Skip to main content

Malaysia

[KOLUMNIS] Kebebasan akademia bersuara penyuluh arah tuju negara bangsa

FB Shamsul Bahari Shamsudin
Kebebasan akademia bukan bermaksud kebebasan tanpa sempadan. Sebaliknya, ia bergerak dalam kerangka undang-undang serta nilai yang dipersetujui bersama.
Advertisement

DI sebalik kemajuan sesebuah negara, sentiasa wujud suara yang tidak bergema dengan emosi, tetapi berbicara dengan ilmu. Suara itulah yang lahir daripada institusi pengajian tinggi, dipimpin oleh warga akademia yang menjadikan fakta sebagai asas, integriti sebagai pedoman dan kepentingan masyarakat sebagai matlamat. Kebebasan akademia bukan sekadar hak untuk bersuara, bahkan suatu amanah intelektual yang menuntut keberanian menyampaikan kebenaran serta kebijaksanaan mengemukakan cadangan, nasihat dan jalan penyelesaian.

Dalam dunia yang semakin kompleks, masyarakat tidak lagi memerlukan pandangan yang bersifat spekulatif atau retorik janji-janji kosong. Sebaliknya, negara memerlukan ilmuwan yang mampu menghuraikan sesuatu isu berdasarkan penyelidikan, data empirikal dan analisis yang objektif. Di sinilah letaknya nilai sebenar kebebasan akademia, iaitu kebebasan untuk mencari kebenaran, mengembangkan ilmu dan berkongsi pengetahuan demi kemajuan negara tanpa mengabaikan adab, etika dan tanggungjawab profesional.

Kebebasan akademia bukan bermaksud kebebasan tanpa sempadan. Sebaliknya, ia bergerak dalam kerangka undang-undang serta nilai yang dipersetujui bersama. Di Malaysia, ekosistem pendidikan tinggi dipandu oleh Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Akta 30), di samping dasar serta kod etika yang diguna pakai oleh institusi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi. Kerangka ini memberi ruang kepada kebebasan intelektual yang bertanggungjawab, sekali gus memastikan setiap pandangan disampaikan secara berhemah, berintegriti dan menghormati kepentingan awam.

Ilmuwan yang berwibawa tidak hanya mengenal pasti atau hanya mengkritik kelemahan, malah tampil mengemukakan penyelesaian yang praktikal. Ketika negara berdepan cabaran seperti transformasi digital, kecerdasan buatan, perubahan iklim, keselamatan makanan, keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta pembangunan ekonomi yang mampan. Penyelidikan universiti seharusnya menyumbang pelbagai inovasi dan cadangan dasar yang membantu kerajaan, industri serta masyarakat membuat keputusan yang lebih tepat. Sumbangan inilah yang memperlihatkan bahawa universiti bukan sekadar pusat pengajian, tetapi juga pusat rujukan penyelesaian kepada pelbagai isu nasional.

Budaya berhujah secara ilmiah turut menjadi asas kepada kematangan sesebuah masyarakat. Perbezaan pandangan bukan alasan untuk bermusuhan, sebaliknya ruang memperkayakan idea melalui dialog yang sopan dan rasional. Ahli akademik sewajarnya menjadi contoh kepada masyarakat dengan mengamalkan budaya mendengar, menilai bukti dan menghormati kepelbagaian pandangan tanpa mengorbankan prinsip kebenaran. Politik kampus yang tidak sihat dan harmoni mesti dihindari.

Tiga peranan utama akademia wajar terus diperkasakan. Pertama, menjadi pemikir strategik kepada pemimpin kerajaan dalam membekalkan idea dan nasihat bagi menyokong penggubalan dasar awam yang lebih berkesan. Kedua, melahirkan modal insan yang bukan sahaja cemerlang dari segi ilmu dan kemahiran, malah memiliki integriti, etika serta rasa tanggungjawab terhadap masyarakat. Ketiga, memacu inovasi melalui penyelidikan dan kerjasama bersama industri bagi memperkukuh daya saing negara serta meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Hakikatnya, kemajuan sesebuah negara tidak hanya bergantung kepada pembangunan fizikal atau pertumbuhan ekonomi, tetapi juga kepada keberanian golongan ilmuwan mempertahankan kebenaran melalui hujah yang berasaskan ilmu. Apabila akademia terus bebas berfikir, tekun menyelidik dan berani berkongsi pengetahuan secara bertanggungjawab, maka negara akan memiliki asas yang kukuh untuk membina dasar yang lebih berkesan, masyarakat yang lebih berilmu dan masa depan yang lebih sejahtera.

Pepatah Melayu mengingatkan, "Yang benar tetap benar, yang hak tetap hak." Dalam semangat itulah kebebasan akademia harus terus dipelihara, bukan untuk meninggikan suara, tetapi untuk meninggikan martabat ilmu. Apabila ilmuwan bersuara dengan fakta, berfikir dengan hikmah dan bertindak dengan integriti, mereka bukan sekadar mencorakkan pemikiran masyarakat, bahkan menerangi arah perjalanan negara menuju kemajuan yang lestari, harmoni dan berdaya saing.



* Profesor Dr Shamsul Bahari Shamsudin ialah Pengarah Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL)

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

Must Watch Video

Advertisement