BELUM sempat lampu trafik bertukar merah, ada yang sudah memecut, malah sesekali mencelah di tengah kesesakan jalan raya sehingga mengundang caci maki pengguna lain, semuanya atas satu alasan yang sering kita dengar iaitu kejar trip.
Tindakan sebegini jelas berbahaya dan tidak seharusnya dinormalisasikan, namun di sebalik aksi mengejar masa itu ada yang sedang bergelut mencapai sasaran tempahan harian untuk memastikan kos penyelenggaraan kenderaan dan perbelanjaan hidup terus dapat ditampung.
Tiba masanya kita bertanya mengapa ada pekerja sanggup mengambil risiko sedemikian hanya untuk mengejar satu lagi penghantaran?
Industri gig pada asasnya dibina tanpa emosi, berteraskan satu tawaran yang kedengaran cukup santai iaitu fleksibiliti, bekerja apabila mahu, menetukan sendiri waktu dan menjadikannya sumber pendapatan tambahan.
Namun falsafah itu semakin jauh daripada realiti apabila pekerjaan gig bukan lagi sekadar pilihan untuk menambah pendapatan, sebaliknya menjadi sumber rezeki utama yang menentukan kelangsungan hidup sesetengah pekerja.
Di sinilah ironinya, kebebasan untuk memilih bila mahu bekerja tidak semestinya bermakna seseorang mempunyai kebebasan untuk berhenti bekerja, terutama apabila kehidupan mereka terus bergantung kepada setiap trip di sebalik falsafah kebebasan yang kedengaran begitu murni itu.
Benar, tiada sesiapa meletakkan pisau di tengkuk atau mengacukan senapang untuk memaksa seseorang bekerja dalam industri gig, namun apabila peluang dalam pasaran pekerjaan formal tidak sentiasa tersedia atau sepadan dengan keperluan pencari kerja maka industri tersebut menjadi pilihan.
Kajian “Navigating the Gig Economy: What Drives Malaysian Youth?” melibatkan 385 pekerja gig muda di Kuala Lumpur mendapati 66.5 peratus bekerja sepenuh masa.
Sementara itu, kajian “Adapting to the Gig Economy: Determinants of Financial Resilience among ‘Giggers’”terhadap 452 pekerja gig di Malaysia merekodkan 63.9 peratus responden sebagai pekerja gig sepenuh masa.
Analisis ISEAS–Yusof Ishak Institute bertajuk “Gig Workers in Malaysia: Is the New Law a Good Deal?” pada 2026 yang merujuk Survei Pekerja P-Hailing Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pula mendapati 70 peratus menjadikan pekerjaan gig sebagai pekerjaan utama, manakala 74 peratus bergantung kepadanya sebagai sumber pendapatan utama.
Angka ini seharusnya mengubah cara kita melihat ekonomi gig, apabila bagi ramai pekerja aplikasi di telefon bukan lagi sekadar ruang mencari duit tambahan selepas waktu pejabat, sebaliknya menjadi pintu utama untuk mencari nafkah dan meneruskan kehidupan.
Di sinilah timbul satu ketidakseimbangan yang jarang dibincangkan, apabila pekerja sepenuh masa perlu berkongsi pasaran yang sama dengan mereka yang melakukannya sekadar sebagai pendapatan tambahan atau mengisi masa lapang selepas waktu kerja.
Wujud keadaan apabila seorang pekerja tetap boleh melakukan kerja gig selepas waktu pejabat, manakala seorang pesara pula boleh mengambil beberapa trip sekadar mengisi masa, lalu berkongsi ruang pasaran dengan pekerja sepenuh masa.
Situasi tersebut tidak salah atau melanggar mana-mana undang-undang namun kesannya kepada mereka yang melakukan pekerjaan sepenuh masa.
Apabila ketiga-tiga kelompok ini berada dalam aplikasi pada waktu yang sama, sedangkan jumlah permintaan tidak semestinya berkembang seiring pertambahan pekerja, persaingan menjadi semakin sengit untuk merebut bahagian daripada pasaran dan tempahan yang sama.
Dalam keadaan pendapatan bergantung kepada jumlah tempahan harian, masa menunggu juga mempunyai harga kerana setiap minit tanpa pesanan bermakna masa yang tidak menghasilkan pendapatan, berbeza dengan pekerja dalam sektor formal yang lazimnya dibayar berdasarkan jam bekerja walaupun ada ketikanya sempat juga ‘mengular’.
Di sinilah istilah “kejar trip” membawa makna yang lebih besar, kerana setiap perjalanan tambahan mungkin membezakan sama ada sasaran pendapatan harian seseorang dapat dicapai sebelum dia pulang ke rumah.
Kajian Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bertajuk “Risky Riding Behaviours among P-Hailing Riders in Malaysia: Implications for Business Operations and Workforce Safety in the Gig Economy” pada 2025 mendapati antara tingkah laku berisiko penghantar p-hailing termasuk memecut ketika lampu hampir merah dan menunggang lebih laju ketika membuat penghantaran.
Kajian itu turut mendapati tekanan masa, tuntutan kewangan serta tuntutan pekerjaan antara faktor yang digunakan penghantar untuk merasionalisasikan tingkah laku berisiko tersebut.
Kajian bertajuk “A Comparison of Characteristics Between Food Delivery Riders With and Without Traffic Crash Experience During Delivery in Malaysia” terhadap 225 penghantar makanan mendapati pekerja sepenuh masa mempunyai kemungkinan 1.79 kali lebih tinggi untuk terlibat dalam kemalangan berbanding pekerja sambilan.
Kajian sama turut mendapati penghantar yang melakukan perjalanan melebihi 100 kilometer sehari mempunyai risiko kemalangan lebih tinggi, sekali gus memperlihatkan kaitan antara intensiti pekerjaan di atas jalan raya dengan aspek keselamatan.
Ini bukan alasan untuk melanggar lampu merah atau membahayakan pengguna jalan raya lain, tetapi menghukum tindakan pekerja semata-mata tanpa melihat tekanan ekonomi di belakangnya juga tidak menyelesaikan masalah.
Malaysia sudah mempunyai Akta Pekerja Gig 2025 yang memperkenalkan perlindungan termasuk berkaitan kadar pendapatan, potongan, penyelesaian pertikaian serta sistem pemantauan dan keputusan automatik oleh platform.
Namun persoalan selepas regulasi ialah soal kehidupan, selepas petrol, penyelenggaraan motosikal, masa menunggu, risiko kemalangan dan hari seseorang tidak mampu bekerja, berapakah sebenarnya nilai bersih sejam pekerjaan gig?
Di sebalik setiap trip yang dikejar, bergerak sebuah industri bernilai berbilion ringgit, dibina daripada jutaan perjalanan kecil yang diselesaikan setiap hari.
Namun ketika angka keuntungan industri meningkat, persoalannya berapa banyak daripada keuntungan itu benar-benar mengalir kepada mereka yang tekun memulas minyak dan menggenggam stereng, mengejar satu demi satu trip demi mencari rezeki.
* Penulis ialah wartawan Astro AWANI yang melihat dunia melalui lensa kamera ketika berada di lapangan, dengan tekad untuk terus belajar daripada setiap insan yang mengisi kehidupan ini.
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.