Skip to main content

Malaysia

[KOLUMNIS] Dari pentas Shangri-La Dialogue: Mesej Malaysia tentang perlunya politik kepercayaan global

FILE PHOTO: Malaysia's Defense Minister Mohamed Khaled Nordin delivers his remarks during the opening session of the Association of Southeast Asian Nations (ASEAN) Defense Ministers’ Meeting in Kuala Lumpur, Malaysia, Friday, Oct. 31, 2025. Dita Alangkara/Pool via REUTERS/File Photo
Di Shangri-La Dialogue 2026, Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin menegaskan keamanan dunia mustahil dicapai jika kepercayaan antarabangsa terus terhakis akibat dwistandard. Mengaitkan pembatalan misil oleh Norway, beliau menuntut perjanjian dihormati secara konsisten, menolak paksaan terhadap ASEAN untuk memihak, dan menggesa negara kuasa sederhana bersatu menuntut sistem global yang adil. - Gambar fail/REUTERS
Advertisement

DALAM dunia yang semakin tidak menentu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin membawa satu mesej yang jelas di pentas Shangri-La Dialogue 2026: keamanan dunia tidak akan dapat dipertahankan sekiranya kepercayaan antara negara terus terhakis.

Ketika menyampaikan pandangan Malaysia dalam Sesi Pleno Ke-5 bertajuk Managing Regional Tensions amid Global Competition di Singapura pada Mei lepas, beliau memilih untuk membawa perbahasan keselamatan melangkaui soal kekuatan ketenteraan, persaingan kuasa besar dan kecanggihan persenjataan.

Sebaliknya, Mohamed Khaled membawa perhatian kepada persoalan yang lebih asas, iaitu sama ada negara masih boleh mempercayai perjanjian, komitmen strategik dan aturan antarabangsa apabila prinsip yang sama tidak dilaksanakan secara konsisten.

Daripada isu pembatalan Naval Strike Missile oleh Norway, amalan dwistandard dalam sistem antarabangsa, tekanan terhadap ASEAN sehingga keperluan negara kuasa sederhana bergerak bersama, beliau membawa satu pendirian yang konsisten: dunia tidak boleh mengharapkan kestabilan sekiranya kepercayaan terhadap sistem antarabangsa semakin hilang.

Pendekatan ini memperlihatkan suara Malaysia yang lebih tegas dalam mendepani perubahan geopolitik dunia. Sebagai Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled bukan sekadar membawa isu keselamatan dan pertahanan Malaysia, tetapi mengetengahkan kepentingan negara kecil dan sederhana yang semakin terkesan oleh persaingan serta percaturan kuasa besar.

 

Kepercayaan semakin terhakis

Antara perkara utama yang diketengahkan Mohamed Khaled ialah hakikat bahawa dunia tidak boleh bercakap soal mengurus ketegangan jika asas utama keamanan seperti kepercayaan, kebolehpercayaan dan saling menghormati semakin runtuh.

Selama ini, negara kecil dan sederhana diminta untuk percaya kepada undang-undang antarabangsa, multilateralisme, perjanjian bertulis dan prinsip bahawa semua negara akan dilayan secara adil.

Namun realitinya, prinsip tersebut semakin kerap ditafsir mengikut kepentingan politik dan geopolitik pihak tertentu.

Apabila sesuatu peraturan hanya digunakan terhadap sesetengah negara tetapi tidak kepada negara lain, kredibiliti sistem antarabangsa akan mula dipersoalkan.

Persoalannya mudah. Adakah perjanjian antarabangsa masih boleh dipercayai? Adakah komitmen strategik masih akan dihormati? Atau semuanya akhirnya bergantung kepada kepentingan kuasa besar?

Inilah persoalan yang dibawa Mohamed Khaled ke salah satu pentas keselamatan paling penting di rantau ini.

 

Isu Norway dan Naval Strike Missile

Pendirian tersebut bukan sekadar bersifat konseptual. Mohamed Khaled mengaitkannya secara langsung dengan pengalaman Malaysia sendiri apabila Norway membatalkan eksport sistem Naval Strike Missile yang sepatutnya diperoleh negara.

Beliau membawa isu tersebut melangkaui soal pertikaian kontrak dua hala antara Malaysia dan Norway.

Persoalan yang lebih besar ialah soal kebolehpercayaan sesuatu komitmen antarabangsa.

Apabila sesuatu perjanjian yang telah dipersetujui boleh dibatalkan secara sepihak, tindakan tersebut memberi kesan kepada keyakinan negara kecil dan sederhana terhadap sistem antarabangsa.

Lebih membimbangkan, ia boleh membawa mesej bahawa sesuatu komitmen strategik hanya akan dihormati selagi komitmen tersebut selari dengan kepentingan politik pihak tertentu.

Mohamed Khaled turut mempersoalkan tindakan Norway kerana negara itu sering dilihat sebagai penyokong kuat aturan antarabangsa berasaskan peraturan.

Namun apabila komitmen boleh diketepikan tanpa akibat yang jelas, hubungan antarabangsa tidak lagi kelihatan dipandu oleh prinsip, sebaliknya oleh kehendak dan pertimbangan politik semasa.

 

Menolak amalan dwistandard

Daripada pengalaman Malaysia itu, Mohamed Khaled membawa perbahasan kepada persoalan yang lebih luas mengenai amalan dwistandard dalam sistem antarabangsa.

Apabila negara membangun melanggar perjanjian, mereka sering berdepan tekanan, kecaman dan tindakan segera. Namun apabila negara kuat atau sekutunya melakukan perkara yang sama, reaksi antarabangsa kadangkala menjadi perlahan atau hampir tidak kedengaran.

Keadaan ini berbahaya kerana ia akhirnya melemahkan kepercayaan terhadap undang-undang antarabangsa.

Jika undang-undang hanya dikuatkuasakan terhadap negara tertentu, sistem antarabangsa akan semakin dilihat sebagai tidak adil dan hilang kredibiliti.

Perkara sama dapat dilihat dalam pelbagai konflik dunia, termasuk dalam isu kemanusiaan, jenayah perang dan pelanggaran undang-undang antarabangsa apabila reaksi dunia boleh berubah bergantung kepada siapa yang terlibat.

Melalui pendirian ini, Mohamed Khaled membawa suara Malaysia yang menuntut konsistensi. Undang-undang antarabangsa tidak boleh hanya tegas terhadap pihak tertentu tetapi longgar terhadap pihak yang lain.

 

ASEAN tidak boleh dipaksa memilih pihak

Dalam menghadapi persaingan kuasa besar, Mohamed Khaled turut membawa satu lagi pendirian penting Malaysia: Asia Tenggara tidak seharusnya dipaksa memilih pihak.

Rantau ini selama ini mampu mengekalkan keamanan dan kestabilan melalui peranan ASEAN yang berasaskan dialog, persetujuan bersama dan saling menghormati.

Namun persekitaran strategik hari ini semakin mencabar.

Persaingan geopolitik, persaingan teknologi, perpecahan ekonomi dan tekanan strategik menyebabkan negara di rantau ini secara langsung atau tidak langsung semakin didorong untuk memilih pihak.

Bagi Mohamed Khaled, ASEAN tidak dibina atas paksaan, dominasi atau politik transaksi. ASEAN dibina atas dialog, persetujuan bersama, saling menghormati dan tanggungjawab kolektif terhadap kestabilan rantau.

Sebab itu, ASEAN Centrality mesti terus dihormati.

Kuasa luar yang mahu bekerjasama dengan Asia Tenggara perlu menghormati mekanisme ASEAN, bukannya memintas atau melemahkannya.

Pendirian ini penting khususnya ketika rantau Indo-Pasifik semakin menjadi medan persaingan strategik antara kuasa-kuasa besar.

Malaysia tidak mahu ASEAN menjadi sekadar ruang persaingan. Sebaliknya, ASEAN mesti kekal mempunyai suara dan keupayaan menentukan hala tujunya sendiri.

 

Negara kuasa sederhana perlu pergerak bersama

Mohamed Khaled juga membawa pandangan bahawa negara kecil dan sederhana tidak boleh hanya menjadi pemerhati dalam sistem antarabangsa yang semakin tidak seimbang.

Secara individu, negara-negara ini mungkin tidak mempunyai kekuatan ekonomi, ketenteraan atau pengaruh geopolitik sebesar kuasa besar.

Namun secara kolektif, mereka mempunyai kekuatan moral dan tanggungjawab untuk mempertahankan sistem antarabangsa yang lebih adil.

Atas sebab itu, negara kuasa sederhana perlu bergerak bersama untuk mengembalikan rasionaliti, keseimbangan dan kebolehjangkaan dalam hubungan antarabangsa.

Keperluan ini menjadi semakin penting apabila institusi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sendiri semakin tertekan oleh persaingan geopolitik.

ASEAN merupakan salah satu contoh bagaimana negara kecil dan sederhana boleh membina kekuatan melalui kerjasama, dialog dan saling menghormati.

Pendekatan seperti inilah yang mahu terus dipertahankan Malaysia dalam menghadapi tekanan dan ketidaktentuan geopolitik dunia.

 

Membawa Malaysia sebagai suara yang berprinsip

Apa yang dibawa Mohamed Khaled di Shangri-La Dialogue akhirnya melangkaui isu pertahanan dalam pengertian tradisional.

Beliau membawa satu pandangan bahawa keselamatan tidak hanya bergantung kepada siapa memiliki angkatan tentera paling kuat atau persenjataan paling canggih.

Keselamatan juga bergantung kepada keyakinan bahawa perjanjian akan dihormati, undang-undang akan dilaksanakan secara konsisten dan setiap negara akan diberikan layanan yang adil tanpa mengira saiz atau kekuatannya.

Atas pentas antarabangsa itu, Mohamed Khaled meletakkan Malaysia sebagai suara yang mahu melihat sistem antarabangsa kembali kepada prinsip tersebut.

Malaysia tidak meminta layanan istimewa. Malaysia menuntut supaya prinsip dan peraturan yang telah dipersetujui bersama dilaksanakan secara adil dan konsisten terhadap semua.

Dalam masa yang sama, Malaysia tidak mahu negara kecil dan sederhana hanya menjadi penerima kepada keputusan yang dibuat oleh kuasa besar.

Mereka juga mesti mempunyai ruang untuk menentukan kepentingan, keselamatan dan masa depan mereka sendiri.

 

Malaysia mahu pulihkan kepercayaan

Keseluruhan mesej yang dibawa Mohamed Khaled di Shangri-La Dialogue berpunca daripada satu persoalan asas: bagaimana dunia mahu mengurus ketegangan jika negara semakin hilang kepercayaan antara satu sama lain?

Sebab itu, cabaran dunia hari ini bukan sekadar mengurus persaingan antara negara.

Cabaran yang lebih besar ialah memulihkan kredibiliti, konsistensi dan kepercayaan terhadap sistem antarabangsa.

Perjanjian mesti dihormati. Komitmen mesti dipertahankan. Undang-undang antarabangsa mesti terpakai kepada semua negara tanpa mengira saiz, kekayaan, kekuatan tentera atau pengaruh geopolitik.

Jika kepercayaan terus terhakis, dunia berisiko bergerak daripada sistem berasaskan peraturan kepada keadaan yang semakin tidak menentu dan tidak terkawal.

Sejarah telah banyak menunjukkan bahawa apabila undang-undang dan kepercayaan runtuh, keamanan akhirnya akan menjadi mangsa.

 

Kesimpulan

Penampilan Mohamed Khaled di Shangri-La Dialogue 2026 memperlihatkan pendekatan Malaysia yang semakin jelas dalam melihat cabaran keselamatan dunia.

Beliau tidak sekadar membawa isu pertahanan Malaysia, tetapi menggunakan pentas tersebut untuk mengetengahkan persoalan yang lebih besar mengenai masa depan aturan antarabangsa, kedudukan negara kecil dan sederhana serta peranan ASEAN dalam menghadapi persaingan kuasa besar.

Pendirian yang dibawanya jelas: perjanjian mesti dihormati, undang-undang antarabangsa mesti dipatuhi, amalan dwistandard mesti ditolak dan negara kecil tidak boleh dipaksa memilih pihak.

Dalam dunia yang semakin dipengaruhi persaingan kuasa besar, Mohamed Khaled membawa Malaysia sebagai suara yang tegas tetapi tidak konfrontasional, berprinsip tetapi pragmatik, serta konsisten mempertahankan kepentingan negara kecil dan sederhana.

Kerana bagi Malaysia, keamanan tidak boleh dibina melalui tekanan atau kekuatan semata-mata.

Ia mesti dibina atas kepercayaan, keadilan dan penghormatan antara negara.


Firdaus Azil merupakan wartawan kanan di Astro AWANI yang kini sedang melanjutkan pengajian dalam bidang komunikasi. Beliau aktif melaporkan isu-isu semasa, politik, dan hal ehwal serantau.

Semua hantaran dan pandangan di akaun ini adalah milik peribadi penulislah sepenuhnya dan tidak menggambarkan pendirian rasmi mahupun mewakili Astro AWANI.

Must Watch Video

Advertisement