lama meraikan yang baharu

Sepanjang dua jam berbual, Pak Samad juga mengingatkan: "Hargai semua Sasterawan Negara. Mereka pun berjuang selama ini. Kerja sastera bukan milik individu."

Era yang hadir pada pertemuan itu mewakili pihak Pengurusan Acara KLWBC 2020. Memang pertemuan itu diatur bagi mendapatkan kebenaran Pak Samad untuk dilantik sebagai Ikon Membaca KLWBC 2020.

Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia 2020

Pak Samad bersetuju tanpa banyak omelan. Tiada syarat dan permintaan. Cuma dengan sedikit pesan.

"Saya menyokong usaha baik untuk KLWBC 2020. Asal saya tidak didewakan. Ingat! Sastera kerja yang
diperjuangan ramai penulis. Hargai mereka semua."

Kami berpisah, tetapi soalan terakhir berlegar pada minatnya sebagai penyanyi King Rangers.

"Apa makna lirik lagu Pak Samad sebut tadi?" Tanya saya.

Pak Samad tersenyum: "Tu Mera Chand... maksudnya, engkaulah bulanku." Kami ketawa.

Moga KLWBC 2020 menjadi tahun perbukuan yang diterangi bulan purnama. Cahaya yang menyemarakkan agenda dan budaya membaca di negara kita.

BACA: KLWBC jadikan buku sebagai gaya hidup 2020

BACA: KLWBC 2020: Jom jadi si gila buku!

____________________________________________________________________

* Zainal Rashid Ahmad merupakan wartawan dan penulis sastera. Beliau telah banyak novel antaranya Hikayat Tanah Jauh (2015), kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014) dan lain-lain. Zainal Rashid Ahmad juga pernah memenangi 38 hadiah sastera.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.