KUALA LUMPUR: Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) melahirkan kebimbangan terhadap kelewatan berlarutan pihak kerajaan dalam melantik pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).

Ketiadaan kepimpinan utama SUHAKAM hanya akan menjejaskan keupayaan Malaysia dalam menyumbang secara aktif dan mempertingkakan hak asasi manusia di peringkat domestik dan antarabangsa.

Dalam Malaysia menghampiri penghujung keahliannya dalam Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) bagi penggal 2002-2004, CENTHRA merasa pelik dan gusar kerana SUHAKAM kekal tanpa seorang pengerusi sehingga hari ini.

Melantik seorang pemimpin yang kuat dan komited adalah penting untuk memastikan SUHAKAM dapat terus memenuhi mandatnya dengan berkesan dan menyumbang secara substantif terhadap apa jua perbincangan mengenai hak asasi manusia sejagat.

Esok (25 Januari), Malaysia dijadualkan untuk menyertai Kajian Berkala Sejagat (UPR) kitaran ke-4 UNHRC di Geneva. Kajian semula ini merupakan peluang kritikal bagi menilai dan menangani landskap hak asasi manusia di negara ini secara menyeluruh.

Walau bagaimanapun, ketiadaan pengerusi SUHAKAM bukan sahaja merupakan satu kesilapan yang besar tetapi juga menjadi penghalang bagi penyertaan efektif dan berkesan Malaysia dalam forum dunia yang penting ini.

Pemerhatian daripada Human Rights Watch yang menonjolkan kegagalan kerajaan Malaysia yang baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam menunaikan janjinya menangani penindasan dan rasuah pada 2023, hanya membuat kami semakin gusar dan bimbang.

Kerajaan perlu mengutamakan agenda menghormati hak kemanusiaan dan mengambil tindakan konkrit dalam membina semula kepercayaan orang ramai.

Shayna Bauchner, seorang penyelidik Asia di Human Rights Watch, berkata, “Pada tahun pertama beliau memegang jawatan, Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah mengkhianati janji reformasi yang dibuatnya kepada pengundi Malaysia. Kerajaan harus menumpukan komitmen tidak berbelah bahagi terhadap agenda menghormati hak kemanusiaan dan bertindak menunaikan semua janji yang dibuat sewaktu berkempen.”

CENTHRA juga mahu mengutarakan kebimbangannya mengenai ketiadaan perwakilan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau mana-mana institusi atau agensi Islam dalam semakan UPR kali ini.

Adakah pandangan dan perspektif umat Islam diketepikan dalam kajian menyeluruh hak asasi manusia oleh kerajaan?

Adakah kerajaan sengaja mengabaikan agensi Islam sebagai penyumbang penting terhadap dialog antarabangsa mengenai hak asasi manusia?

Semua ini bercanggah dengan komitmen kerajaan untuk menegakkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

CENTHRA menyeru kerajaan Malaysia untuk mengutamakan perlantikan pengerusi SUHAKAM yang baharu tanpa berlengah lagi bagi menghormati komitmen antarabangsa dan menangani kebimbangan yang dibangkitkan oleh organisasi hak asasi manusia tempatan dan antarabangsa.

Rakyat Malaysia berhak dipimpin oleh kerajaan yang benar-benar menjunjung dan melindungi hak asasi mereka. Pihak berwajib mesti bertindak pantas dalam mengatasi semua masalah kritikal ini.


* Azril Mohd Amin merupakan pengasas dan pengerusi Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA).

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis berdasarkan bidang tugasnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.