Skip to main content
Advertisement

Malaysia

[KOLUMNIS] Idea aset strategik golongan muda kepada pertahanan negara

51550382931_PALAPES.jpg
Kekuatan PALAPES sebagai graduan dan anak muda disifatkan terletak pada idea-idea baharu yang segar. - Gambar hiasan
Advertisement

SEBAGAI pendidik yang berkecimpung dalam bidang kejuruteraan perisian dan pengkomputeran, inovasi sering menjadi perkara yang sangat intim. Pengalaman mengajar di universiti United Kingdom dan kini Bahrain membuka mata kepada satu perkara penting, iaitu golongan muda sering mempunyai idea-idea segar dan kreatif. Idea mereka, jika benar-benar disokong sering membawa kepada penyelesaian masalah yang dihadapi dalam pelbagai bidang.

Dalam landskap keselamatan dan pertahanan global semakin kompleks dan sangat pantas berubah misalnya, adalah sangat naif sekiranya masih ada yang beranggapan bahawa kekuatan pertahanan sesebuah negara perlu diukur melalui jumlah anggota, kecanggihan persenjataan konvensional atau saiz peruntukan belanjawan. Sekali pun semua itu masih relevan, ia bukan lagi rujukan yang komprehensif. Dunia hari ini dipacu oleh idea dan inovasi baharu. Keupayaan menjana, mengembang dan melaksanakan idea baharu telah muncul sebagai aset strategik yang paling bernilai. Idea dan inovasi kini menjadi angkubah yang sangat kritikal. Khususnya dalam konteks pertahanan nasional

Idea dalam konteks pertahanan bukan sekadar gagasan akademik dalam bilik kuliah atau modul latihan ketenteraan. Ia sudah menjadi peluru atau periuk api yang mampu bertindak sebagai ‘game changer’ kepada sesebuah pasukan pertahanan. Terutamanya apabila idea-idea baharu tersebut dapat diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal, pembentukan dasar yang tangkas, doktrin baharu, inovasi teknologi, serta pendekatan operasi yang meningkatkan kesiapsiagaan dan daya tahan negara.

Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dalam syarahan eksekutif beliau pada 3 September lalu di UniMAP kepada pelatih PALAPES dari seluruh negara, menegaskan yang kekuatan PALAPES sebagai graduan dan anak muda adalah terletak pada idea-idea baharu yang segar. Ungkapan tersebut sangat relevan dan seiring dengan perkembangan hari ini. Konsep ‘siapa lebih dahulu makan garam’ sudah tidak relevan. Khususnya dalam konteks idea dan inovasi baharu.

Mengapa Idea Baharu Sangat Diperlukan?

Apabila bercakap tentang pertahanan dan ketenteraan, tidak dinafikan akan ada ramai pihak yang beranggapan bahawa tradisi, amalan yang sudah terbukti serta teknologi sedia ada akan menjadi keutamaan. Namun, kecenderungan serta pemikiran sebegitu kelihatan semakin beranjak kepada keterbukaan untuk meneroka perkara-perkara baharu termasuklah yang bersifat eksperimental.

Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada trend ini. Pertama, kesediaan melihat kecerdasan idea sebagai setanding dengan kekuatan fizikal dalam sesebuah pasukan pertahanan.

Kedua, revolusi teknologi dan sifat peperangan yang sudah berubah. Perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), sistem autonomi, dron, robotik, analitik data raya, dan teknologi kuantum telah mengubah paradigma peperangan secara total. Ancaman masa hadapan mungkin tidak bermula dengan serangan fizikal, tetapi melalui gangguan siber terhadap rangkaian komunikasi, infrastruktur tenaga, sistem kewangan, atau satelit. 

Pada 27 Ogos 2026 yang lalu, The Guardian melaporkan 3 lapangan terbang UK mengalami serangan siber melibatkan 8.7 juta data pelanggan telah diakses. Insiden ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penumpang dan membangkitkan persoalan berkaitan dengan ancaman yang mereka hadapi sekiranya data peribadi mereka dicuri, disalah guna dan disebarkan kepada pihak yang tidak bertanggungjawab. Kejadian ini hanyalah salah satu daripada contoh bagaimana serangan boleh berlaku ke atas infrastruktur awam yang kritikal. Pekara ini mengukuhkan pandangan bahawa pertahanan negara memerlukan individu yang menguasai spektrum ilmu yang luas. Tidak kiralah apa bidang dan jurusan yang dipelajari, pastinya wujud ruang untuk segala ilmu tersebut diaplikasikan dengan baik dalam dunia pertahanan.     

Ketiga, ancaman pertahanan hari ini hadir dengan gabungan pelbagai bentuk sama ada serangan fizikal, serangan siber, perang maklumat, propaganda, manipulasi media sosial, dan tekanan ekonomi. Oleh itu, pendekatan tradisional yang bersifat responsif sahaja tidak lagi memadai. Perkara ini menyebabkan kita sentiasa memerlukan idea dan pemikiran baharu.

Potensi Besar Idea Golongan Muda

Di peringkat global, terdapat banyak contoh yang menyaksikan bagaimana idea daripada golongan muda mampu mengubah landskap teknologi pertahanan. Di peringkat global, terdapat banyak contoh bagaimana idea dan kepakaran generasi muda boleh dimanfaatkan dalam sektor pertahanan. Di Amerika Syarikat, Hacking for Defense di Stanford University membawa peserta berhadapan dengan masalah sebenar pertahanan. Idea utama di sebalik program ini adalah, untuk kita mengukuhkan sistem keselamatan, kita perlu terlebih dahulu memecahkannnya bagi mengenal pasti kelompangan yang wujud. Sebaik sahaja kelemahan ini dikenal pasti, sistem yang lebih selamat dapat dibangunkan agar berupaya berhadapan dengan serangan. Dalam program ini, salah satu pasukannya, AquaLink, membangunkan dan berjaya menguji prototaip boya GPS bagi menyediakan maklumat geolokasi kepada penyelam tentera ketika masih berada di bawah air.

Dalam Hack the Pentagon pula, David Dworken, yang ketika itu berusia 18 tahun dan baru tamat sekolah menengah, menemui enam kelemahan keselamatan laman sesawang dalam program perintis keselamatan siber Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat.

Singapura turut membangunkan bakat muda melalui Young Defence Scientists Programme, sebuah inisiatif DSTA dan DSO National Laboratories. Dalam tempoh setahun menjelang YDSP Congress pada April 2024, seramai 425 pelajar daripada 19 sekolah menyertai pelbagai aktiviti program tersebut. Mereka mendapat pendedahan kepada cabaran sebenar dalam bidang kecerdasan buatan, kriptografi, teknologi kuantum dan robotik. Antaranya termasuk projek teknologi dron yang dipamerkan oleh pelajar Victoria Junior College.

Inovasi-inovasi seumpama ini menunjukkan bahawa yang memisahkan idea bernas anak muda dan keperluan pertahanan hanyalah peluang dan ekosistem yang menyokong. Apabila pihak tentera membuka akses kepada data, masalah operasi, dan ruang pengujian kepada golongan muda, idea segar yang terhasil seringkali lebih menjimatkan kos, bersifat tangkas, dan berteknologi tinggi berbanding pendekatan tradisional yang birokratik.

Cabaran Buat PALAPES

Sebagai golongan yang terlatih dan mempunyai pendedahan kepada dunia pertahanan, PALAPES mesti melihat diri mereka aset strategik yang sebenar. Idea ialah senjata baharu pertahanan era moden. Golongan muda khususnya PALAPES mesti meletakkan diri mereka sebagai rakan strategik yang mampu mencetuskan perubahan. Masa depan pertahanan Malaysia bergantung pada keberanian kita untuk berfikir secara baharu, bertindak secara bijaksana, dan menjadikan idea sebagai benteng pertama kedaulatan negara.


*Artikel ini tulisan Dr Syafiq Zolkeply, University of Strathclyde (Bahrain). Beliau merupakan pensyarah dalam bidang kejuruteraan perisian dan komputer yang mempunyai minat dalam bidang teknologi dan inovasi. 

**Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
 

Must Watch Video

Advertisement