PERNAHKAH kita berhenti sejenak dan bertanya kepada diri sendiri, mengapa ada murid yang masih tidak boleh membaca walaupun sudah berada di Tahun Tiga?
Mengapa ada pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan tetapi kaku apabila diminta membentangkan idea?
Mengapa ada mahasiswa yang mampu menghasilkan tugasan dengan bantuan kecerdasan buatan (AI), tetapi sukar mempertahankan hujah mereka apabila disoal?
Persoalannya bukan lagi sama ada pelajar kita rajin atau malas. Bukan juga sama ada mereka bijak atau lemah. Mungkin persoalan yang lebih penting ialah, adakah kita benar-benar mengajar mereka bagaimana untuk belajar?
Generasi Z membesar dalam dunia yang sangat berbeza daripada generasi sebelumnya. Mereka lahir dalam era internet, media sosial dan AI.
Mereka memperoleh maklumat dalam beberapa saat. Mereka belajar melalui video, visual dan pengalaman interaktif. Mereka gemar mencuba, meneroka dan mendapatkan maklum balas segera.
Namun, di sebalik semua kelebihan itu, mereka tetap memerlukan seorang guru. Bukan guru yang sekadar menyampaikan fakta, tetapi guru yang tahu bagaimana membimbing mereka berfikir.
Di sinilah letaknya kekuatan satu konsep pedagogi yang mungkin asing bagi masyarakat umum, tetapi sangat penting dalam dunia pendidikan, iaitu 'scaffolding' atau perancah pembelajaran.
Dalam bidang pembinaan, perancah didirikan bagi membolehkan pekerja membina bangunan yang tinggi. Apabila bangunan itu siap dan kukuh, perancah ditanggalkan kerana fungsinya telah selesai.
Begitu juga dalam pendidikan.
'Scaffolding' ialah sokongan sementara yang diberikan kepada pelajar sehingga mereka mampu melaksanakan sesuatu tugasan secara berdikari.
Tujuannya bukan untuk memudahkan pembelajaran, tetapi untuk membolehkan pelajar mencapai pembelajaran yang pada mulanya kelihatan sukar.
Malangnya, ramai yang menyangka 'scaffolding' sekadar memberi contoh atau membantu pelajar menyiapkan tugasan. Hakikatnya, konsep itu jauh lebih mendalam.
Ia bermula dengan guru mengenal pasti di manakah sebenarnya pelajar memerlukan bantuan, kemudian menyediakan pengalaman pembelajaran yang sesuai, dan akhirnya menarik semula bantuan tersebut sedikit demi sedikit apabila pelajar semakin yakin.
Bayangkan seorang murid Tahun Satu yang masih belum boleh membaca. Kebiasaannya kita menyuruhnya membaca berulang kali.
Namun seorang guru yang memahami 'scaffolding' tidak akan terus memberikan buku untuk dibaca. Beliau terlebih dahulu mencari puncanya.
Adakah murid itu belum mengenal bunyi huruf? Adakah dia boleh membunyikan suku kata tetapi gagal menggabungkannya menjadi perkataan? Atau dia sebenarnya boleh membaca tetapi tidak memahami maksud bacaan?
Bantuan yang diberikan bergantung kepada keperluan murid, bukannya sama untuk semua. Begitu juga dalam mata pelajaran Sains.
Ramai guru memulakan pengajaran dengan menerangkan konsep penyejatan, pemeluwapan, dan kerpasan. Namun bagi seorang guru yang memahami 'scaffolding', pembelajaran mungkin bermula dengan sebuah lagu tentang hujan.
Murid menyanyi sambil menggayakan pergerakan wap air yang naik ke langit, awan yang terbentuk dan titisan hujan yang turun ke bumi. Kemudian guru bercerita tentang pengembaraan "Si Titis Air" yang mengembara dari laut ke awan sebelum kembali semula ke bumi.
Hanya selepas murid benar-benar memahami cerita tersebut, istilah saintifik diperkenalkan.
Lagu itu bukan sekadar hiburan. Cerita itu bukan sekadar aktiviti. Kedua-duanya ialah perancah yang membantu murid membina gambaran mental sebelum memahami konsep yang abstrak.
Dalam Matematik pula, guru tidak semestinya bermula dengan nombor dan formula. Konsep pecahan boleh diperkenalkan melalui kisah sekumpulan rakan yang berkongsi sekeping piza.
Murid berbincang, melukis, memotong model dan bermain sebelum simbol ½ atau ¼ diperkenalkan. Apabila simbol itu akhirnya muncul, murid sebenarnya telah memahami maknanya.
Begitu juga dalam pembelajaran bahasa. Kanak-kanak tidak belajar bahasa ibunda mereka dengan menghafal definisi kata nama atau kata kerja.
Mereka belajar melalui cerita yang dibacakan ibu bapa, lagu yang dinyanyikan berulang kali, permainan bahasa, perbualan dan pengalaman harian.
Guru yang bijak memanfaatkan pengalaman-pengalaman ini sebagai 'scaffolding' sebelum memperkenalkan konsep tatabahasa secara formal.
Di sekolah menengah, 'scaffolding' berubah bentuk. Guru bukan lagi sekadar membantu pelajar mendapatkan jawapan, tetapi membantu mereka membina cara berfikir.
Dalam kelas Matematik, misalnya, guru tidak terus menunjukkan formula. Sebaliknya, guru mengemukakan soalan seperti, "Apakah maklumat yang kamu ada?" atau "Mengapa kamu memilih langkah itu?"
Sedikit demi sedikit, soalan guru bertukar menjadi suara dalaman pelajar sendiri. Pada ketika itulah pembelajaran sebenar berlaku.
Di institusi pengajian tinggi, cabarannya lebih besar. Ramai pensyarah mengharapkan pembentangan yang kritis, sedangkan pelajar tidak pernah diajar bagaimana untuk berfikir secara kritis.
Mereka diminta mengulas artikel jurnal tanpa pernah diperlihatkan bagaimana seorang ahli akademik membaca, mempersoalkan, membandingkan dan mensintesis idea.
Pensyarah yang mengamalkan 'scaffolding' akan berkongsi proses berfikirnya secara terbuka. Beliau menunjukkan bagaimana sesuatu keputusan dibuat, bagaimana sesuatu hujah dinilai dan bagaimana sesuatu dapatan dipersoalkan.
Lama-kelamaan, proses berfikir pensyarah menjadi proses berfikir pelajar.
Dalam dunia pendidikan hari ini, 'scaffolding' juga boleh diperkaya melalui gamifikasi dan AI. Namun, kita perlu berhati-hati agar tidak terpesona dengan teknologinya sehingga terlupa tujuan sebenar.
Gamifikasi bukan sekadar mengumpul lencana atau mata. AI pula bukan sekadar mesin yang memberikan jawapan. Kedua-duanya hanyalah alat.
Nilainya bergantung pada bagaimana guru menggunakannya sebagai perancah untuk membawa pelajar daripada apa yang mereka tahu kepada apa yang mereka belum kuasai.
Seperti perancah yang ditanggalkan apabila bangunan telah kukuh berdiri, sokongan guru juga seharusnya berakhir apabila pelajar telah mempunyai ilmu, kemahiran dan keyakinan untuk berdiri atas kaki sendiri.
Itulah ukuran sebenar kejayaan seorang pendidik.
Dr Satirah Ahmad ialah Pensyarah Cemerlang Gred Khas C di IPG Kampus Sultan Abdul Halim, aktif mempromosikan pembelajaran mendalam melalui pendekatan berasaskan konsep.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.