MALé: Apabila sebuah pesawat rasmi kerajaan merentasi benua membawa rombongan diplomasi peringkat tertinggi, ukuran kejayaannya tidak pernah terletak pada selfie bersama selebriti atau riuh-rendah media sosial.
Ia dinilai menerusi pengisian dan hasil lawatan seperti perjanjian dagang yang dimeterai; laluan eksport baharu yang dibuka; dan sudah pasti pengaruh geopolitik yang berjaya dipertaruhkan demi kepentingan nasional.
Namun, mengamati naratif segelintir warga siber dan pihak pembangkang di tanah air sepanjang siri lawatan enam hari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Asia Selatan baru-baru ini memperlihatkan satu realiti yang menyedihkan.
Sebilangan besar memilih untuk rabun terhadap objektif yang lebih besar, semata-mata kerana leka mengejar sensasi picisan.
Obsesi Picisan vs Realiti Geopolitik
Ketika Putrajaya sedang mengukuhkan paksi strategiknya di Lautan Hindi, bermula dari gelanggang multilateral di New Delhi, libat urus sub-nasional di Keralam, hingga ke perairan strategik Malé di Maldives, sebahagian naratif domestik pula sengaja diperkecilkan kepada satu isu remeh.
Kononnya lawatan ini tercalar hanya kerana ketiadaan pertemuan bersama Ketua Menteri Tamil Nadu, C. Joseph Vijay.
Pembatalan jadual persinggahan singkat di Chennai akibat kekangan masa rundingan rasmi di New Delhi diputar belit menjadi kononnya satu kegagalan diplomatik.
Lebih memeningkan kepala, ada yang cuba memperlihatkan seolah-olah kredibiliti dasar luar sebuah negara merdeka ditentukan oleh pertemuan bersama seorang figura politik-hiburan.
Ketenangan Mengemudi Tekanan PAU dan 'Jalan Susah'
Ironinya, ketika berdepan serangan di media sosial mengenai isu Vijay di luar negara, Anwar diuji dengan tekanan yang jauh lebih berat dari tanah air sendiri.
Sepanjang siri lawatan berlangsung, gendang politik domestik dipalu kencang menerusi Perhimpunan Agung UMNO (PAU).
Suara-suara keras dan bernada mendesak kedengaran menuntut tindakan drastik, ada yang menggesa pembubaran Parlimen untuk pilihan raya mengejut, dan tidak kurang juga yang menekan soal pengampunan Datuk Seri Najib Razak.
Dan ia dimainkan sehingga mencetuskan tohmahan pihak pembangkang mengenai wujudnya konon 'tangan ghaib'.
Media yang mengikuti lawatan ini cuba mendapatkan reaksi balas daripada beliau. Namun, biarpun ditekan hebat dari pelbagai sudut politik di tanah air, Anwar tidak memilih jalan populis atau jalan mudah demi meredakan gelora seketika.
Sebaliknya, beliau memilih apa yang diungkapkannya sendiri sebagai "jalan yang susah".
Beliau mengimbangi desakan politik dengan ketegasan prinsip kedaulatan undang-undang dan perlembagaan, sambil terus mempertahankan kestabilan Kerajaan Perpaduan agar bahtera ekonomi negara tidak karam akibat percaturan politik sempit.
Kuasa Diplomasi Multilateral di Gelanggang BRICS
Ketenangan mengemudi badai domestik itu membolehkan tumpuan penuh diberikan kepada agenda antarabangsa yang jauh lebih penting dan kritikal demi kedudukan dan kepentingan negara.
Di New Delhi, Malaysia tidak hadir sebagai pemerhati pasif. Di pentas Sidang Kemuncak BRICS, suara Putrajaya lantang mendesak reformasi sistem kewangan global, memperjuangkan inisiatif penyelesaian mata wang tempatan (Local Currency Settlement).
Malaysia juga terus konsisten menjadi jurubicara moral negara-negara Global South dalam mengecam kekejaman berterusan ke atas rakyat Palestin.
Di sela persidangan itu, pertemuan dua hala bersama Presiden Vladimir Putin menjamin kesinambungan operasi PETRONAS, sesi meja bulat bersama Narendra Modi membuka laluan bagi pelaburan rantaian bekalan cip semikonduktor, manakala rundingan bersama Prabowo Subianto dan Abdel Fattah El-Sisi mengukuhkan jajaran kepimpinan Malaysia menjelang pengerusian ASEAN.
Mesej Tamadun di Markaz dan Diplomasi Sub-Nasional Keralam
Langkah beliau kemudiannya beralih ke Keralam menerusi pendekatan diplomasi sub-nasional yang segar, menghubungkan koridor ekonomi digital dan komoditi perladangan terus bersama pimpinan negeri.
Namun detik paling berbekas di Keralam melangkaui angka ekonomi. Ia terpahat di Jamia Markaz, Karanthur, apabila Anwar melangkah masuk disambut oleh Mufti Besar India, Sheikh Abubakr Ahmad.
Di hadapan ribuan penuntut ilmu dan ulama yang membanjiri dewan, Anwar berbicara tentang masa depan tamadun: bagaimana umat Islam mesti menguasai kecerdasan buatan (AI) dan disiplin teknologi moden agar tidak terus ketinggalan.
Namun pada masa yang sama wajib memelihara pasak adab, akhlak, dan tradisi keilmuan.
Majlis penuh takzim itu turut menyaksikan penganugerahan Sheikh Abu Bakar Foundation Excellence Award serta penyerahan manuskrip Sahih Bukhari kepada beliau, satu penghormatan intelek yang membuktikan pengaruh ketokohan Anwar diiktiraf di peringkat peradaban antarabangsa.
Mengeksport 'Soft Power' Diplomasi Malaysia Merentasi Lautan Hindi
Penerbangan diplomasi kemudiannya membelah Lautan Hindi menuju ke Republik Maldives. Di Malé, dasar luar Putrajaya diterjemahkan kepada pulangan ekonomi yang nyata menerusi pembukaan rundingan Perjanjian Perdagangan Keutamaan (PTA).
Malah, Malaysia turut mengeksport acuan tadbir urus Malaysia apabila Maldives berhasrat mencontohi ekosistem pensijilan halal JAKIM, ketelusan pengurusan Tabung Haji, serta pemerkasaan institusi wakaf.
Kejayaan rentas sempadan ini, tegas Perdana Menteri, tidak hadir bergolek. Ia memerah keringat para diplomat, barisan menteri, serta pegawai kementerian yang berhempas-pulas berpuluh jam di meja rundingan tanpa lensa kamera.
Namun, apa yang dikesalkan Anwar adalah kecenderungan segelintir pihak di tanah air yang cepat memandang serong; menuduh delegasi negara sekadar ‘makan angin’, membazirkan wang rakyat, dan ke luar negara hanya untuk berkaraoke.
"Nyanyi itu sepuluh minit, ini kerja ini dah berpuluh-puluh jam."
Demikian jawapan bersahaja lagi pedas Anwar ketika menepis sindiran nakal warganet susulan penularan klip beliau mendendangkan lagu malar segar legenda Kishore Kumar, "Khwaab Ho Tum Ya Koi Haqeeqat" daripada filem klasik Teen Devian (1965).
Bagi Anwar, sepuluh minit meredakan ketegangan menerusi seni dan budaya tidak wajar memadamkan komitmen kerja keras bermati-matian di belakang tabir demi mengharumkan nama serta menjamin poket ekonomi negara.
Menimbang Nilai Negarawan Melangkaui Bunyi Bising
Menyamakan kerja berat diplomasi bernilai bilion ringgit, kecekalan mengimbangi kestabilan politik domestik, serta wacana keilmuan berimpak tinggi ini dengan naratif 'gagal jumpa Vijay' mendedahkan ketandusan wacana pemikiran segelintir pihak.
Ia mencerminkan mentaliti yang lebih gemar memilih bunyi bising daripada memahami rentak simfoni besar diplomasi serantau.
Anwar Ibrahim telah menunaikan peranannya di Asia Selatan dengan cemerlang, sebagai pemikir, perunding, dan jurubicara negara yang dihormati di persada dunia.
Jika masih ada yang memilih untuk meratapi ketiadaan gambar bersama seorang bintang filem ketika negara sedang melakar laluan ekonomi, kestabilan, dan geopolitik baharu, masalahnya bukan pada diplomasi Perdana Menteri, tetapi pada kanta pandang mereka yang enggan melihat jauh ke hadapan.
* Firdaus Azil merupakan wartawan kanan di Astro AWANI yang kini sedang melanjutkan pengajian dalam bidang komunikasi. Beliau aktif melaporkan isu-isu semasa, politik, dan hal ehwal serantau.
** Semua hantaran dan pandangan di akaun ini adalah milik peribadi penulis sepenuhnya dan tidak menggambarkan pendirian rasmi mahupun mewakili Astro AWANI.