Skip to main content

Malaysia

[KOLUMNIS] Merdeka: Daripada 'disantuni kepada 'dinikmati', bukan apa yang diberi, tetapi apa yang sampai

Sumber: BERNAMA
Selama 69 tahun, amanah Merdeka ialah memastikan selagi bendera itu masih dinaikkan, harapan kepada Malaysia tidak pernah diturunkan. - Gambar Bernama
Advertisement

I. Yang berkibar bukan sekadar bendera

Setiap Ogos, di Rantau Panjang, Tawau ,Pekan atau Muar, tangan-tangan biasa kembali memasang Jalur Gemilang di hadapan kedai dan gerai yang  kecil. Tiada siapa menyuruh, tiada upacara, mungkin tiada siapa pun melihat. Mereka melakukannya kerana jauh di dalam hati, masih hidup satu rasa.

Negara ini milik mereka. Maka yang berkibar bukan sekadar bendera, tetapi rasa memiliki, kesetiaan dan harapan. Selama 69 tahun, amanah Merdeka ialah memastikan selagi bendera itu masih dinaikkan, harapan kepada Malaysia tidak pernah diturunkan.

Mari kita bermula dengan gambaran itu, kerana,setiap perbincangan tentang kekurangan sebuah negara wajar didahului dengan pengakuan tentang apa yang telah dilakukannya dengan betul. Enam puluh sembilan tahun selepas Tunku melaungkan 'Merdeka' tujuh kali, Malaysia masih berdiri, masih bersatu, dan rakyatnya masih menaikkan bendera dengan tangan sendiri. Itu bukan pencapaian kecil.

Kita pernah terhiris pada 1969, termenung ketika diuji krisis kewangan Asia 1998, ketakutan saat melalui pandemik dan menyaksikan sambil dalam kebingungan beberapa pertukaran kerajaan dalam tempoh yang singkat.

Namun setiap kali keseimbangan terganggu, negara ini mampu menemukan jalan untuk kembali berdiri,tentunya tidak tanpa parut, tetapi tanpa kehilangan dirinya. Maka apabila kita berbicara tentang apa yang masih belum selesai, kita tidak bermula daripada kekecewaan, tetapi daripada keyakinan yang mempunyai bukti. Mengakui kekurangan bukan merendahkan Malaysia.

Kita menuntut lebih kerana kita tahu Malaysia mampu menjadi lebih. Barangkali itulah patriotisme matang yang cukup cintanya untuk melihat kekurangan, cukup beraninya untuk memperbaikinya dan cukup keyakinannya  bahawa bab terbaik Malaysia masih belum selesai ditulis.

II. Tiga generasi ukuran Merdeka

Jika 69 tahun perjalanan Malaysia dipadatkan kepada satu kerangka, kita akan menemukan tiga generasi ukuran Merdeka yang mana setiap generasi mewarisi kemerdekaan yang sama, tetapi menuntut jawapan yang berbeza daripada negaranya. Generasi pertama berhadapan dengan persoalan paling asas: 'Adakah negara ini milik kita?' Jawapannya diberikan pada 31 Ogos 1957, apabila kedaulatan kembali ke tangan kita sendiri. Itu pembuktian tentang kedaulatan.

Generasi kedua bertanya soalan yang berbeza: 'Bolehkah kita kekal bersama dan membawa negara ini maju?' Jika dikira dari tahun 1970 sehingga sekarang, ada 56 tema yang boleh diringkaskan seperti Tahun 1970-an mengangkat muhibah dan perpaduan; 1980-an menuntut disiplin, amanah dan bakti; 1990-an memberikan wawasan; 2000-an menekankan pencapaian dan transformasi.

Ini adalah generasi pembangunan yakni zaman ketika kejayaan negara diukur melalui apa yang berjaya kita bina, besarkan dan capai. Jalan raya, universiti, industri, bandar, perdagangan dan infrastruktur menjadi bukti bahawa kemerdekaan boleh diterjemahkan kepada kemajuan material. Malaysia telah memberikan banyak bukti. Itu pembuktian tentang kemampuan.

Tetapi generasi ketiga tidak lagi berpuas hati dengan pertanyaan itu. Mereka bertanya sesuatu yang lebih dekat, lebih peribadi dan sebenarnya lebih sukar: 'Adakah kemajuan negara ini sampai kepada kehidupan saya?'

Di sinilah ukuran Merdeka berubah. Pertumbuhan ekonomi penting tetapi adakah pendapatan keluarga turut meningkat? Pelaburan penting tetapi adakah pekerjaan yang lahir berkualiti dan bergaji munasabah? Infrastruktur penting tetapi adakah ia menjimatkan masa dan membuka peluang? Pendidikan berkembang tetapi adakah ia masih menjadi tangga mobiliti sosial?

Kemajuan Malaysia tidak boleh berhenti pada angka. Ia mesti sampai kepada rakyat, mengangkat kehidupan mereka, memperluas peluang mereka dan memberi setiap generasi keyakinan bahawa di tanah air sendiri, masa depan mereka masih boleh dibina.

Pertanyaan generasi ketiga bukan penolakan terhadap pencapaian negara. Ia peningkatan standard terhadap pencapaian itu. Semakin matang sebuah negara, semakin tidak memadai untuk membuktikan bahawa negara sedang maju. Ia perlu menunjukkan bahawa rakyat sedang maju bersamanya. Itu pembuktian tentang penyertaan dan itulah tugas yang belum selesai.

Di sini kita amati satu hal tentang penantian. Setiap generasi pernah diminta menunggu dan menunggu itu pernah berbaloi. Generasi pertama diminta bersabar sehingga tanah ini menjadi milik sendiri; generasi kedua diminta bersabar sehingga negara cukup kukuh untuk berkongsi hasilnya.

Kedua-dua janji itu ditepati. Tetapi janji yang ditepati mempunyai kesannya sendiri, ia mengajar generasi berikutnya bahawa 'nanti' sepatutnya mempunyai tarikh. Bagi anak muda hari ini, 'nanti' bukan lagi jawapan; ia soalan: nanti bila?

III. Perubahan pada bahasa, perubahan pada tanggungjawab

Pada era Malaysia MADANI, ada empat tema Hari Kebangsaan sejak 2023. Ia wajar dibaca sebagai satu rangkaian bahasa pemerintahan yakni daripada tekad, kepada jiwa, kepada santunan dan akhirnya kepada kesejahteraan yang dinikmati. Dalam dasar awam, perubahan bahasa bukan perkara kecil kerana ia menentukan siapa yang memikul tanggungjawab dan pada titik mana kejayaan akhirnya harus dibuktikan.

2023 — Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan. Ini bahasa niat yang berada dalam wilayah pemerintah. Tekad menggambarkan apa yang tersimpan dalam dada mereka yang memegang amanah.

2024 — Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka. Ini bahasa semangat yang luhur, menggugah dan sarat makna, tetapi sukar diletakkan pada neraca. Jiwa tidak mempunyai angka dan kerana itu tiada siapa dapat membuktikan secara muktamad sama ada jiwa seseorang benar-benar telah merdeka.

2025 — Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni. Buat pertama kalinya rakyat hadir secara nyata dalam binaan ayat, namun masih sebagai objek. Kerajaan menyantuni; rakyat menerima. Ayat itu tetap bermula daripada tangan yang memberi.

2026 — Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati. Di sini bahasanya berubah secara mendasar. Tiada lagi siapa yang menyantuni. Tiada lagi pihak yang mendakwa memberi. Yang tinggal hanyalah satu keadaan yang mesti benar-benar wujud dalam kehidupan penerima.

Perkataan paling penting dalam tema tahun ini bukan sangat kepada kesejahteraan. Hampir setiap kerajaan di dunia bercita-cita membawa kesejahteraan. Perkataan yang mengubah seluruh sifat hujah ialah 'dinikmati'. Kerajaan boleh membina, membelanjakan, meluluskan, menyediakan dan mengumumkan tetapi semua kata kerja itu berlaku di sebelah kerajaan. 'Dinikmati' berlaku di sebelah rakyat. Itulah kelainan yang besar.

Tema ini tidak lagi perlu dipertahankan dengan ayat lama: 'Lihatlah berapa banyak yang kerajaan telah lakukan'. Itu masih mengukur kejayaan dari meja pemberi. Hujah yang lebih yakin ialah: 'Mari kita lihat sejauh mana apa yang telah dilakukan itu sampai.' Yang pertama meminta rakyat menghargai usaha; yang kedua membenarkan rakyat menguji hasil. Yang pertama menghitung program; yang kedua mengukur perubahan. Yang pertama ialah delivery. Yang kedua ialah lived experience.

Dengan satu maksud, pusat pembuktian telah berpindah, bilamana kerajaan boleh membentangkan angka dan pencapaian, tetapi akhirnya rakyatlah yang menentukan sama ada kemajuan itu benar-benar telah singgah dalam kehidupan mereka.

Maka di sinilah letaknya optimisme yang matang pada tahun ke-69. Kita tidak perlu mendakwa segala masalah telah selesai untuk mengakui betapa jauhnya Malaysia telah melangkah dan kita tidak perlu menafikan keresahan rakyat untuk berbangga dengan pencapaian yang nyata. Negara yang yakin,pastinya berani melihat kekurangannya tanpa kehilangan kepercayaan kepada dirinya sendiri. Malaysia telah melalui krisis, peralihan dan ketidakpastian, namun kita tetap berdiri, membetulkan haluan dan terus mara. Tetapi sejarah tidak memberi kita kemewahan untuk sekadar berbangga dengan sejauh mana kita telah sampai; ia menuntut kita menentukan sejauh mana lagi kita mahu pergi.

Rakyat kini berhak kepada arah yang jelas, kepimpinan yang teguh, dasar yang berkesinambungan dan hari esok yang cukup boleh diramal untuk mereka merancang kehidupan hari ini. Kerana negara yang hebat bukan sekadar memberi rakyat alasan untuk mencintai tanah airnya; ia memberi mereka keyakinan untuk membina masa depan di dalamnya.

IV. Kebanggaan yang boleh diperiksa

Dalam persekitaran global yang dihimpit ketidaktentuan tarif, konflik Asia Barat dan gangguan rantaian bekalan, ekonomi negara berkembang 5.4 peratus pada suku pertama dan 6.0 peratus pada suku kedua melepasi anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia sebanyak 5.8 peratus serta jauh mengatasi median unjuran pasaran yang hanya meletakkan 5.2 peratus.

Pasaran buruh kekal pada paras guna tenaga penuh dengan pengangguran 3.0 peratus. Inflasi masih terkawal pada 1.9 peratus walaupun jujur untuk disebut bahawa ia meningkat daripada 1.6 peratus pada suku pertama, kesan tekanan kos luaran.

Kedudukan Malaysia dalam Indeks Daya Saing Dunia IMD bergerak dalam trajektori yang jarang dicapai mana-mana ekonomi: ke-34 pada 2024, ke-23 pada 2025 dan ke-15 daripada 70 ekonomi pada 2026, kedudukan terbaik dalam sedekad dan kedua terbaik di Asia Tenggara selepas Singapura yang mendahului dunia. Dalam kategori prestasi ekonomi, kita berada di tempat keempat dunia. Tonggak kecekapan kerajaan melonjak 11 anak tangga ke tempat ke-14.

Pada 2025, setiap satu negeri dalam persekutuan ini mencatat pertumbuhan ekonomi yang positif. Bukan sebahagian tetapi semua. Mengikut data terkini, iaitu 2024, bilangan rakyat yang hidup di bawah paras kemiskinan turun daripada 6.2 peratus kepada 5.1 peratus, mereka yang paling tegar miskin tinggal 0.09 peratus dan jurang antara yang kaya dengan yang miskin mengecil ke paras paling rapat sejak 1974. Semuanya boleh diperiksa oleh sesiapa sahaja melalui portal terbuka Jabatan Perangkaan Malaysia.

Namun, ada satu pencapaian Malaysia yang tidak tercatat dalam mana-mana jadual statistik, tetapi mungkin antara yang paling bernilai dalam perjalanan 69 tahun kita. Negara ini pernah melalui beberapa peralihan kerajaan dalam tempoh yang singkat; politik bergelora, majoriti berubah, kepimpinan bertukar.

Tetapi ketika perhatian seluruh negara tertumpu kepada siapa yang akan memerintah, sesuatu yang jauh lebih penting terus bekerja dalam diam; negara tidak berhenti. Gaji penjawat awam tetap dibayar. Sekolah tetap membuka pintunya setiap pagi. Hospital terus menerima pesakit tanpa bertanya siapa yang memegang kuasa. Lampu isyarat tetap bertukar daripada merah kepada hijau, air terus mengalir, elektrik terus menyala. Kita jarang mensyukuri semua ini kerana perkara yang berfungsi tidak menjadi berita. Ia adalah perkara yang biasa.

Tetapi sejarah dunia mengajar kita bahawa apabila institusi itu rapuh, perkara paling biasa itulah yang pertama menjadi luar biasa; seorang ibu mula tertanya-tanya sama ada hospital masih mampu merawat anaknya; seorang guru mula menunggu gaji yang belum pasti; seorang rakyat mula bangun pagi tanpa mengetahui sama ada negaranya masih mampu menunaikan janji paling asas kepadanya.

Sebuah negara tidak semestinya runtuh dengan dentuman; kadangkala ia mula runtuh apabila hari esok tidak lagi boleh diramal. Sebab itu kita mesti membezakan pergolakan politik daripada ketahanan negara.

Politik Malaysia pernah bergoncang, tetapi pentadbirannya tidak ikut rebah. Itu bukan kebetulan. Di belakangnya berdiri sebuah perkhidmatan awam dengan disiplin, memori institusi dan kesinambungan yang dibina generasi demi generasi sejak Merdeka. Ketika keadaan bergoyang, ada satu barisan yang tidak pernah bersurai. Mereka tidak berpidato, tidak masuk tajuk utama, malah nama mereka mungkin tidak pernah diketahui rakyat.

Mereka hanya datang bekerja pada keesokan paginya. Mungkin itulah salah satu bentuk patriotisme paling sunyi tetapi paling tinggi nilainya; memastikan negara terus berfungsi ketika orang lain sedang menentukan siapa yang akan memerintahnya. Kerajaan boleh bertukar. Tetapi Malaysia tetap bangun bekerja setiap pagi. Itulah keupayaan negara. Itulah kekuatan institusi. Itulah kemerdekaan yang matang.

V. Kekurangan yang wajar diakui

Kita berhak berbangga dengan kemajuan Malaysia. Tetapi kebanggaan yang jujur menuntut keberanian melihat siapa yang masih belum dapat menikmatinya. Angka menunjukkan jurang pendapatan semakin mengecil namun kehidupan rakyat tidak berlaku dalam angka. Rakyat mengukurnya dengan soalan yang jauh lebih mudah; cukupkah gaji sampai hujung bulan, mampukah anak mendapat peluang yang lebih baik, bolehkah membeli rumah dan adakah tahun depan akan lebih senang daripada tahun ini? Sebab itu sebuah negara boleh mencatat pertumbuhan yang baik dan ketidaksamarataan yang menurun, tetapi masih ada keluarga yang merasakan hidup semakin sempit.

Apa yang paling merisaukan bukan kemiskinan yang kita nampak, tetapi keterdedahan yang kita tidak kira. Hari ini ramai rakyat berdiri di atas lantai yang semakin nipis; pekerjaan tanpa cuti sakit, pendapatan yang berubah setiap minggu, simpanan yang boleh habis dalam satu kemalangan, hutang yang menampung makan bukan membina aset dan sebuah telefon yang boleh mengosongkan akaun dalam tiga minit.

Inilah pemindahan risiko yang senyap, dahulu ditanggung bersama oleh sistem, kini ditanggung sendiri oleh isi rumah. Statistik memanggil mereka M40. Realiti memanggil mereka B40. Seterusnya rakyat yang setiap hari menjaga diri daripada jatuh tidak akan sempat berfikir untuk naik.

Kerana kemajuan tidak boleh berhenti di tempat yang sudah maju. Ada negeri yang memecut, ada kawasan yang masih mengejar. Ada keluarga yang mempunyai banyak pilihan, ada yang hanya ada satu dan pilihan itu pun bergantung kepada nasib. Rakyat tidak makan angka KDNK, tidak membayar bil dengan kadar pertumbuhan dan tidak membesarkan anak dengan statistik. Mereka merasakan negara melalui gaji, harga barang, pekerjaan, rumah, sekolah, hospital dan peluang anak-anak.

Maka selepas 69 tahun merdeka, ujian kita bukan lagi sekadar memastikan Malaysia terus maju, tetapi memastikan kemajuan itu tahu jalan pulang yakni sampai ke kampung, ke bandar kecil, ke rumah sederhana, ke meja makan dan akhirnya ke poket serta kehidupan rakyat.

Sebuah negara yang rakyatnya terlalu terdedah tidak akan berani bermimpi besar; dan negara yang rakyatnya tidak berani bermimpi tidak akan pernah sampai ke tempat yang belum pernah dijangkau. Kerana kejayaan sebenar bukan apabila angka negara naik, tetapi apabila rakyat boleh berkata dengan yakin; 'Ya, kami bersyukur sekali dan hidup kami juga semakin baik'.

VI. Kesungguhan yang wajar diiktiraf

Di sini kita wajar memberikan pengiktirafan yang jujur bukan pujian yang bermanis-manis, tetapi penghargaan kepada keberanian memilih yang perlu ketika yang popular jauh lebih mudah. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memperlihatkan tenaga kepimpinan yang tidak mudah diperlahankan oleh kesukaran; daripada disiplin fiskal dan penyasaran subsidi, RMK13 dan reformasi tadbir urus, hingga diplomasi ekonomi dan kepimpinan ASEAN.

Tidak semua pilihan membawa dividen politik segera, tetapi di situlah mutu kepimpinan diuji, kesanggupan membayar harga hari ini supaya negara tidak mewariskan bil yang lebih besar kepada hari esok. Malah tema 'Kesejahteraan Dinikmati' sendiri merupakan keberanian politik; kerajaan boleh mengumumkan dasar dan membentangkan angka, tetapi perkataan dinikmati menyerahkan keputusan akhirnya kepada rakyat. Yang mengumumkan ialah kerajaan; yang mengesahkan ialah kehidupan.

Namun keberanian politik hanya menjadi perubahan apabila jentera mampu membawanya sampai ke bumi. Di bawah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, seruan 'Mempercepat Pelaksanaan, Memperhebat Reformasi' meletakkan follow-up dan follow-through tepat pada urat nadi pentadbiran; negara jarang ketandusan idea; yang lebih sukar ialah mengejar keputusan selepas mesyuarat berakhir, memastikan pelaksanaan selepas pelancaran selesai dan tidak membenarkan perkataan 'nanti' menjadi tempat dasar-dasar baik dikuburkan.

Di sinilah kepimpinan PM dan KSN bertemu, yang seorang memberi keberanian kepada arah, yang seorang memberi disiplin kepada gerak; yang seorang menggerakkan reformasi dari hadapan, yang seorang memastikan seluruh jentera tiba bersama. Kerana akhirnya reformasi bukan diukur pada gegak-gempita ketika ia diumumkan, tetapi pada ketekunan membawanya sehingga rakyat benar-benar dapat merasakan hasilnya.

VII.  Berbeza peranan, satu haluan.

'Kesejahteraan Dinikmati' tidak pernah boleh menjadi hasil kerja kerajaan semata-mata. Negara tidak bergerak dengan satu tangan. Ia bergerak apabila tiga kekuatan bertemu; kepimpinan yang berani menentukan arah, perkhidmatan awam yang mempunyai keupayaan menterjemahkan arah itu menjadi kenyataan dan rakyat serta perusahaan yang berani menukarkan peluang menjadi nilai.

Kerajaan boleh menggubal dasar, menyediakan peruntukan dan membina infrastruktur, tetapi akhirnya negara hadir dalam kehidupan rakyat melalui manusia; pegawai yang memilih menyelesaikan urusan hari ini dan bukan minggu hadapan; guru yang terus mengajar jauh dari pusat perhatian; jururawat yang menjaga pesakit ketika negara sedang tidur; jurutera yang mempertahankan satu milimeter ketepatan walaupun tiada siapa akan mengetahui namanya.

Di situlah dasar memperoleh nyawa. Lantas apabila kerajaan membina landasan, membuka pasaran atau menyediakan insentif, tugasnya belum selesai kerana kerajaan boleh menyediakan peluang, tetapi hanya keberanian rakyat boleh mengubah peluang menjadi kemakmuran. Sebuah kilang tetap memerlukan seseorang yang berani membukanya; sebuah teknologi memerlukan manusia yang mahu menguasainya; sebuah landasan hanya menjadi pembangunan apabila di sepanjangnya lahir pekerjaan, perusahaan dan kehidupan baharu.

Sebab itu gandingan ini bukan slogan perpaduan; ia seni membina negara. Dalam dunia yang semakin tidak menentu, daya tahan Malaysia tidak boleh bergantung kepada sebesar mana belanjawan kerajaan, tetapi kepada sedalam mana keupayaan yang telah kita bina bersama, institusi yang dipercayai, jentera yang cekap, perusahaan yang berani dan rakyat yang percaya bahawa usaha masih berbaloi.

Di sinilah kita juga perlu matang dalam budaya awam; kritik jangan pernah ditumpulkan, tetapi sinisme jangan pula dijadikan tanda kecerdikan. Negara tidak menjadi lebih baik apabila setiap kelemahan disembunyikan; tetapi negara juga tidak menjadi lebih kuat apabila setiap usaha diperlekehkan.

Reformasi yang benar ialah reformasi yang akhirnya tidak lagi memerlukan nama penciptanya kerana jentera telah menjadikannya amalan, perusahaan telah membuktikan nilainya dan rakyat sendiri mahu mempertahankannya. Itulah saat sebuah dasar berhenti menjadi milik kerajaan dan menjadi milik negara.

Maka kontrak tahun ke-69 bukan kontrak antara pemerintah dengan yang diperintah; ia kontrak sebuah bangsa dengan masa depannya: kepimpinan memberi arah, jentera membina keupayaan, rakyat menghidupkan kemungkinan. Apabila ketiga-tiganya bergerak sebagai satu, Malaysia tidak lagi sekadar menunggu masa depan, Malaysia mempunyai kekuatan untuk menentukannya.

VIII.Merdeka : Sejarah kita warisi,masa depan kita tentukan.

Memiliki peta sendiri belum bererti kita memiliki arah sendiri. Kemerdekaan memberi sebuah negara hak menentukan haluannya; tetapi kekuatan sebenar terletak pada keupayaan mempertahankan haluan itu ketika dunia berubah. Kita boleh membina landasan, pelabuhan dan koridor ekonomi baharu, tetapi infrastruktur hanya membuka jalan. Dunia akan menggunakannya apabila percaya kepada negara di belakangnya, kontraknya dihormati, institusinya berfungsi, peraturannya jelas dan dasarnya mempunyai kesinambungan. Infrastruktur membina laluan; kebolehramalan membina keyakinan untuk menggunakannya.

ECRL ialah contoh bagaimana sebuah negara membawa cita-cita besar merentasi perubahan zaman. Ia bukan projek yang lahir dalam era MADANI, tetapi amanah besar yang diwarisi, cabaran yang dipikul dan kini disempurnakan dalam era MADANI. Nilai kenegaraannya justeru terletak pada kesinambungan itu; apabila sesuatu projek telah menjadi kepentingan strategik negara, tanggungjawab sebuah kerajaan bukan sekadar bertanya siapa yang memulakannya, tetapi bagaimana memastikan rakyat akhirnya menikmati hasilnya. Menyiapkan landasan ialah satu pencapaian; memastikan landasan itu mengubah geografi peluang rakyat ialah ukuran kejayaan yang sebenar.

Inilah laluan kedua menuju kemerdekaan yang lebih matang; daripada kedaulatan wilayah kepada kedaulatan membuat pilihan. Dalam dunia geopolitik, tarif dan rantaian bekalan yang semakin tidak menentu, Malaysia mesti mempunyai ruang untuk berdagang dengan Timur dan Barat, menerima modal dan teknologi daripada kedua-duanya, berkawan dengan semua tetapi tidak menjadi pengikut kepada sesiapa. Kita tidak perlu memilih dunia mana yang mahu kita sertai; kita perlu cukup kuat supaya dunia menghormati pilihan yang kita buat.

Sebab itu kestabilan bukan lawan kepada perubahan. Kestabilan tanpa reformasi menghasilkan kelesuan; reformasi tanpa kebolehramalan menghasilkan keresahan. Negara yang matang mesti mampu melakukan kedua-duanya cukup stabil untuk dipercayai dan cukup berani untuk berubah. Politik boleh menjadi bising dan dunia boleh bergoncang, tetapi institusi serta arah strategik negara mesti mempunyai hayat yang lebih panjang daripada satu kitaran politik.

Maka selepas 69 tahun, perjuangan Merdeka memasuki wilayah yang lebih mencabar. Generasi terdahulu berjuang mendapatkan kembali hak menentukan nasib negara; generasi kita mesti membuktikan keupayaan menentukan arah negara. Bukan sekadar mempertahankan peta yang diwarisi, tetapi berani melukis peta yang kita kehendaki, sebuah Malaysia yang modalnya mahu didatangi, bakat mahu kekal, perusahaan berani berkembang dan setiap rakyat percaya bahawa masa depannya mempunyai tempat di tanah air sendiri.

IX.Merdeka belum selesai

Pada usia 69 tahun, Merdeka tidak lagi meminta kita membuktikan bahawa Malaysia mampu berdiri, sejarah telah menjawabnya. Tugas kita sekarang lebih besar; memastikan negara ini terus berani bergerak, berani membetulkan yang tidak lagi berfungsi, berani merapatkan jurang yang terlalu lama dianggap biasa dan berani membuat keputusan hari ini untuk generasi yang akan menanggung akibatnya paling lama.

Itulah keberanian Malaysia MADANI, bukan keberanian memadam masa lalu, tetapi keberanian belajar daripadanya; bukan sekadar mempertahankan pencapaian, tetapi memperluas siapa yang dapat menikmatinya; bukan menjanjikan masa depan yang lebih baik, tetapi mula membinanya sekarang. Kerana kemerdekaan tidak diwariskan dalam keadaan siap. Setiap generasi menerimanya sebagai amanah yang belum selesai.

Dan akhirnya, sejarah tidak akan mengukur generasi kita pada sekuat mana kita melaungkan Merdeka, tetapi pada Malaysia yang kita tinggalkan kepada mereka yang datang selepas kita. Kerana Merdeka bukan pusaka yang selesai diwariskan; ia amanah yang berpindah dari satu generasi ke satu generasi untuk dijaga, diperbaiki dan dibawa lebih jauh. Kita menerimanya dengan syukur; biarlah kita menyerahkannya kelak dengan maruah.

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-69


* Datuk Yahaya Abdullah adalah Felo Akademi Kenegaraan Malaysia, pakar komunikasi strategik dan Ahli Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD).

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

Must Watch Video

Advertisement