KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur menahan seorang pemandu lori dan merampas 3,500 liter diesel disyaki diseleweng dalam Ops Tiris (Bersepadu) 4.0 di Jalan Air Jernih, Setapak, di sini semalam.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kuala Lumpur Mohd Shahran Mohd Arshad berkata lelaki berusia 20-an itu ditahan pada 6.40 petang, semasa lori dipandunya berhenti bersebelahan Sekolah Kebangsaan Marian Convent.
Advertisement
Beliau berkata lori berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika keluar dari sebuah stesen minyak di kawasan Jalan Kepong dan pasukan khas KPDN kemudian bertindak mengekori kenderaan tersebut yang didapati sekali lagi memasuki sebuah stesen minyak di Jalan Kuching bagi pengisian minyak.
“Pemeriksaan lanjut mendapati lori tersebut telah diubah suai dengan pemasangan empat tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC) berkapasiti 1,000 liter setiap satu di bahagian belakang, selain dilengkapi dengan pam penyedut yang dipercayai digunakan untuk memindahkan diesel dari tangki asal ke tangki tambahan.
“Hasil pemeriksaan ke atas pemandu lori pula mendapati dia tidak mempunyai dokumen sah bagi pengendalian, penyimpanan dan pemilikan barang kawalan berjadual jenis bahan api tersebut. Susulan itu, individu terbabit ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Shahran berkata sebanyak 3,500 liter diesel telah disita dengan anggaran nilai RM17,920 iaitu harga tanpa subsidi atau RM7,525 harga subsidi, dengan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM52,000 termasuk kenderaan, peralatan dan barangan lain yang digunakan dalam kegiatan itu.
Beliau berkata kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 10, Akta Kawalan Bekalan 1961.
“KPDN Kuala Lumpur akan terus melaksanakan pemeriksaan rondaan dan penyamaran bagi mengesan aktiviti penyelewengan barang kawalan dan tidak akan berkompromi dengan pihak yang gagal mematuhi peruntukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
-- BERNAMA