MALAYSIA
[KOLUMNIS] Penurunan harga RON95: Apa makna buat rakyat, ekonomi negara?
![[KOLUMNIS] Penurunan harga RON95: Apa makna buat rakyat, ekonomi negara? [KOLUMNIS] Penurunan harga RON95: Apa makna buat rakyat, ekonomi negara?](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2024-07/51720263071_NozelMinyak.jpg)
Pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 pada 2025, dijangka memberi penjimatan sebanyak RM3.6 bilion kepada perbelanjaan kerajaan - Gambar hiasan/Astro AWANI
KERAJAAN Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan satu langkah penting dan strategik dalam memastikan keadilan pengagihan bantuan fiskal, dengan menurunkan harga RON95 kepada RM1.99 seliter melalui pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api.
Langkah ini bukan sahaja dilihat sebagai usaha meringankan beban rakyat, malah mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk menstruktur semula sistem subsidi supaya lebih cekap, adil serta lestari.
Penurunan enam sen yang dianggap ‘kecil’ oleh segelintir pihak, sebenarnya memberi manfaat kepada sekitar 18 juta pemandu kereta dan penunggang motosikal termasuk belia seawal usia 16 tahun dan pekerja gig.
Malah, langkah ini juga memastikan penyasaran subsidi kelak disalur kepada mereka yang layak khususnya warganegara dan bukannya kenderaan asing.Pada tahun 2023, sebanyak RM81 bilion telah dibelanjakan bagi subsidi merangkumi bekalan elektrik, petrol, diesel dan pelbagai keperluan makanan asas.
Namun, amat mengejutkan apabila RM10 bilion daripadanya turut dinikmati oleh lebih 3.5 juta bukan warganegara.
Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulis di Parlimen pada November tahun lalu memaklumkan pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 pada 2025, dijangka memberi penjimatan sebanyak RM3.6 bilion kepada perbelanjaan kerajaan.

Foto/fail/PMO
Tetapi persoalannya, adakah pemberian subsidi ini satu obligasi buat kerajaan?
Menurut Ketua Ekonomi, Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, pemberian subsidi termasuk subsidi bahan api, bukanlah satu obligasi, sebaliknya satu usaha untuk meringankan beban rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Ujar beliau, kerajaan kini giat melaksanakan pendekatan penyasaran subsidi agar bantuan kewangan yang diberikan benar-benar sampai kepada golongan yang layak.
Hal ini berikutan sistem subsidi pukal sedia ada didapati banyak menguntungkan kumpulan berpendapatan tinggi dan warga asing berbanding golongan sasar.
"Sudah pasti tujuannya tak lain tak bukan untuk meringankan beban kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia seperti mana yang kita sedia maklum bahawa penggunaan bahan api RON95 ini adalah lebih meluas, jika dibandingkan dengan diesel.
"Proses rasionalisasi subsidi ini perlu bersifat bersasar supaya manfaatnya itu akan dapat dinikmati oleh mereka yang layak sahaja, berbanding sekarang sistem subsidi bahan api ini bersifat pukal," katanya.
Kajian yang dijalankan oleh Bank Dunia menyatakan bahawa sebanyak 53 peratus manfaat daripada subsidi bahan api dinikmati oleh golongan T20.
Justeru, langkah penyasaran subsidi bahan api termasuk RON95, adalah penting bagi menghentikan ketirisan serta memastikan hanya golongan yang layak menerima manfaat tersebut.
Antara punca ketirisan ialah apabila subsidi pukal turut dinikmati oleh golongan tidak layak serta berlaku penyalahgunaan seperti aktiviti penyeludupan bahan api ke negara jiran.
Bagi Mohd Afzanizam, beliau berpandangan penjimatan hasil daripada pelaksanaan subsidi bersasar akan membolehkan dana diagihkan kepada sektor yang lebih berimpak tinggi seperti pendidikan, kesihatan dan infrastruktur, sekali gus penting untuk pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
"Dalam masa terdekat, penjimatan ini juga membolehkan kerajaan memperluaskan bantuan tunai secara bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada golongan berpendapatan rendah.
"Perkara ini berlaku disebabkan oleh keupayaan kewangan kerajaan dan proses rasionalisasi subsidi ini membantu kerajaan ke arah tersebut," tambah beliau.

Penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter dijangka memberi impak positif kepada kos sara hidup rakyat.
Mampukah subsidi bersasar ini dikekalkan dalam jangka masa panjang?
Mohd Afzanizam menjelaskan keupayaan kerajaan untuk mengekalkan subsidi bersasar bahan api dalam jangka masa panjang bergantung kepada beberapa faktor utama, termasuk harga minyak mentah global dan perubahan dalam corak penggunaan kenderaan di negara ini.
Katanya, subsidi bersasar sememangnya boleh dilaksanakan secara mampan, namun kejayaannya tertakluk kepada kestabilan harga minyak dunia serta anjakan teknologi dalam sektor pengangkutan.
"Pertamanya, sudah pasti tingkat harga minyak mentah yang mana untuk kegunaan tempatan harga minyak bahan api, petroleum ini diimport dari luar dan sudah pasti apabila berlaku pergerakan harga minyak mentah dunia akan beri kesan kepada perbelanjaan subsidi.
"Kedua, adalah dari segi penggunaan kenderaan berenjin pembakaran dalaman atau internal combustion engine (ICE). Jika kenderaan ICE ini terus berkekalan menjadi pilihan utama, ia juga akan meningkatkan penggunaan bahan api petroleum," jelas beliau.
Justeru, peralihan secara berperingkat kepada kenderaan elektrik (EV) dilihat sebagai langkah strategik yang bukan sahaja menyokong agenda kelestarian alam sekitar, malah mampu mengurangkan kebergantungan negara terhadap subsidi bahan api pada masa hadapan.
Bagaimana penurunan harga RON95 ini memberi kesan kepada kos sara hidup dan inflasi keseluruhan negara?
Penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter dijangka memberi impak positif kepada kos sara hidup rakyat serta membantu mengekalkan kadar inflasi negara dalam lingkungan yang stabil.
Ini kerana RON95 merupakan komponen penting dalam Indeks Harga Pengguna (CPI) dengan pemberat sebanyak lima peratus, berbanding hanya 0.2 peratus bagi diesel.
Ia sekali gus menunjukkan betapa meluasnya penggunaan bahan api tersebut dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Justeru, sememangnya apabila RON95 ini masih dikekalkan subsidi, maka impak kepada inflasi seharusnya berada dalam keadaan yang lebih stabil.
"Ini terbukti apabila pihak Bank Negara Malaysia (BNM) dilihat telah menyemak semula unjuran kadar inflasi negara, yang pada asalnya mereka melihat peningkatan inflasi adalah sekitar dua peratus sehingga 3.5 peratus bagi tahun 2025.
"Namun buat masa ini, BNM telah pun menyemak semula kadar inflasi negara ke paras 1.5 peratus sehingga 2.3 peratus," kata Mohd Afzanizam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada Oktober 2024 - Foto/fail
Kedudukan kewangan negara menunjukkan peningkatan positif apabila defisit fiskal berjaya dikurangkan kepada RM40.5 bilion atau 4.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi separuh pertama tahun 2025, berbanding RM51.5 bilion atau 5.5 peratus dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Penurunan ketara ini menjadi penanda aras penting kepada keberkesanan langkah konsolidasi fiskal yang dilaksanakan kerajaan sejak tahun lalu.
Kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif penting, termasuk kenaikan cukai perkhidmatan daripada enam peratus kepada lapan peratus.
Selain itu, pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel pada Jun 2024, cukai barangan bernilai rendah, cukai keuntungan modal, serta pengenalan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan digital.
Langkah-langkah ini telah berjaya meningkatkan hasil kerajaan sebanyak 6.1 peratus bagi separuh pertama tahun ini, selain membantu mengurangkan perbelanjaan kerajaan sebanyak 1.3 peratus.
Pencapaian ini membuktikan bahawa strategi fiskal negara semakin kukuh, sekali gus memberi lebih ruang kepada kerajaan untuk melaksanakan program bantuan bersasar dan menyokong pertumbuhan ekonomi.
* Hasimi Muhamad merupakan wartawan penyiaran di Astro AWANI dan lulusan dari Universiti Utara Malaysia (UUM).
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami