SESEBUAH kontrak pembelian atau perkhidmatan adalah satu proses yang boleh disifatkan jelas dan tidak berselindung (straightforward). Barang dipesan, bayaran dibuat, barang dihantar, transaksi lengkap. Undang-undang dan amalan sedia ada berkaitan perkara ini juga disifatkan kukuh (robust) dan matan (established). Namun, pemahaman dan pendekatan ini menjadi kurang optimum apabila kontrak yang dimeterai melibatkan nilai yang sangat besar atau transaksi yang bersifat sensitif dan strategik. Misalnya kontrak perolehan kerajaan oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF). Nilai yang terlibat selalunya mencecah puluhan, jika tidak ratusan, juta ringgit. Hal ini menyebabkan kerangka lama dan konvensional menjadi kurang sesuai untuk digunakan. Undang-undang sedia ada juga selalunya akan disemak bagi membolehkan sesetengah perkara dilakukan dengan lebih baik.
Ini kerana, dalam kontrak yang besar dan sensitif seperti ini, kebiasaannya akan wujud proses rundingan yang jauh lebih serius. Ia bertujuan membolehkan aspek-aspek bersifat nilai tambah dan terma yang lebih berdaya tarikan dimasukkan. Perkara ini adalah bagi memastikan kontrak tersebut membawa impak optimum dan pulangan yang lebih menguntungkan.
Hasrat ini menjadi titik tolak kepada pengenalan kerangka dan dasar seperti Program Kolaborasi Industri (Industrial Collaboration Programme atau ringkasnya ICP) di bawah Kementerian Kewangan yang diuruskan oleh Technology Depository Agency (TDA). Matlamatnya mudah. Setiap kontrak yang mencecah nilai ambang tertentu harus dirundingkan dengan cara yang lebih menguntungkan. Ini dilakukan melalui beberapa cara seperti memasukkan elemen yang mewajibkan penyertaan atau penggunaan komponen tempatan, pemindahan teknologi dan kepakaran, peluang latihan dan pembangunan bakat tempatan, serta sumbangan kepada kajian dan penyelidikan. Elemen-elemen ini merupakan tambahan atau lanjutan kepada pesanan atau subjek utama di dalam kontrak perolehan.
Ini bermakna, selain Akta Kontrak 1950 yang menjadi rujukan dan asas utama sesebuah kontrak, Akta Perolehan Kerajaan 2026 (Akta 882) boleh menjadi sandaran yang sangat penting. Ini kerana, akta tersebut membenarkan kerajaan mempertimbangkan langkah-langkah terbaik dalam sesuatu kontrak perolehan. Misalnya di bawah Seksyen 29 berkenaan Dasar dan langkah-langkah khusus dalam perolehan Kerajaan, Akta 882 ini memperuntukkan bahawa "?Walau apa pun peruntukan Akta ini, Menteri atau, berhubung dengan sesuatu Negeri, Menteri Besar atau Ketua Menteri, mengikut mana-mana yang berkenaan, boleh, jika dia mempertimbangkannya demi kepentingan negara atau Negeri untuk berbuat sedemikian, melaksanakan apa-apa dasar atau langkah-langkah dalam perolehan Kerajaan bagi mendorong, menggalakkan, merangsang atau memudahkan pembangunan sosial, ekonomi dan alam sekitar di Malaysia atau mana-mana Negeri tertentu, mengikut mana-mana yang berkenaan".
Dalam konteks ini, MINDEF melalui Kajian Separuh Penggal, Kertas Putih Pertahanan mengetengahkan ICP sebagai instrumen strategik yang dilihat berpotensi menjadi pemangkin kepada industri pertahanan tempatan. Sebagaimana penghujahan Menteri Pertahanan, YB Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, ICP menjadi mekanisme yang akan dioptimumkan bagi membolehkan berlakunya pemindahan teknologi, pembangunan vendor tempatan, pengeluaran bersama atau berlesen, latihan dan pensijilan tenaga mahir, penyelidikan bersama universiti serta sokongan penyelenggaraan dan MRO (maintenance, repair and overhaul) oleh syarikat tempatan. Beliau berpendirian bahawa pendekatan tersebut membolehkan syarikat tempatan terlibat dan berada di sepanjang kitar hayat aset. Perkara ini sekali gus membolehkan industri tempatan mendapat pendedahan, matang dan berkembang.
Menurut Datuk Seri Mohamed Khaled, langkah tersebut menjadi antara strategi penting dalam menjayakan agenda pembangunan industri pertahanan negara. Dalam Perutusan Tahun Baharu MINDEF 2026, beliau menegaskan bahawa MINDEF memberi perhatian serius terhadap pembangunan industri pertahanan tempatan agar Malaysia memiliki keupayaan pertahanan serta kedaulatan teknologi yang lebih berdaya tahan. Kesungguhan ini seterusnya diterjemahkan dengan pelancaran Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) sebagai dokumen dasar yang melakar hala tuju jelas untuk membina industri pertahanan yang kukuh, berdaya saing dan mampan.
ICP Sebagai Pemangkin Industri Tempatan
Sehubungan dengan itu, pelaksanaan ICP berfungsi sebagai instrumen yang sangat kritikal bagi menyokong matlamat Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN). Mekanisme ini membuka ruang yang besar kepada pemindahan teknologi, pembangunan vendor tempatan dan pengembangan keupayaan industri sokongan pertahanan yang lebih sistematik. Dengan mengaitkan perolehan aset strategik kepada pembangunan kapasiti tempatan, pendekatan ini berpotensi mengurangkan kebergantungan terhadap pembekal luar sambil memperkukuh ekosistem industri pertahanan negara secara lebih mampan.
Jika distrukturkan dengan idea inovatif, penanda aras yang jelas dan diawasi dengan rapi, ICP mempunyai potensi yang sangat besar dalam meningkatkan kandungan tempatan. ICP akan membuka laluan kepada proses meningkatkan penguasaan dalam teknologi perusahaan, memperluas pekerjaan berkemahiran serta mengurangkan kos pemilikan sepanjang hayat. Malah, ICP juga berupaya melonjak proses perolehan pertahanan sebagai satu pelaburan jangka panjang yang memberi kesan nyata kepada keupayaan operasi dan kapasiti industri.
Transformasi Paradigma Perolehan
Dalam kerangka ini, ICP berupaya mengangkat perolehan pertahanan daripada corak beli-guna kepada model berasaskan nilai tambah strategik. Setiap kontrak bernilai tinggi ditetapkan dengan obligasi yang menyumbang kepada ekosistem domestik melalui pemindahan teknologi, pembangunan kapasiti industri, latihan tenaga kerja dan penyelidikan bersama. Paradigma ini menempatkan nilai tambah dalam negara sebagai prasyarat yang jelas, menggantikan amalan lama yang menumpukan penghantaran platform tanpa rantaian manfaat seterusnya.
Implikasinya meluas. Di peringkat fiskal, kontrak pertahanan beralih daripada kos semasa kepada pelaburan ekonomi strategik yang menghasilkan peluang pekerjaan berkemahiran, pembangunan kejuruteraan dan integrasi teknologi. Pada masa yang sama, ICP memperkukuh daya tahan industri nasional apabila keupayaan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih diwujudkan di dalam negara, sekali gus mengurangkan pergantungan jangka panjang kepada fasiliti luar. Aspirasi dan iltizam yang dilaungkan oleh Menteri Pertahanan berpotensi diterjemahkan menjadi hasil sebenar jika paradigma baharu ini menautkan pertahanan dengan agenda pembangunan yang lebih luas melibatkan sektor awam, universiti dan syarikat tempatan.
Pengalaman antarabangsa memberi petunjuk yang berguna. Turkiye menggunakan dasar offset seperti ICP untuk memacu pertumbuhan perusahaan pertahanan mereka seperti ASELSAN dan Turkish Aerospace sehingga mampu menembusi pasaran eksport. India memanfaatkan syarat serupa dalam perolehan Rafale dari Perancis dengan tujuan emperkukuh rantaian aeroangkasa domestik dan kapasiti penyelidikan. Emiriah Arab Bersatu melalui Tawazun Economic Council menstrukturkan kerjasama industri dengan cara kreatif sehingga akhirnya melahirkan EDGE Group sebagai konglomerat teknologi pertahanan bertaraf global.
Struktur sebegini membantu memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan menyumbang kepada keselamatan negara sambil memperkukuh asas ekonomi dan kapasiti teknologi, sekali gus mempersiapkan Malaysia menghadapi cabaran masa hadapan.
Pelaksanaan dan Pemantauan
Harus diakui bahawa keberkesanan ICP akhirnya bergantung pada kejelasan visi dan disiplin institusi yang menegakkannya. MINDEF melalui Menteri Pertahanan telah menegaskan secara terbuka bahawa kementerian tersebut tekad mahu menjadikan ICP sebagai instrumen utama dalam menterjemahkan Kertas Putih Pertahanan dan objektif DIPN. Azam tersebut merupakan sesuatu yang positif dan bertepatan dengan keperluan semasa sektor pertahanan negara khususnya dalam memperkukuh kapasiti jangka panjang ATM agar tidak bergantung kepada pihak luar dan terhad kepada tanggungan fiskal tahunan.
Cabaran pasti wujud. Tahap keupayaan industri tempatan kini masih memerlukan banyak lonjakan. Jika setiap kontrak perolehan disusun dan dipantau dengan rapi dan potensi ICP benar-benar digunakan secara maksimum, adalah tidak mustahil untuk negara menerima pulangan besar yang selayaknya.
* Penulis merupakan Felo Kanan di Bait Al Amanah dan Edward S. Mason Fellow (2026), John F. Kennedy School of Government, Harvard University. Beliau menyelidik dan menganalisis dasar-dasar awam, serta isu-isu berkaitan politik, demokrasi dan pertahanan.
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.