Skip to main content

Malaysia

[KOLUMNIS] Penguasaan ilmu digital sebagai kunci mobiliti sosial komuniti Orang Asli

61608197228_orangasli.jpg
Teknologi bukan sekadar alat kegunaan harian, malah ia membawa transisi besar dalam kehidupan komuniti ini. Literasi digital dilihat berpotensi membawa generasi muda Orang Asli keluar daripada kepompong kehidupan mereka yang serba daif. -Gambar fail

KEPESATAN dunia digital hari ini membentuk satu landskap baharu yang mengubah cara hidup manusia. Hampir semua golongan, tanpa mengira usia atau status sosial, kini terlibat secara langsung dengan penggunaan dan penguasaan ilmu digital.

Dalam konteks ini, komuniti Orang Asli juga tidak terkecuali daripada tempias transformasi berkenaan.

Advertisement

Fenomena ini membuktikan bahawa gelombang digital bersifat inklusif dan berupaya menembusi tembok isolasi geografi yang sekian lama membatasi kemajuan masyarakat Orang Asli.

Dalam erti kata lain, faktor kemiskinan, kedudukan di pedalaman serta kekangan akses bukan lagi penghalang untuk mereka turut serta dalam ekosistem digital.

Image
61695279969_OrangAsli.jpg

Teknologi bukan sekadar alat kegunaan harian, malah ia membawa transisi besar dalam kehidupan komuniti ini. Literasi digital dilihat berpotensi membawa generasi muda Orang Asli keluar daripada kepompong kehidupan mereka yang serba daif.

Ilmu digital membolehkan pelajar daripada komuniti ini mengakses bahan pembelajaran yang setara dengan rakan mereka di kawasan bandar. Melalui pembelajaran maya, sumber rujukan, buku elektronik serta video instruksional berkualiti tinggi kini boleh diperoleh dengan lebih mudah.

Platform pembelajaran dalam talian bukan sahaja memperluas capaian ilmu, malah membantu murid Orang Asli membina keyakinan diri untuk bersaing secara sihat dengan kelompok masyarakat lain.

Image
71523936787_OrangAsli.jpg

Rekod Kementerian Pendidikan menunjukkan kadar keciciran dalam sistem persekolahan berkurangan seiring peningkatan literasi teknologi maklumat (IT) dalam kalangan mereka.

Sebagai contoh, penggunaan modul literasi berasaskan komputer atau Computer-Assisted Language Learning (CALL) terbukti meningkatkan minat murid untuk terus hadir ke sekolah.

Secara tradisinya, pekerjaan golongan muda Orang Asli sangat berkait rapat dengan sumber hutan, dengan pendapatan yang terhad dan bersifat kelangsungan hidup.

Namun, ledakan teknologi maklumat telah mencetuskan anjakan ketara dalam pola ekonomi komuniti ini. Sebahagian daripada mereka kini menceburi kerjaya sebagai pencipta kandungan digital, satu bidang yang semakin menjadi pilihan generasi muda.

Malah, terdapat dalam kalangan Orang Asli yang berjaya mengurus perniagaan dalam talian dengan memasarkan hasil hutan, kraf tangan serta produk tradisional kepada pasaran lebih luas.

Image
51694014627_PendudukOrangAsli.jpg

Natijahnya, teknologi digital tidak lagi sekadar alat komunikasi, sebaliknya berfungsi sebagai penjana ekonomi moden kepada komuniti Orang Asli.

Kejayaan Nur Rafidah Man, atau lebih dikenali sebagai Jungle Girl, merupakan contoh paling signifikan tentang bagaimana teknologi digital dan media sosial mampu mengubah nasib Orang Asli secara drastik.

Beliau bukan sahaja menjadi fenomena tular, malah muncul sebagai simbol kejayaan mobiliti ekonomi digital dalam komuniti tersebut. Dengan memanfaatkan platform TikTok, beliau dilaporkan berjaya menjana pendapatan jutaan ringgit pada 2024 melalui jualan produk hasil hutan seperti herba, minyak urut, dan madu.

Walau bagaimanapun, di sebalik kisah kejayaan individu, realiti jurang digital dalam komuniti Orang Asli masih luas dan membimbangkan. Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa walaupun liputan internet negara hampir menyeluruh, kadar capaian di kawasan penempatan Orang Asli masih ketinggalan, sekitar 42 hingga 50 peratus sahaja.

Tahap literasi komputer pula dianggarkan sekitar 5.2 peratus, manakala kadar kemiskinan kekal melebihi 33 peratus, jauh mengatasi purata nasional. Angka-angka ini mencerminkan rencatan ketara keupayaan komuniti Orang Asli untuk bersaing dalam dunia digital tanpa sokongan berstruktur.

Image
41760436158_KampungOrangAsliG.jpg

Jujurnya, mereka tidak mampu menongkah arus kemajuan ilmu digital tanpa campur tangan ataupun bantuan pihak luar. Justeru, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) merupakan agensi paling tepat dalam usaha membangunkan ekosistem digital komuniti ini. Antaranya melalui penyediaan akses teknologi, peningkatan literasi digital, serta pelaksanaan program pembangunan berimpak tinggi.

Selain itu, inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) wajar dipuji dalam usaha memperluas capaian internet hingga ke kawasan penempatan Orang Asli.

Namun demikian, usaha ini tidak seharusnya digalas kerajaan semata-mata. Sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) disaran memainkan peranan lebih aktif dalam menyediakan latihan, peranti digital serta sokongan berterusan.

Kesimpulannya, dalam kita menikmati dan memperjuangkan manfaat teknologi digital, hak komuniti Orang Asli untuk akses setara tidak wajar dipinggirkan.

Sekiranya peluang yang adil diberikan, tidak mustahil suatu hari nanti anak muda Orang Asli mampu membangunkan aplikasi sendiri, menghasilkan kandungan digital berimpak tinggi, memimpin inovasi serta menyumbang secara langsung kepada pembangunan negara.


Dr Abdul Mutalib Embong dan Muhamad Khairul Zakaria ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pendidikan Asas & Lanjutan (PPAL), Universiti Malaysia Terengganu.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis berdasarkan bidang kepakaran mereka dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang pengarang Astro AWANI.

Must Watch Video