Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Pepatah Melayu itu tepat sekali menggambarkan amanah yang digalas Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh dalam menguruskan wilayah yang mempunyai kepadatan penduduk tertinggi di Malaysia.
Statistik menunjukkan jumlah penduduk ketiga-tiga Wilayah Persekutuan kini mencecah 2.4 juta orang, iaitu kira-kira 7 peratus daripada populasi Malaysia.
Demografi Wilayah Persekutuan turut mencerminkan kepelbagaian yang merangkumi kaum, agama, kelas pendapatan, dan juga kerakyatan memandangkan terdapatnya ibu kota Kuala Lumpur sebagai pusat tumpuan utama perniagaan dan pelancongan.
Kepelbagaian ini membawa kekuatan, tetapi juga memerlukan kerjasama yang rapi antara badan-badan kerajaan dan Kementerian yang terlibat dalam memastikan kemaslahatan awam terjamin.
KESEIMBANGAN DASAR DAN SUMBER
Dalam konteks ini, pendekatan beliau dilihat menekankan “proportionality” (keseimbangan) dalam melaksanakan dasar yang bersesuaian dengan sumber sedia ada.
Teras kepada keseimbangan tersebut adalah dalam menangani risiko keselamatan yang semakin kompleks, lebih-lebih lagi dengan ciri-ciri ibu kota yang semakin berkosmopolitan.
Pada 30 April lepas, Kementerian Wilayah Persekutuan telah mengumumkan pelaksanaan sistem Smart CCTV bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud dan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus.
Benar, sistem ini bukan sesuatu yang baharu, malah merupakan kesinambungan daripada konsep bandar pintar yang telah dipelopori di negara kita sejak dekad 90-an lagi.
Sistem Smart CCTV ini melibatkan 10,000 unit kamera beresolusi tinggi yang dilengkapi dengan keupayaan pengecaman muka, geo-fencing, dan analitik tingkah laku.
Sepertimana pendekatan yang telah diambil oleh bandaraya metropolitan seperti London, New York dan Tokyo, penempatan Smart CCTV ini adalah strategik.
Bukan sahaja kamera diletakkan pada titik tumpuan ramai, tetapi sistem ini turut dibantu oleh “artificial intelligence” (kecerdasan buatan) sekaligus membolehkan analitik masa nyata, tindak balas pantas, dan pengesanan pergerakan suspek.
Di kawasan-kawasan padat penduduk seperti di sekitar Bukit Bintang, Smart CCTV ini bukan sekadar merakam, malah dilengkapi dengan sistem interaksi awam dalam lima bahasa termasuk Bahasa Malaysia, Inggeris, Mandarin, Tamil dan Arab, sesuai dengan tagline negara kita "Malaysia Truly Asia".
BERTINDAK SEBELUM TERLAMBAT
Selari dengan keperluan untuk meningkatkan penyelarasan antara agensi, data yang dikumpul oleh DBKL melalui pusat kawalan bersepadu Kuala Lumpur Command and Control Centre (KLCCC) turut dikongsi bersama PDRM.
Ketua Polis Kuala Lumpur sendiri telah melaporkan bahawa Smart CCTV ini telah meningkatkan keberkesanan dalam pengesanan suspek dan penyiasatan kes jenayah fizikal sejak sistem ini mula beroperasi sepenuhnya.
Hal ini berbalik semula kepada tujuan asal Smart CCTV diusahakan. Kamera yang ada bukanlah untuk memantau pergerakan rakyat biasa, tetapi dirangka khusus untuk mengesan dan mencegah aktiviti jenayah.
Namun manfaatnya bukan hanya pengurangan jenayah semata, malah turut membantu dalam pengurusan trafik, pencarian orang hilang termasuk kanak-kanak, dan respons kecemasan seperti kemalangan dan kebakaran.
Inti persoalannya adalah sejauh mana kita mampu mengintegrasikan pengurusan bandar raya dalam suatu sistem kawalan bersepadu yang cekap.
Buat masa sekarang, pihak-pihak yang terlibat seperti DBKL dan PDRM berupaya mengaplikasikan data terkumpul untuk membuat kajian analitik sekaligus membolehkan perancangan yang lebih strategik di kawasan "hot spots".
SELARI PIAWAN ANTARABANGSA
Suatu masa nanti, kita tidak perlu lagi berada dalam kerisauan sekiranya jumlah anggota penguatkuasa adalah mencukupi, memandangkan penglibatan anggota boleh disesuaikan mengikut keperluan lokaliti yang terlibat.
Walaupun Smart CCTV ini hanya melibatkan rakaman di kawasan awam, Kementerian tersebut dilihat komited dalam memastikan “data governance” (tadbir urus data) itu dikawal dengan teliti.
Umpamanya, rakaman yang tidak menunjukkan sebarang aktiviti jenayah hanya disimpan sehingga 60 hari sahaja sebelum dipadam. Akses kepada data juga hanya dihadkan kepada pasukan-pasukan pemerhati yang terlibat.
Namun berbanding 10,000 kamera untuk populasi 2.1 juta di Kuala Lumpur sekarang, kota-kota seperti Singapura (18 setiap 1,000 penduduk) dan Seoul (24 setiap 1,000 penduduk), perjalanan kita masih awal tetapi belum terlambat.
Saya optimistik lebih banyak lagi kawasan di Wilayah Persekutuan yang akan mendapat manfaat daripada kecerdasan berintegrasi ini, dengan sasaran terdekat untuk meluaskan jumlah kamera sedia ada kepada 20,000.
Sudah tiba masanya untuk Wilayah Persekutuan duduk sama rendah, dan berdiri sama tinggi dengan kota-kota metropolitan lain dengan adanya akses kepada teknologi terkini ini.
Advertisement
* Mirzan Mustafa Kamal merupakan pengamal media dan pengasas RojakBytes.
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
