Skip to main content

Malaysia

[KOLUMNIS] Sejarah: Apabila subjek sekolah bertukar menjadi sensasi nasional

61612177940_MERDEKA.jpg
Sejarah ialah latihan berfikir. Apabila pedagoginya berubah daripada hafalan kepada penerokaan, daripada menerima fakta kepada menganalisis bukti, dan daripada menghafal jawapan kepada membina hujah, sejarah akan menjadi antara subjek yang paling menarik di sekolah. -Gambar hiasan
Advertisement

KEBELAKANGAN ini, rakyat Malaysia kembali menunjukkan minat yang luar biasa terhadap sejarah.

Perbincangan tentang sejarah Tanah Melayu dan pembentukan negara, khususnya sepanjang musim pilihan raya negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini, menjadi antara topik hangat di media sosial.

Fenomena ini menarik: Sejarah yang dahulu dianggap 'subjek sekolah' kini menjadi bahan perbincangan awam yang hidup, emosional dan kadangkala mencetuskan perbezaan pandangan.

Jika sejarah begitu penting sehingga mampu mencetuskan perdebatan nasional, mengapa ketika di sekolah dahulu subjek ini sering berada dalam senarai mata pelajaran yang kurang diminati? Adakah sejarah itu sendiri membosankan? Atau sebenarnya cara kita mengajarnya yang menyebabkan pelajar gagal melihat keindahan dan kepentingannya?

Image
81614256264_bukutekssejaraht.jpg

Hakikatnya, sejarah bukan sekadar kisah tentang masa lalu. Sejarah ialah usaha memahami bagaimana sesuatu peristiwa berlaku, mengapa ia berlaku dan apakah kesannya terhadap kehidupan hari ini.

Tanpa memahami sejarah, sukar untuk kita memahami identiti, masyarakat dan negara yang kita warisi.

Bagi sebahagian besar pelajar, sejarah sering dikaitkan dengan menghafal tarikh, nama tokoh, lokasi dan kronologi peristiwa. Kejayaan pula diukur melalui sejauh mana mereka mampu mengingati fakta tersebut ketika peperiksaan.

Tidak hairanlah jika ramai melihat sejarah sebagai subjek yang membebankan memori, bukannya mencabar pemikiran. Sedangkan apabila kita melihat perbincangan semasa seperti isu sejarah Tanah Melayu, jelas bahawa sejarah bukan sekadar hafalan. Ia hidup sebagai naratif yang ditafsir, diperdebat, dan digunakan untuk memahami identiti serta arah masa depan.

Ahli sejarah sendiri tidak bekerja dengan cara menghafal semata-mata. Seorang ahli sejarah bertindak seperti penyiasat. Mereka mengumpulkan bukti daripada pelbagai sumber, menilai kesahihan maklumat, membandingkan perspektif, mengenal pasti hubungan sebab dan akibat, kemudian membina penjelasan yang paling munasabah berdasarkan bukti yang ada.

Proses ini jauh lebih hampir kepada penyelesaian masalah berbanding hafalan. Inilah sebabnya pendekatan pengajaran sejarah perlu berubah. Kita tidak boleh lagi sekadar mengajar pelajar apa yang berlaku. Kita perlu mengajar mereka bagaimana memahami sesuatu peristiwa dan mengapa sesuatu tafsiran boleh berbeza.

Di sinilah muncul satu konsep yang amat penting dalam dunia pendidikan abad ke-21, iaitu 'computational thinking' atau pemikiran komputasional.

Ramai menyangka pemikiran komputasional hanya berkaitan dengan komputer atau pengaturcaraan. Hakikatnya, ia ialah satu cara berfikir secara sistematik untuk memahami dan menyelesaikan sesuatu masalah.

Antara elemen utamanya ialah memecahkan masalah kepada bahagian kecil (decomposition), mengenal pasti corak (pattern recognition), menapis maklumat yang penting (abstraction) dan membina langkah penyelesaian yang tersusun (algorithmic thinking).

Bukankah ini juga yang dilakukan oleh seorang ahli sejarah, termasuk ketika kita cuba memahami perdebatan sejarah Tanah Melayu yang muncul dalam suasana politik semasa?

Image
61668011655_sejarahpru.jpg

Apabila pelajar mengkaji sesuatu peristiwa sejarah, mereka sebenarnya boleh dilatih menggunakan pemikiran komputasional.

Sebagai contoh, daripada hanya menghafal faktor-faktor kemerdekaan, pelajar boleh memecahkan isu tersebut kepada aspek politik, ekonomi, sosial, dan antarabangsa.

Dalam konteks lebih dekat dengan realiti semasa, mereka juga boleh menganalisis bagaimana naratif sejarah digunakan dalam wacana politik moden, termasuk bagaimana ia mempengaruhi persepsi pengundi.

Mereka kemudian boleh mengenal pasti corak: Adakah sejarah sering digunakan untuk membina identiti? Adakah ia menjadi alat perpaduan atau perpecahan? Adakah tafsiran tertentu lebih dominan dalam sesuatu tempoh politik?

Seterusnya, pelajar menapis maklumat yang relevan, menilai sumber yang sahih, dan akhirnya membina hujah berdasarkan bukti, bukan sekadar emosi atau naratif popular. Begitu juga apabila membincangkan kejatuhan sesuatu tamadun atau perubahan politik dalam sejarah Tanah Melayu.

Daripada sekadar menghafal punca, pelajar boleh mencari pola yang sama antara pelbagai peristiwa seperti perubahan kepimpinan, tekanan ekonomi, pengaruh luar, dan pergeseran sosial. Daripada pola ini, mereka boleh memahami bagaimana sejarah berulang dalam bentuk yang berbeza.

Image
41463302887_gurucikguteacher.jpg

Pembelajaran seperti ini bukan sahaja menjadikan sejarah lebih hidup, malah melatih pelajar berfikir secara analitikal, kritis dan sistematik — kemahiran yang sangat diperlukan apabila mereka berdepan dengan perbincangan sejarah yang bercampur dengan politik semasa.

Lebih menarik, pendekatan ini sangat relevan dalam era kecerdasan buatan (AI). AI mampu memberikan fakta sejarah dalam beberapa saat, tetapi AI tidak boleh menggantikan kebolehan manusia untuk menilai kesahihan sumber, memahami konteks politik semasa, dan membuat pertimbangan moral terhadap sesuatu peristiwa.

Kemahiran inilah yang semakin penting apabila sejarah digunakan dalam wacana awam seperti yang kita lihat dalam musim pilihan raya.

Sudah tiba masanya kita mengubah perspektif. Sejarah bukan sekadar tentang mengingati masa lalu. Sejarah ialah latihan berfikir. Apabila pedagoginya berubah daripada hafalan kepada penerokaan, daripada menerima fakta kepada menganalisis bukti, dan daripada menghafal jawapan kepada membina hujah, sejarah akan menjadi antara subjek yang paling menarik di sekolah.

Barangkali ketika itu, kita tidak lagi melihat sejarah sebagai subjek sekolah yang membosankan. Sebaliknya, kita akan melihatnya sebagai disiplin ilmu yang membentuk warga yang mampu berfikir secara kritis, membuat keputusan berasaskan bukti dan memahami identiti negara dengan lebih bermaruah.


Dr Satirah Ahmad ialah Pensyarah Cemerlang Gred Khas C di IPG Kampus Sultan Abdul Halim, aktif mempromosikan pembelajaran mendalam melalui pendekatan berasaskan konsep.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

Must Watch Video

Advertisement