MALAYSIA
[KOLUMNIS] Pembangunan lestari: Salah faham masyarakat terhadap maksud dan falsafahnya
![[KOLUMNIS] Pembangunan lestari: Salah faham masyarakat terhadap maksud dan falsafahnya [KOLUMNIS] Pembangunan lestari: Salah faham masyarakat terhadap maksud dan falsafahnya](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2023-09/71694870577_PLUSMisiLestari.jpg)
Alam sekitar sejahtera bukan sahaja bermaksud ‘tidak tercemar’ tetapi juga ekosistem yang sihat, produktif, dan mampu menyokong kehidupan yang berkualiti untuk semua spesies. -Gambar hiasan
DALAM suasana hangat perbincangan mengenai perubahan iklim dan isu-isu alam sekitar global, istilah ‘Pembangunan Lestari’ atau ‘Sustainable Development’ menjadi semakin popular dalam wacana awam Malaysia.
Ringkasan AI
- Pembangunan Lestari vs Pembangunan Sejahtera: Istilah lestari sering disalah faham sebagai hanya berkaitan isu alam sekitar kerana terjemahan sustainable yang kurang tepat. Sejahtera lebih sesuai kerana merangkumi keseimbangan ekonomi, sosial, dan alam sekitar, mencerminkan makna holistik konsep asal.
- Tiga Tunjang Utama: Pembangunan Sejahtera berfokus pada Triple Bottom Line: Ekonomi yang adil dan inklusif, masyarakat yang harmoni dengan kohesi sosial, serta alam sekitar yang sihat dan produktif. Ketidakseimbangan dalam pelaksanaan di Malaysia sering mengutamakan ekonomi atau alam sekitar sahaja.
- Transformasi Pemahaman dan Pelaksanaan: Untuk mencapai Pembangunan Sejahtera, Malaysia perlu menggunakan istilah sejahtera dalam bahasa rasmi, menilai projek berdasarkan ketiga-tiga tunjang secara seimbang, dan mengintegrasikan pendidikan holistik di semua peringkat untuk melatih pemikiran sistemik.
Atau adakah kita hanya menggunakan istilah ini sebagai label moden untuk menyamarkan pendekatan pembangunan yang sama seperti dahulu?
Lebih mengejutkan lagi, adakah terjemahan ‘sustainable’ kepada ‘lestari’ itu sendiri telah menyesatkan pemahaman kita terhadap konsep yang sebenarnya sangat mendalam dan holistik ini?
Untuk memahami maksud sebenar Pembangunan Lestari, kita perlu kembali kepada asal usulnya. Konsep ini tidak lahir dalam bilik persidangan yang berhawa dingin di Geneva atau New York, tetapi dari kesedaran pahit manusia terhadap kerosakan yang mereka sendiri lakukan kepada planet ini.

Pada tahun 1972, Persidangan Stockholm mengenai Alam Sekitar Manusia membuka mata dunia terhadap keperluan menyelaraskan pembangunan ekonomi dengan pemeliharaan alam sekitar.
Ini adalah kali pertama komuniti antarabangsa mengakui bahawa pertumbuhan ekonomi yang tidak terkawal boleh membawa bencana kepada alam sekitar dan, akhirnya, kepada manusia sendiri.
Namun, detik paling bersejarah berlaku pada tahun 1987 apabila Suruhanjaya Brundtland, yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri Norway, Gro Harlem Brundtland, menerbitkan laporan berjudul ‘Our Common Future’.
Dalam laporan inilah definisi klasik Pembangunan Lestari pertama kali diungkapkan: ‘Pembangunan yang memenuhi keperluan generasi masa kini tanpa menjejaskan keupayaan generasi akan datang untuk memenuhi keperluan mereka’.
Definisi ini kedengaran mudah, tetapi sebenarnya mengandungi revolusi pemikiran yang radikal. Ia mencabar paradigma pertumbuhan ekonomi tanpa had yang telah mendominasi pemikiran pembangunan sejak Revolusi Perindustrian.
Ia juga memperkenalkan konsep tanggungjawab antara generasi yang sebelum ini tidak wujud dalam teori ekonomi moden.
Gro Harlem Brundtland bukan sahaja seorang politikus, tetapi juga seorang pakar perubatan yang memahami kesihatan dari perspektif holistik.

Gro Harlem Brundtland
Pengalaman beliau sebagai mantan Menteri Alam Sekitar Norway dan kemudiannya sebagai Perdana Menteri memberikan beliau perspektif unik tentang cabaran mengimbangkan keperluan ekonomi dengan tanggungjawab alam sekitar.
Maurice Strong, seorang ahli perniagaan Kanada, memainkan peranan penting sebagai Setiausaha Agung Persidangan Stockholm 1972 dan kemudiannya ‘Earth Summit’ di Rio de Janeiro pada tahun 1992.
Strong membuktikan bahawa dunia perniagaan boleh menjadi rakan kongsi dalam usaha kelestarian, bukannya musuh yang perlu diperangi.
Wangari Maathai dari Kenya, pemenang Hadiah Nobel Keamanan 2004, menunjukkan bagaimana pembangunan lestari boleh bermula dari akar umbi.
Melalui ‘Green Belt Movement’ yang diasaskannya, beliau membuktikan bahawa penanaman pokok bukan sahaja memulihkan alam sekitar, tetapi juga memberdayakan wanita luar bandar dan memperkukuh demokrasi.
Di Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad telah lama memperjuangkan konsep pembangunan seimbang melalui Wawasan 2020.

Visi beliau tentang negara maju yang memelihara nilai-nilai dan alam sekitar sebenarnya selari dengan prinsip-prinsip pembangunan lestari, walaupun istilah ini belum popular ketika itu.
Masalah utama dalam masyarakat Malaysia hari ini bukanlah kerana kita tidak pernah mendengar tentang Pembangunan Lestari, tetapi kerana pemahaman kita terhadapnya terlalu sempit dan tidak tepat.
Apabila kebanyakan orang mendengar perkataan ‘lestari’, yang terlintas di fikiran adalah imej-imej hutan hujan, orang utan, program kitar semula, dan tenaga solar.
Walaupun semua ini penting, ia hanya mewakili satu pertiga daripada gambaran yang sebenar. Salah faham ini berpunca dari beberapa sebab.
Pertama, kempen kesedaran alam sekitar yang bermula sejak tahun 1990-an telah mengaitkan perkataan ‘lestari’ dengan isu-isu hijau.
Media massa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar, dan bahkan sistem pendidikan kita telah secara tidak sengaja menyempitkan makna istilah ini.
Kedua, terjemahan langsung ‘sustainable’ kepada ‘lestari’ telah kehilangan nuansa penting dalam bahasa asal.
Dalam bahasa Inggeris, ‘sustainable’ berasal dari kata kerja ‘sustain’ yang bermaksud menyokong, mengekalkan, atau membolehkan sesuatu untuk berterusan.
Konsep ini meliputi bukan sahaja pemeliharaan, tetapi juga pertumbuhan dan pembangunan yang sihat.
Menariknya, perkataan ‘lestari’ yang kita gunakan hari ini sebenarnya adalah istilah pinjaman dari Bahasa Indonesia. Dalam konteks Indonesia, ‘lestari’ sering dikaitkan dengan pemeliharaan warisan budaya dan alam sekitar.
Konsep ‘kelestarian’ dalam masyarakat Indonesia memang kuat dalam aspek pemeliharaan dan pengekalan.
Namun, apabila istilah ini dipinjamkan ke dalam Bahasa Melayu untuk menterjemah ‘sustainable development’, sesuatu yang penting telah hilang dalam proses terjemahan tersebut.
Makna asal ‘sustainable’ yang merangkumi pertumbuhan dinamik, keseimbangan yang aktif, dan kemampuan untuk berkembang telah menjadi statik dan terhad kepada ‘mengekalkan’ atau ‘memelihara’.
Terdapat juga istilah seperti ‘mapan’ dan ‘mampan’ digunakan sebagai terjemahan untuk ‘sustainable’. Walau bagaimanapun maksud sebenar ‘mapan’ adalah lebih kepada menitikberatkan kestabilan aspek pembangunan.
Manakala ‘mampan’ pula merujuk kepada keupayaan sesebuah sistem untuk dikekalkan dan bertahan jangka panjang tanpa kemusnahan.
Oleh yang demikian, istilah ‘mapan’ & ‘mampan’ lebih menekankan aspek ‘kekal, tidak berubah, tetap seperti asal’, dan lazimnya lebih difokuskan dalam konteks hal ehwal ekonomi.
Definisi ini jelas tidak menangkap dinamisme dan sifat progresif yang terkandung dalam konsep ‘sustainable development’.
Setelah mengkaji pelbagai kemungkinan terjemahan, istilah yang paling tepat untuk ‘sustainable’ dalam konteks pembangunan adalah ‘sejahtera’. Perkataan ‘sejahtera’ dalam Bahasa Melayu mempunyai makna yang jauh lebih kaya dan menyeluruh.
‘Sejahtera’ berasal dari bahasa Sanskrit ‘kshematarah’ yang bermaksud keselamatan, keamanan, dan kemakmuran. Dalam penggunaan Bahasa Melayu, ‘sejahtera’ merangkumi aspek fizikal, ekonomi, sosial, dan rohani. Ia tidak hanya bermaksud ‘tidak bermasalah’ tetapi juga ‘berkembang dengan sihat dan seimbang’.
Oleh itu, ‘Sustainable Development’ sepatutnya diterjemah sebagai ‘Pembangunan Sejahtera’, dan ‘Sustainability’ sebagai ‘Kesejahteraan’. Terjemahan ini bukan sahaja lebih tepat dari segi linguistik, tetapi juga lebih mudah difahami oleh masyarakat awam.
Pembangunan Sejahtera bertumpu kepada tiga tunjang utama yang dikenali sebagai ‘Triple Bottom Line’, iaitu: ekonomi, sosial, dan alam sekitar. Namun, dalam implementasi di Malaysia, kita sering melihat penekanan yang tidak seimbang.
Tunjang ekonomi sering difahami secara sempit sebagai pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) atau peningkatan pendapatan per kapita.
Padahal, ekonomi sejahtera bermaksud sistem ekonomi yang adil, inklusif, dan membolehkan semua lapisan masyarakat mendapat manfaat.
Ia termasuk aspek seperti pengagihan kekayaan yang saksama, akses kepada peluang ekonomi, dan kemampanan fiskal jangka panjang.
Tunjang sosial pula sering dipinggirkan dalam perbincangan pembangunan. Masyarakat sejahtera bukan sahaja mempunyai infrastruktur yang baik dan ekonomi yang berkembang, tetapi juga kohesi sosial yang kukuh, akses yang sama kepada pendidikan dan kesihatan, serta sistem keadilan yang berkesan.
Dalam konteks Malaysia yang majmuk, tunjang sosial ini termasuk perpaduan kaum, toleransi agama, dan nilai hormat terhadap kepelbagaian budaya.
Adapun tunjang alam sekitar, walaupun paling difahami oleh masyarakat awam, sering kali didekati secara reaktif bukannya proaktif.
Alam sekitar sejahtera bukan sahaja bermaksud ‘tidak tercemar’ tetapi juga ekosistem yang sihat, produktif, dan mampu menyokong kehidupan yang berkualiti untuk semua spesies.
Kekeliruan dalam terjemahan telah menyebabkan penggunaan istilah ‘lestari’ dalam konteks yang tidak tepat. Kita sering mendengar frasa seperti ‘Graduan Lestari’ untuk merujuk kepada graduan yang prihatin terhadap alam sekitar.
Padahal, jika kita menggunakan terjemahan yang betul, ‘Graduan Sejahtera’ akan bermaksud graduan yang memahami dan mampu menyumbang kepada pembangunan yang holistik - ekonomi yang adil, masyarakat yang harmoni, dan alam sekitar yang sihat.
Begitu juga dengan istilah ‘Bandar Lestari’ yang sering digunakan untuk merujuk kepada bandar yang mesra alam. ‘Bandar Sejahtera’ akan memberikan gambaran yang lebih tepat tentang bandar yang bukan sahaja hijau, tetapi juga mempunyai ekonomi yang vibran, masyarakat yang harmoni, dan kualiti hidup yang tinggi untuk semua penduduk.

Sistem pendidikan Malaysia perlu memainkan peranan penting dalam membetulkan pemahaman ini. Program-program Sarjana Muda yang berkaitan dengan pembangunan lestari di universiti-universiti tempatan seperti UKM, USM, dan UM perlu menekankan pendekatan holistik yang merangkumi ketiga-tiga tunjang.
Institut LESTARI di UKM, sebagai contoh, telah lama menjadi pelopor dalam penyelidikan pembangunan lestari di Malaysia. Namun, nama institut itu sendiri mencerminkan kekeliruan istilah yang kita bincangkan.
Sekiranya ia dinamakan ‘Institut Kesejahteraan’ atau ‘Institut Pembangunan Sejahtera’, ia mungkin akan lebih tepat menggambarkan skop kerja yang sebenar.
Di peringkat antarabangsa, universiti-universiti terkemuka seperti Stanford, Harvard, dan Cambridge telah mengintegrasikan pendekatan interdisiplin dalam program-program pembangunan lestari mereka.
Mereka tidak menumpukan kepada satu aspek sahaja, tetapi melatih graduan yang mampu berfikir secara holistik tentang cabaran pembangunan.
Kesalahfahaman terhadap konsep Pembangunan Lestari mempunyai implikasi serius terhadap penggubalan dasar awam. Apabila pembuat dasar memahami ‘lestari’ hanya dari sudut alam sekitar, dasar-dasar yang dihasilkan cenderung untuk menjadi terpecah-belah dan tidak menyeluruh.
Contohnya, Dasar Alam Sekitar Negara (DASN) yang sangat baik dari sudut teknikal, tetapi mungkin tidak mengintegrasikan secukupnya aspek-aspek sosio-ekonomi yang diperlukan untuk kejayaan jangka panjang.
Begitu juga dengan pelbagai program ‘pembangunan lestari’ yang dilancarkan di peringkat negeri dan tempatan yang terlalu menumpukan kepada projek-projek hijau tanpa mengambil kira impak sosial dan ekonomi yang lebih luas.
Dalam sektor korporat, salah faham ini telah menyebabkan pendekatan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang tidak seimbang.
Banyak syarikat besar Malaysia berlumba-lumba untuk mendapat pengiktirafan sebagai ‘syarikat lestari’ dengan menumpukan kepada inisiatif-inisiatif hijau seperti pengurangan penggunaan plastik, penanaman pokok, atau penggunaan tenaga solar.
Walaupun usaha-usaha ini patut dipuji, ia tidak mencerminkan pemahaman yang mendalam tentang apa yang dimaksudkan dengan korporat yang benar-benar sejahtera.
Syarikat yang sejahtera bukan sahaja mengurangkan jejak karbon mereka, tetapi juga memastikan pekerja mendapat gaji yang adil, komuniti tempatan mendapat manfaat dari operasi mereka, dan model perniagaan mereka tidak merugikan mana-mana pihak dalam jangka panjang.
Dalam konteks Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian agama dan budaya, konsep kesejahteraan mempunyai dimensi yang lebih mendalam daripada sekadar aspek material.
Dalam Islam, konsep ‘falah’ (kejayaan dunia dan akhirat) sangat selari dengan idea pembangunan sejahtera. Begitu juga dengan konsep ‘dharma’ dalam Hindu dan Buddha yang menekankan keseimbangan dan keharmonian dalam semua aspek kehidupan.
Di Malaysia, beberapa universiti awam dan swasta menawarkan program yang berkaitan dengan pembangunan lestari.
UKM melalui Institut LESTARI telah menjadi pelopor dalam bidang ini dengan penyelidikan yang merangkumi isu-isu alam sekitar, ekonomi, dan sosial. USM pula mempunyai Pusat Kajian Kelestarian Global yang aktif dalam penyelidikan dan pendidikan.
Namun, kebanyakan program ini masih terlalu menumpukan kepada aspek alam sekitar dan teknologi hijau. Program Sarjana Muda Sains Alam Sekitar, Kejuruteraan Alam Sekitar, dan bidang-bidang serupa adalah penting, tetapi kita juga memerlukan program yang lebih interdisiplin yang mengintegrasikan ekonomi, sosiologi, antropologi, dan sains politik.
Di peringkat antarabangsa, universiti seperti Universiti Stanford melalui ‘Emmett Interdisciplinary Program in Environment and Resources’, dan Universiti Cambridge melalui ‘Cambridge Institute of Sustainability Leadership (CISL)’, menawarkan pendekatan yang lebih holistik.
Program-program ini melahirkan graduan yang bukan sahaja pakar dalam bidang teknikal tertentu, tetapi juga memahami dinamik sosio-ekonomi yang kompleks.
Untuk membetulkan salah faham ini, kita perlu melakukan transformasi pemahaman pada beberapa peringkat. Di peringkat bahasa, kita perlu berani untuk menggunakan istilah ‘Pembangunan Sejahtera’ dan ‘Kesejahteraan’ dalam dokumen-dokumen rasmi, laporan korporat, dan kurikulum pendidikan.
Di peringkat dasar, kita perlu memastikan bahawa setiap inisiatif pembangunan dinilai berdasarkan ketiga-tiga tunjang secara seimbang.

Ini bermaksud setiap projek infrastruktur, program ekonomi, atau inisiatif sosial perlu melalui penilaian impak yang menyeluruh.
Di peringkat pendidikan, kita perlu melatih pendidik dan pelajar untuk berfikir secara sistem dan memahami keterkaitan antara pelbagai aspek kehidupan manusia.
Pendidikan pembangunan sejahtera perlu menjadi sebahagian daripada kurikulum di semua peringkat, bukan hanya dalam program-program khusus.
Malaysia mempunyai peluang unik untuk menjadi pelopor dalam pendekatan pembangunan sejahtera yang autentik dan bersesuaian dengan konteks tempatan.
Sebagai negara yang membangun dengan kepelbagaian etnik dan agama yang kaya, Malaysia boleh menunjukkan kepada dunia bagaimana prinsip-prinsip pembangunan sejahtera boleh diimplementasikan dalam masyarakat majmuk.
Kekayaan sumber asli negara, ditambah dengan modal insan yang semakin berkualiti dan sistem institusi yang relatif stabil, memberikan Malaysia kelebihan untuk mencuba model pembangunan yang baharu dan lebih holistik.
Namun, untuk memanfaatkan peluang ini, kita perlu bermula dengan pemahaman yang betul terhadap apa yang sebenarnya dimaksudkan dengan pembangunan sejahtera.
Pembangunan Lestari, atau lebih tepat lagi Pembangunan Sejahtera, bukan sekadar tentang mengekalkan apa yang ada, tetapi tentang mewujudkan sistem pembangunan yang membolehkan setiap generasi untuk hidup dengan lebih baik daripada generasi sebelumnya tanpa mengorbankan peluang generasi akan datang.
Ia bukan hanya tentang menanam pokok atau mengurangkan pencemaran, walaupun kedua-duanya penting. Ia tentang mewujudkan ekonomi yang adil, masyarakat yang harmoni, dan alam sekitar yang sihat secara serentak dan saling memperkukuh.
Selagi kita terus terperangkap dengan pemahaman yang sempit dan salah terjemahan, selagi itulah usaha kita untuk mencapai pembangunan yang benar-benar sejahtera akan terhambat.
Sudah tiba masanya untuk kita kembali kepada makna asal konsep ini dan mengimplementasikannya dengan pemahaman yang betul dan menyeluruh.
Transformasi ini bermula dengan bahasa yang kita gunakan, kerana bahasa membentuk pemikiran, dan pemikiran membentuk tindakan.
Mari kita mulakan dengan memanggil Pembangunan Lestari dengan nama yang betul: Pembangunan Sejahtera. Hanya dengan itu, kita boleh berharap untuk mencapai kesejahteraan yang sebenar untuk negara dan rakyat Malaysia.
Nor Afandy Hamid dan Norliawati Mohd Sidek ialah Pensyarah, Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan (PPAL),
Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Terengganu.
Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami