LIPIS: Masalah bekalan air penduduk sekitar Kuala Medang, di sini bakal diselesaikan dengan pembinaan kolam takungan hiliran atau Off River Storage (ORS) bernilai RM12 juta yang telah dimulakan pada Disember lepas.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata projek yang dijangka siap pada November ini akan memanfaatkan kira-kira 3,000 penduduk melibatkan beberapa kawasan antaranya Kuala Medang, Sungai Koyan,Tanjung Gahai dan Agropolitan Gahai.

Beliau berkata menerusi projek berkenaan, masalah loji rawatan air Kuala Medang yang terpaksa dihenti tugas apabila kekeruhan air mencecah 3,000 NTU (Nephelometric Turbidity Unit-tingkat kekeruhan air) dapat di atasi.

"Projek ORS ini adalah satu daripada pendekatan dilaksanakan kerajaan negeri untuk memastikan perkhidmatan bekalan air bersih dapat disediakan dengan sehabis baik untuk penduduk Pahang.

"Kami sentiasa komited untuk membantu selesaikan masalah bekalan air yang mana bagi projek infrastruktur bekalan air baharu serta menaik taraf sistem sedia ada, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM151.28 juta tahun ini iaitu peningkatan sebanyak RM58.78 juta berbanding tahun lepas," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Projek ORS Kuala Medang di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang Roslina Yusop.

Selain memenuhi keperluan bekalan air bagi logi rawatan Kuala Medang, pembinaan kolam takungan ini apabila siap kelak boleh digunakan untuk aktiviti rekreasi setelah turut dilengkapi dengan trek joging.

Sementara itu, beliau memaklumkan penduduk Kuala Medang, di sini bakal mendapat masjid baharu apabila Kerajaan Persekutuan menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) telah meluluskan peruntukan RM5 juta bagi pembinaan.

Wan Rosdy berkata sebanyak 23,617 murid Tahun Satu di seluruh Pahang bakal mendapat bantuan kewangan sebanyak RM100 seorang bagi sesi persekolahan tahun ini, yang mana sejumlah RM2.36 juta telah diperuntukkan untuk tujuan tersebut.

Katanya, inisiatif itu adalah kesinambungan daripada tahun sebelumnya iaitu untuk meningkatkan semangat dan motivasi murid bagi memulakan sesi persekolahan selain membantu meringankan beban ibu bapa mereka.

"Tiada sebarang borang diperlukan dan dapatan nama murid adalah secara automatik menerusi data daripada pihak sekolah dan pejabat pendidikan daerah.

"Bantuan ini akan disalurkan dalam masa terdekat dan diberikan tanpa mengira latar belakang murid," katanya.

-- BERNAMA