MALAYSIA
[KOLUMNIS] Menjamin pendapatan bermaruah sepanjang hayat
![[KOLUMNIS] Menjamin pendapatan bermaruah sepanjang hayat [KOLUMNIS] Menjamin pendapatan bermaruah sepanjang hayat](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-02/51738734281_KWSPEPFAkaunSim.jpg)
Sejak dua dekad lalu, simpanan KWSP telah menjadi sumber pilihan untuk dikeluarkan dan ia dibenarkan oleh kerajaan, ketika belum usia bersara mandatori. - Gambar hiasan
KIRA-KIRA dua tahun lalu, dua rakan saya berkongsi idea untuk membangunkan rumah berteduh untuk warga emas.
Pandangan kedua-dua mereka ada asasnya. Malah, ia seolah-olah menjadi satu keperluan wajib jika mengambil kira perkembangan semasa, bukan sahaja di Malaysia, malah di kebanyakan negara.
Baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mencadangkan supaya pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenarkan menggunakan Akaun 2 atau Akaun Sejahtera untuk membiayai premium bulanan insurans kesihatan.
Cadangan itu mendapat reaksi yang pelbagai. Ada yang mengalu-alukan, dan ada yang menzahirkan pendirian memprotes, iaitu menurut mereka ia tidak harus disentuh sama sekali untuk keperluan jangka pendek.Jika diluluskan oleh kerajaan untuk menggunakan simpanan, yang disediakan khusus untuk kegunaan ketika sudah lagi tidak bekerja, menurut menteri, kira-kira 16 juta pencarum KWSP akan berpeluang menikmati perlindungan insurans kesihatan termasuk rawatan di hospital swasta.
Berdasarkan statistik, kira-kira 32 peratus kos penjagaan kesihatan di negara ini dibayar sendiri oleh pesakit tanpa perlindungan insurans.
Cadangan membenarkan pencarum menggunakan simpanan Akaun 2 bagi membiayai premium insurans kesihatan masih di peringkat pertimbangan, kata KWSP.
Pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan pihak-pihak berkaitan bagi menilai kelayakan dan implikasi inisiatif tersebut.
Sebagaimana disebutkan oleh KWSP, semua cadangan yang membabitkan simpanan ahli, penilaian yang teliti sedang dijalankan bagi memastikan sebarang inisiatif baharu dapat mengimbangi keperluan semasa dengan keselamatan persaraan jangka panjang ahli.
Sejak dua dekad lalu, simpanan KWSP telah menjadi sumber pilihan untuk dikeluarkan dan ia dibenarkan oleh kerajaan, ketika belum usia bersara mandatori.
Banyak pihak mengesyorkan supaya dana KWSP disentuh untuk pilihan pembiayaan untuk tujuan-tujuan tertentu.
Antara yang dibenarkan sejak saya mula bekerja ialah bagi membiayai pembelian komputer pada tahun 1990-an, untuk melangsaikan pinjaman perumahan, perubatan kritikal dan terkini sebelum ini, ketika COVID-19, sebagai solusi menyelesaikan beban kewangan sementara, yang turut didakwa sebagai keputusan populariti politik.
Hari ini, ketika berada dalam era pasca-COVID-19. Tetapi isu pendapatan layak atau bermaruah masih belum selesai, di samping beban kos hidup yang terus meningkat. Ini termasuk kos perubatan, terutama di pusat perubatan swasta.
Baru-baru ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memberitahu, kerajaan bercadang untuk memperkenalkan skim insurans asas untuk rakyat sebagai sebahagian daripada langkah untuk mengurangkan beban kewangan terhadap kos rawatan kesihatan yang semakin meningkat.
Inisiatif itu sedang diperhalusi menerusi jawatankuasa bersama membabitkan Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, Bank Negara Malaysia dan beberapa agensi berkaitan.
Menurut beliau: “Inflasi kos perubatan adalah isu serius yang memberi tekanan kepada rakyat. Oleh itu, kita telah tubuhkan jawatankuasa bersama dan sedang mengumpul input daripada pelbagai pihak untuk meneliti model terbaik yang boleh digunakan.”
Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, insurans sepatutnya menjadi jaring keselamatan. Namun kini ia menjadi satu beban kewangan tambahan.
Dengan premium yang meningkat dan manfaat yang berkurang, penjagaan kesihatan swasta semakin tidak mampu dimiliki sementara hospital kerajaan pula semakin sesak.
Pendapatan seumur hidup atau sepanjang hayat merujuk kepada jumlah wang yang diperoleh seseorang individu sepanjang tempoh bekerja mereka. Ia merangkumi semua sumber pendapatan, termasuk gaji, bonus, pelaburan, dan aliran pendapatan pasif.
Memahami pendapatan seumur hidup seseorang adalah penting dalam membuat keputusan kewangan termaklum dan merancang untuk bersara.
Pendapatan seumur hidup memainkan peranan penting dalam proses ini kerana ia membolehkan individu mencipta belanjawan yang realistik, menetapkan matlamat yang boleh dicapai dan menentukan keperluan kewangan mereka semasa persaraan.
Antara faktor yang mempengaruhi pendapatan semasa dan pendapatan sepanjang hayat ialah pendidikan dan kemahiran, pekerjaan dan kerjaya, demografi, jantina, lokasi tempat tinggal, pilihan dan tingkah laku peribadi, dan keadaan ekonomi.
Faktor inflasi, simpanan, kos sara hidup, dan gaya kehidupan juga akan menentukan paras pendapatan selepas persaraan.
Malah faktor-faktor di luar kawalan sebagaimana kita alami lima tahun lalu apabila pandemik membadai satu dunia juga tidak harus dipandang rendah.
Ketidaktentuan geopolitik dunia yang mempunyai kesan dan impak secara langsung juga mempunyai pengaruh am secara langsung dan tidak langsung.
Struktur gaji rendah di Malaysia menjadi antara faktor utama yang menyebabkan jumlah simpanan KWSP yang tidak mencukupi.
Pada pandangan Pengerusi KWSP, Tan Sri Mohd Zuki Ali, mantan Ketua Setiausaha Negara, caruman yang tidak teratur, terutama dalam kalangan mereka yang menceburi ekonomi tidak formal atau ekonomi gig, juga hanya memburukkan keadaan.
“Peralihan yang kian ketara ke arah kerja tidak formal telah menyebabkan semakin kurangnya individu mendapat akses terhadap skim simpanan persaraan rasmi seperti KWSP. Ini ditambah lagi dengan tahap celik kewangan agak rendah dan mengehadkan pemahaman orang ramai mengenai kepentingan menabung serta perancangan persaraan," kata beliau.
Antara usaha yang diambil oleh kerajaan bagi menambah kadar gaji dan pendapatan yang diperoleh termasuklah menaikkan gaji dan melaksanakan pelarasan gaji di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) berkuat kuasa 1 Disember 2024.
Kini kerajaan sedang melaksanakan sebagai pendekatan percubaan dasar gaji progresif. Kerajaan juga telah menaikkan gaji minimum dari semasa ke semasa seiringan dengan peraturan penetapan gaji minimumvuntuk membantu menangani peningkatan kos sara hidup serta memperbaiki keadaan kewangan pekerja yang bergaji rendah.
Pun begitu belum ada solusi yang konkrit lagi holistik bagi menjamin kehidupan berkualiti sepanjang hayat bagi rakyat negara ini.
Dalam ucapan pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 dua tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, Kerajaan Perpaduan kini sedang mempersiap negara bagi menempuh fasa kedua yang diberi tema “Mampan, Sejahtera dan Berpendapatan Tinggi” dengan tiga tumpuan utama, yakni memperkukuh kemampanan, membangunkan masyarakat sejahtera dan menuju negara berpendapatan tinggi.
Sebanyak 17 anjakan utama dan 71 inisiatif utama diperkenalkan bagi memastikan keberhasilan perkara yang disasarkan.
Kata beliau: “Bagi memberikan gambaran yang lebih jelas kepada Dewan yang mulia ini, pembentangan ini akan dicerakinkan melalui 12 penegasan yang menjadi inti pati kepada KSP RMK12 dan distrukturkan mengikut tiga tumpuan utama, iaitu Menuju Negara Berpendapatan Tinggi, Membangun Masyarakat Sejahtera, dan Memperkukuh Kemampanan dan Tatakelola.”
Di Malaysia, kita secara amnya, menikmati keamanan dan ketenangan yang mana ia tidak menggugat kualiti kehidupan seperti mana disaksikan di banyak negara.
Malangnya, kebelakangan ini kita sudah mula bercakap mengenai kehidupan berkualiti sepanjang hayat, bermakna tempoh selepas bersara bagi kebanyakan kita - bagi lebih 15 juta orang.
Satu jumlah yang besar. Bagi golongan kaya terutama T-20 isu pendapatan sepanjang hayat tidak menjadi masalah besar.
Maka, sudah tiba masa kita memikirkan sesuatu untuk menjamin pendapatan sepanjang hayat pada kadar yang munasabah sekurang-kurangnya, yang mana ia juga akan menjamin kehidupan berkualiti sepanjang hayat bagi rakyat Malaysia.
Ia lebih kritikal pada hari ini. Maka, kita memerlukan dasar yang lebih baik. Bukan hanya memastikan pendapatan bermaruah dan layak ketika seseorang itu, bekerja, tetapi selepas itu.
Saya yakin Kerajaan MADANI akan mengambil kira perkara ini, dan dijadikan dasar dan inisiatif yang realiti.
* Dr G Manimaran penganalisis pilihan raya, dan perunding media dan komunikasi.
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami