Skip to main content

Malaysia

[KOLUMNIS] Memperkasa pendidikan, mencorak masa depan murid berkeperluan pendidikan khas

51611655050_MuridOKU.jpg
Penilaian terhadap MBPK tidak seharusnya berasaskan pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi perkembangan komunikasi, interaksi sosial, dan kemahiran pengurusan diri. -Gambar hiasan
Advertisement

SETIAP kanak-kanak di Malaysia berhak mendapat pendidikan yang sewajarnya tanpa mengira latar belakang, warna kulit mahu pun tahap pencapaian dalam akademik.

Prinsip ini turut merangkumi Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) yang memerlukan sokongan bersesuaian dengan keupayaan serta potensi masing-masing. Golongan ini merangkumi murid yang menghadapi kekangan dari segi fizikal, intelektual, pembelajaran, emosi dan tingkah laku.

Keperluan yang pelbagai ini menuntut pendekatan pendidikan yang lebih fleksibel agar setiap murid berpeluang berkembang secara optimum.

Kita beruntung kerana kerajaan Malaysia telah lama mengambil inisiatif mewujudkan kelas khas untuk MBPK bagi memastikan mereka menerima sokongan yang bersesuaian sejak di bangku sekolah.

Kelas ini berperanan memberi perhatian dan sokongan bersesuaian kepada golongan ini sejak dari sekolah rendah lagi di mana asas pembelajaran, perkembangan diri dan keyakinan dapat dipupuk dalam kalangan mereka mengikut keupayaan masing-masing.

Image
Sumber: BERNAMA

Data Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada tahun 2023 menunjukkan seramai 113,186 MBPK berdaftar dalam sistem pendidikan negara.

Daripada jumlah itu, sebanyak 89.89 peratus atau 101,741 murid ditempatkan di bawah Program Pendidikan Inklusif (PPI) bersama murid arus perdana.

Walaupun MBPK merupakan kelompok kecil dalam populasi murid sesebuah sekolah, hak mereka untuk memperoleh pendidikan yang berkualiti tidak boleh dipinggirkan.

Mereka berhak belajar dalam persekitaran yang selamat, kondusif dan mampu memenuhi keperluan pembelajaran masing-masing.

Perkara ini amat penting bagi MBPK kerana pendidikan merupakan asas kepada perkembangan akademik, sosial, emosi dan kemahiran kendiri mereka sejak hari pertama menjejaki alam persekolahan.

Namun, cabaran yang dihadapi MBPK dalam proses pembelajaran tidak boleh dipandang ringan.

Ada murid yang mengalami kesukaran untuk berinteraksi dengan rakan sebaya, menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah atau membina keyakinan diri akibat kekangan yang dihadapi.

Image
41672665207_muriddikasari.jpg

Bagi pendidik pula, mereka perlu berdepan dengan kepelbagaian tahap keupayaan murid MBPK merangkumi kemahiran membaca, menulis, komunikasi, tingkah laku, dan pengurusan diri.

Situasi ini menuntut guru menggunakan pendekatan pengajaran yang lebih fleksibel dan kreatif mengikut kesesuaian serta keupayaan setiap murid.

Dalam masa sama, sekolah pula masih berdepan kekangan dari segi bahan pembelajaran, kemudahan fizikal serta teknologi bantuan yang diperlukan bagi menyokong proses pengajaran dan pembelajaran MBPK.

Berbanding murid normal, MBPK memerlukan pendekatan yang lebih bersifat individu mengikut keperluan dan tahap ketidakupayaan masing-masing.

Namun, realiti semasa amat mendukacitakan apabila masih ada kes di mana murid-murid ini dihimpunkan di dalam satu ruang yang padat tanpa sebarang pengasingan mengikut tahap masalah pembelajaran.

Keadaan ini meletakkan bebanan yang tidak munasabah kepada para pendidik untuk mengurus pelbagai spektrum keperluan khas secara serentak.

Kesannya, persekitaran pembelajaran menjadi tidak kondusif, sekali gus menggagalkan matlamat asal pendidikan inklusif dan membiarkan murid MBPK terus tercicir daripada arus persekolahan.

MBPK juga amat memerlukan perhatian dan sokongan berterusan daripada ibu bapa. Peranan ibu bapa tidak seharusnya terhad di rumah semata-mata, sebaliknya mereka perlu bertindak sebagai rakan strategik kepada pihak sekolah.

Melalui komunikasi berkala dengan guru dan penyertaan aktif dalam Rancangan Pendidikan Individu (RPI), ibu bapa dapat memantau perkembangan anak secara menyeluruh.

Penglibatan berterusan ini membolehkan strategi pembelajaran di sekolah diteruskan di rumah, sekali gus memastikan proses intervensi anak-anak ini berjalan secara konsisten dan berkesan.

Image
81591353018_brailleOKUpenglih.jpg

Dari sudut masyarakat pula, persepsi negatif yang wujud perlu dihapuskan sepenuhnya. Stigma masyarakat yang memandang MBPK ini sebagai beban atau liabiliti hendaklah dikikis.

Sebaliknya, masyarakat perlu membuka mata dan mula menerima mereka sebagai individu berpotensi yang berhak mendapat tempat serta ruang untuk menyumbang kepada pembangunan negara.

Titik tolak dalam mencorak masa depan MBPK ini berpaksikan peranan sekolah dan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mula memandang MBPK sebagai individu berpotensi yang mampu menyumbang kepada negara sekiranya diberikan sokongan yang betul.

Semestinya di era digital kini, penggunaan teknologi sangat diperlukan dalam pengajaran dan pembelajaran MBPK.

Guru boleh memanfaatkan aplikasi interaktif, bahan audiovisual, permainan pendidikan dan teknologi bantuan bagi menjadikan proses pembelajaran lebih menarik, berkesan dan mudah diakses oleh murid.

Bagi mewujudkan persekitaran sekolah yang inklusif secara berterusan, pelbagai langkah proaktif perlu dilaksanakan. Ini termasuklah meningkatkan latihan kompetensi guru, memperkukuh sinergi pendidik, menyediakan kemudahan fizikal yang kondusif, serta meningkatkan penglibatan ibu bapa dalam aktiviti sekolah.

Penilaian terhadap MBPK tidak seharusnya berasaskan pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi perkembangan komunikasi, interaksi sosial, dan kemahiran pengurusan diri.

Image
41507276218_TBPelajarSekolah.jpg

Kesimpulannya, usaha memartabatkan pendidikan MBPK ini umpama menanai benih yang bakal menjadi pohon rindang, ia menuntut kesabaran dan sinergi yang utuh daripada pelbagai pihak.

Pihak kementerian, pendidik, ibu bapa, dan masyarakat wajar berpaut pada akar yang sama demi membina ekosistem pendidikan yang saksama.

Apabila sokongan fizikal dan emosi disepadukan, anak-anak istimewa ini tidak lagi dilihat sebelah mata, sebaliknya mampu dimekarkan potensinya demi kemajuan nusa dan bangsa.


Noor Azida Ab Wahab dan Dr Abdul Mutalib Embong ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan (PPAL), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Terengganu.

Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang pengarang Astro AWANI.

 

Must Watch Video

Advertisement