MALAYSIA
[KOLUMNIS] Memperbaiki CPI: Agenda negara, amanah bersama
![[KOLUMNIS] Memperbaiki CPI: Agenda negara, amanah bersama [KOLUMNIS] Memperbaiki CPI: Agenda negara, amanah bersama](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-09/71756879897_IdrisZaharudin.jpg)
Dato' Idris Zaharudin adalah Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) SPRM (Merangkap Urus Setia Induk Pasukan Petugas Khas CPI). - Foto SPRM
RANCANGAN Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri pada 30 Julai 2025 yang lalu bukan sekadar satu pelan pembangunan 5 tahun ekonomi Malaysia tetapi pelan pemerkasaan maruah nasional. Naskhah tersebut yang mengekalkan sasaran Malaysia untuk berada dalam kelompok 25 negara teratas dunia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) memberi isyarat jelas kepada rakyat dan masyarakat dunia bahawa Malaysia meletakkan tadbir urus atau tatakelola yang baik tidak dapat tidak adalah suatu yang mesti dicapai.
Prestasi CPI negara yang kekal dengan skor 50 dan kedudukan ke-57 dari 180 negara bagi 2 tahun berturut-turut (2023 dan 2024) seolah-olah menggambarkan bahawa usaha, komitmen dan keseriusan Kerajaan dalam memperkasa tatakelola dan membendung rasuah masih belum benar-benar sampai ke segenap lapisan masyarakat.
Walaupun CPI dinamakan dengan ’persepsi rasuah’, namun CPI bukan hanya mengukur usaha Kerajaan dalam membanteras rasuah melalui siasatan, pendakwaan dan sabitan kes rasuah semata-mata, malah CPI mengukur cara kerja, tadbir urus atau dalam kata lain, tatakelola sektor awam dengan melihat sejauh mana ketelusan, kecekapan dan keberkesanan dipraktikkan oleh sektor awam dalam memberikan perkhidmatan kepada golongan sasar. Sekiranya perkhidmatan yang diberikan kepada golongan sasar itu adalah sangat baik dalam tadbir urusnya, golongan sasar akan berasa puas hati terhadap perkhidmatan tersebut, maka persepsi yang baik terhadap perkhidmatan awam akan mula terbentuk dan sekaligus penilaian kepada prestasi Malaysia dalam CPI akan turut meningkat. Begitu juga sebaliknya.
Apa yang dinilai oleh 9 survei CPI untuk Malaysia?CPI untuk Malaysia diberikan markah melaui purata markah daripada 9 survei yang berasingan seperti berikut:
1) Bertelsmann Stiftung Transformation Index menilai tahap demokrasi atau kebebasan rakyat dalam memilih pemerintah serta tahap kestabilan ekonomi sesebuah negara;
2) Economist Intelligence Unit Country Risk Service menilai urus tadbir sistem kehakiman, pengauditan dan pengurusan dana awam;
3) Global Insight Country Risk Ratings menilai risiko rasuah dalam perniagaan;
4) IMD World Competitiveness Center World Competitiveness Yearbook pula menilai daya saing negara dari aspek ekonomi, infrastruktur, kecekapan Kerajaan serta kecekapan sektor perniagaan;
5) Political and Economic Risk Consultancy (PERC) Asian Intelligence menilai risiko politik dan ekonomi, peluang pelaburan serta pasaran baharu;
6) PRS Group International Country Risk Guide pula menilai 3 risiko utama yang dihadapi oleh entiti perniagaan iaitu risiko politik, risiko kewangan dan risiko ekonomi;
7) World Economic Forum Executive Opinion Survey (EOS) menilai import dan eksport, perlesenan serta perolehan Kerajaan;
8) World Justice Project Rule of Law Index Expert Survey menilai negara dari sudut perundangan; dan
9) Varieties of Democracy (V-Dem) menilai tahap kebebasan bersuara melalui media, sistem pilihan raya, hak asasi manusia serta perundangan dan kehakiman.
Berdasarkan skop yang dicakup oleh 9 survei ini, dapat disimpulkan bahawa CPI ini sebenarnya lebih tepat dilihat memberikan penilaian kepada tahap tatakelola dalam sektor awam secara keseluruhannya.
Penilaian 360 darjah ke atas aspek tatakelola negara ini menjadi kompas para pelabur sebelum membuat keputusan untuk melabur di Malaysia atau sebaliknya. Justeru, tidak keterlaluan jika CPI ini dijenamakan semula sebagai Indeks Tatakelola Baik atau Good Governance Index kerana aspek yang dinilai melangkaui batas komitmen negara memerangi rasuah.
Namun persoalannya, apa pentingnya keputusan pelabur untuk rakyat?
Analoginya mudah- sebuah syarikat kereta dari Jerman memutuskan untuk membina sebuah kilang automotif di Malaysia. Selain pekerjaan, anak tempatan berpeluang mempelajari kemahiran dan teknologi pembuatan kereta dari negara berkepakaran tinggi dalam bidang automotif dunia. Syarikat ini sudah pasti memerlukan bahan mentah, komponen, logistik dan perkhidmatan yang akan memberikan limpahan ekonomi kepada syarikat tempatan untuk menjadi pembekal. Rantaian bekalan tempatan yang berkembang maju akan meningkatkan hasil kepada negara sekali gus merancakkan ekonomi setempat.
Namun bukan mudah memikat pelabur asing.
Kestabilan politik, komitmen memerangi rasuah, sistem percukaian yang telus serta perkhidmatan Kerajaan yang cekap menjadi antara elemen yang dinilai pelabur dan ini menjadi resipi negara-negara terbaik dalam CPI.
Justeru, usaha meningkatkan pretasi CPI negara tidak boleh dilaksanakan oleh satu pihak semata-mata. Usaha ini memerlukan kekuatan kerjasama secara bersepadu oleh seluruh agensi Kerajaan melalui Pendekatan Keseluruhan Kerajaan (Whole-of-Government). Setiap agensi Kerajaan dilihat sebagai satu komponen dari sistem perkhidmatan Kerajaan yang besar, yang berfungsi bersama-sama dalam membanteras rasuah dan memperkukuh tatakelola perkhidmatan awam secara menyeluruh. Ketidaksepakatan antara agensi Kerajaan menyebabkan usaha reformasi Kerajaan yang baik menjadi kabur, melemahkan keyakinan awam dan pelabur dan akhirnya memberi kesan negatif kepada prestasi CPI Malaysia.
Atas sebab itu, untuk membina sebuah negara yang kuat, akar tatakelolanya mestilah kukuh. Setiap reformasi dasar dan perundangan yang dilaksanakan mestilah berpaksikan prinsip tatakelola baik. Prinsip Ketelusan (Transparency), memperkukuh kebertanggungjawaban (Reinforce accountability), kecekapan (Efficiency) dan keberkesanan (Effectiveness) atau ringkasnya T.R.E.E. harus menjadi mantra dan akar dalam setiap inisiatif Kerajaan.
Prinsip ketelusan memastikan setiap perancangan dan pelaksanaan dasar Kerajaan dibuat secara terbuka dan jelas kepada rakyat. Rakyat mahu melihat dengan jelas bagaimana wang cukai mereka dimanfaatkan, bagaimana dasar dan program dijalankan serta mengapa keputusan tertentu diambil oleh Kerajaan. Atas sebab itu, penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Kebebasan Maklumat menjadi antara inisiatif yang memberi nafas baharu dalam prinsip ketelusan Kerajaan. Melalui inisiatif ini, rakyat diberi akses kepada maklumat yang sahih dan diberi ruang untuk memahami serta menyumbang kepada pembentukan dasar negara.
Prinsip kebertanggungjawaban menuntut semua pihak melaksanakan amanah dengan penuh dedikasi. Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 yang menggariskan pendekatan
menyeluruh membanteras rasuah merentasi sektor serta Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang digubal bagi memastikan dana awam dibelanjakan secara berhemat tanpa pembaziran dan ketirisan merupakan antara dasar Kerajaan yang mencerminkan prinsip ini.
Prinsip kecekapan diterjemahkan melalui penyampaian perkhidmatan yang cepat dan tepat. Selaras dengan prinsip ini, Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan yang diluluskan pada tahun ini dan Program Reformasi Karenah Birokrasi di bawah Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) yang diterajui oleh Ketua Setiausaha Negara merupakan tekad Kerajaan untuk mengurangkan prosedur rumit dan birokrasi bagi mempercepat urusan Kerajaan.
Prinsip keberkesanan memberi gambaran bahawa perubahan yang dilakukan oleh perkhidmatan awam memberi kesan positif dan kebaikan kepada rakyat. Sebagai contoh, pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 menambahbaik perlindungan kepada individu yang melapor sebarang salah laku yang mana pemberi maklumat tetap boleh dilindungi walaupun salah laku itu terkandung dalam dokumen yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi. Selain itu, pindaan Akta Audit 1957 yang menjadikan proses audit lebih bebas dan menyeluruh menjadi antara usaha Kerajaan dalam memastikan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam.
Malaysia tidak akan mampu melonjak ke hadapan tanpa asas yang kukuh. Prinsip T.R.E.E. bukan sekadar akronim, tetapi harus diletakkan sebagai prinsip asas kerja yang perlu dijadikan budaya dalam
perkhidmatan awam. Prinsip ini mesti menjadi tunjang kepada setiap dasar dan reformasi Kerajaan. T.R.E.E. perlu menjadi satu pohon yang membuahkan natijah kepada tatakelola baik bagi semua sektor dalam pentadbiran negara ini.
Negara yang berada di kedudukan teratas dalam CPI seperti Denmark, Finland dan New Zealand yang konsisten mengamalkan prinsip T.R.E.E. menikmati kemajuan ekonomi hasil pelaburan langsung asing yang berterusan. Tatakelola baik menjadi asas utama dalam meningkatkan keyakinan rakyat dan pelabur. Negara yang serius dalam menarik modal lestari harus mengutamakan prinsip tatakelola baik kerana hanya pentadbiran Kerajaan yang telus, bertanggungjawab, cekap dan berkesan menyediakan persekitaran yang selamat dan menjana ekonomi untuk pelabur, sekali gus memperkukuh ekonomi dan imej negara.
*Dato' Idris Zaharudin adalah Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) SPRM (Merangkap Urus Setia Induk Pasukan Petugas Khas CPI).
**Penulisan artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami