BILANGAN kanak-kanak yang didiagnosis dengan Gangguan Spektrum Autisme (ASD) di Malaysia menunjukkan peningkatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga 31 Mac 2026, daripada 833,425 orang kurang upaya (OKU) yang berdaftar di negara ini, seramai 88,934 merupakan individu yang dikategorikan sebagai kanak-kanak autistik.
Secara umumnya, autisme berlaku disebabkan oleh gabungan faktor genetik dan persekitaran yang mempengaruhi perkembangan otak bayi sejak dalam kandungan.
Dari segi genetik, mutasi pada gen tertentu atau sejarah keluarga yang mempunyai autisme meningkatkan risiko keadaan ini berlaku. Dari segi persekitaran pula, faktor seperti usia ibu bapa yang lanjut, komplikasi semasa kelahiran, dan pendedahan ibu hamil kepada jangkitan atau bahan kimia tertentu boleh meningkatkan risiko ini.
Namun, sejak akhir-akhir ini, kajian menunjukkan antara peningkatan kes autisme mungkin disebabkan gejala pseudo-autism.
Pseudo adalah kata serapan bahasa Yunani "Pseudes" yang berarti palsu, tidak bersunguh-sungguh, atau tiruan.
Pseudo-autism merujuk kepada tingkah laku mirip autisme yang wujud dalam kalangan anak-anak akibat faktor persekitaran, dan bukannya disebabkan oleh gangguan neurologi atau faktor genetik semula jadi.
Ciri-ciri umum anak-anak pseudo-autism merangkumi isu kelewatan pertuturan dan bahasa, kurang hubungan mata, kesukaran berinteraksi secara sosial, serta masalah tumpuan dan perkembangan deria.
Dalam masa yang sama, data dan statistik juga menunjukkan faktor utama isu ini adalah kerana ketagihan skrin yang berlebihan.
Perincian data mendapati purata anak-anak masa kini menghabiskan masa dua hingga tiga jam sehari di hadapan skrin gajet.
Pendedahan skrin yang tidak terkawal akan membawa kesan sampingan yang amat membimbangkan kepada perkembangan anak-anak dari segi pertuturan dan tingkah laku.
Contohnya, bagi anak-anak yang terdedah kepada setiap 30 minit masa skrin tanpa pengawasan setiap hari boleh meningkatkan risiko kelewatan pertuturan sebanyak 49 peratus.
Anak-anak yang terdedah kepada skrin melebihi dua jam sehari pula boleh meningkatkan risiko kelewatan menguasai percakapan sehingga enam kali ganda berbanding anak-anak normal.
Penggunaan skrin secara pasif juga boleh merosakkan perkembangan otak kerana anak-anak tidak mendapat rangsangan saraf untuk kemahiran sosial. Kemahiran motor mereka juga tidak berkembang dengan baik kerana terlalu memegang skrin rata.
Selain itu, dek kerana terlalu bersama gajet, anak-anak juga tidak menjalani proses interaksi dua hala dan seterusnya menyebabkan mereka tidak mendapat tindak balas emosi secara langsung.
Hal ini mengakibatkan mereka hilang keupayaan bersosial dan sukar mengawal emosi sehingga kerap menunjukkan perbuatan 'tantrum'.
Anak-anak ini juga bakal berdepan dengan masalah memberi tumpuan di dalam bilik darjah kerana telah terbiasa dengan rangsangan visual skrin yang terlalu pantas. Mereka cepat hilang fokus dan resah semasa kelas Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).
Natijahnya, penggunaan gajet yang berlebihan ini menjawab kepada fenomena pseudo-autism atau “autisme tiruan” yang melanda anak-anak .
Namun begitu, berbeza dengan autisme sebenar yang kekal, pseudo-autism boleh dipulihkan jika ia dapat dikesan awal. Langkah penyelesaian utama yang perlu diambil oleh ibu bapa ialah melaksanakan detoks skrin secara drastik.
Mereka perlu menghidupkan semula interaksi bersemuka dengan menatap mata dan memberi respons kepada setiap percakapan anak.
Aktiviti-aktiviti fizikal dan sensori di luar rumah seperti bermain pasir, berkaki ayam atau mengumpul batu amat penting untuk merangsang deria anak-anak dan seterusnya mengurangkan pergantungan kepada gajet.
World Health Organization (WHO) mengesyorkan supaya anak-anak di bawah umur dua tahun tidak boleh didedahkan langsung kepada skrin. Bagi mereka yang berumur dua hingga lima tahun pula, penggunaan maksimum gajet sepatutnya dihadkan satu jam sehari.
Sekiranya tiada juga perubahan positif, tindakan membawa anak berjumpa pakar perkembangan amat disyorkan. Kesedaran awal dan tindakan pantas ibu bapa mampu menyelamatkan masa depan anak-anak digital ini.
Ibu bapa juga perlu akur keadaan anak-anak mereka dan seterusnya menerima hakikat yang anak-anak mereka perlu dirawat.
Menempatkan anak-anak bercirikan autisme di kelas perdana juga bukanlah penyelesaiannya. Lebih menyedihkan, mereka bakal disisih oleh murid-murid normal.
Ini kerana kerajaan telah mengadakan inisiatif, mewujudkan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI, satu program pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang khusus untuk Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) di sekolah harian biasa, sama ada di peringkat rendah atau menengah.
Kesimpulannya, pseudo-autism memberi mesej yang jelas bahawa sokongan emosi dan sentuhan sosial manusia tidak sesekali boleh digantikan oleh gajet.
Peningkatan kes ini menuntut peranan aktif serta keprihatinan ibu bapa untuk kembali meletakkan perkembangan semula jadi anak-anak sebagai keutamaan.
Tindakan pantas dan kesedaran hari ini adalah penentu sama ada anak anda mampu membesar dengan sihat dan sempurna.
*Nota pengarang: Pseudo-autism bukan diagnosis perubatan rasmi. Istilah ini digunakan oleh sesetengah pengamal dan penyelidik untuk merujuk kepada gejala yang menyerupai autisme akibat kekurangan rangsangan sosial dan penggunaan skrin berlebihan.
Professor Madya Kais Amir Kadhim dan Dr Abdul Mutalib Embong ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan (PPAL), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Terengganu.
Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.