Ringkasan AI
- Malaysia menggesa ASEAN Campur Tiga memperkukuh dan memperluas Rizab Beras Kecemasan APTERR kepada rangkaian rizab makanan serantau.
- Kenyataan itu disampaikan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, mewakili Perdana Menteri pada Sidang Kemuncak ASEAN APTERR di Kuala Lumpur.
- Malaysia turut menyeru pemanfaatan RCEP dan penyelarasan lebih erat bagi memastikan kelancaran bekalan makanan, bahan api dan input pertanian ketika krisis.
MANILA: Malaysia menggesa ASEAN Campur Tiga memperkukuh Rizab Beras Kecemasan ASEAN Campur Tiga (APTERR) sedia ada diperluas kepada rangkaian rizab makanan serantau bagi memastikan keterjaminan bekalan ketika krisis.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata usaha itu penting bagi memastikan rantau ini lebih bersedia menghadapi gangguan bekalan makanan secara mendadak menerusi perkongsian sumber antara negara anggota.
“Kita perlu memperkukuh APTERR sedia ada ke arah pembentukan rangkaian rizab makanan serantau yang turut merangkumi komoditi penting selain beras, dengan menggembleng sumber bersama bagi menghadapi gangguan bekalan secara mendadak,” katanya.
Kenyataan itu dibacakan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, bagi pihak Anwar pada Sidang Kemuncak ASEAN APTERR di sini, pada Selasa.
APTERR ialah mekanisme kerjasama serantau tetap yang ditubuhkan pada 2011 oleh negara anggota ASEAN bersama China, Jepun dan Korea Selatan bagi memastikan keterjaminan makanan, menstabilkan harga beras serta menyalurkan bantuan kemanusiaan ketika kecemasan.
Anwar berkata, perdagangan ASEAN dengan China, Jepun dan Korea Selatan mencecah AS$1.4 trilion (RM3.9 trilion) pada 2025, sekali gus mencerminkan kepentingan bersama untuk memastikan pasaran kekal terbuka dan pergerakan barangan keperluan asas tidak terganggu.
Sehubungan itu, Malaysia turut menggesa supaya Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dimanfaatkan dengan lebih berkesan serta penyelarasan lebih erat dilaksanakan bagi memastikan kelancaran bekalan makanan, bahan api dan input pertanian ketika berlaku gangguan.