Skip to main content

Malaysia

[KOLUMNIS] Sesat di pergunungan dan kit ikhtiar hidup

51698463649_HutanSimpananKekal.jpg
Langkah penting ketika sesat di hutan ialah bertenang dan memastikan kita mampu bertahan selama mungkin sementara menunggu bantuan tiba. - Gambar hiasan

KEBELAKANGAN ini, media sosial dipenuhi pelbagai reaksi, komen dan pandangan tentang kejadian orang hilang atau sesat di kawasan pergunungan. Saya tidak berhasrat untuk mengulas panjang, kerana ramai yang lebih pakar dalam bidang ini telah memberikan pandangan masing-masing.

Namun, sebagai seseorang yang turut mengikuti aktiviti luar, ada beberapa perkara asas yang wajar diberi perhatian - khususnya apabila berdepan situasi sesat di hutan atau gunung.

Perkara pertama yang paling penting ialah mengakui bahawa kita telah sesat atau hilang arah. Penafian hanya akan memburukkan keadaan. Dalam situasi ini, bertenang adalah kunci utama. Jika mampu, ambillah sedikit masa untuk berdoa atau menunaikan solat sunat sebagai ikhtiar memohon petunjuk. Dalam masa yang sama, cuba hubungi pihak berkaitan sekiranya masih mempunyai capaian komunikasi.

Langkah seterusnya adalah memastikan kita mampu bertahan selama mungkin sementara menunggu bantuan tiba.

Melalui perkongsian ini, saya ingin menyenaraikan keperluan asas kit ikhtiar hidup “survival kit” yang sepatutnya dimiliki oleh setiap pendaki. Hakikatnya, ia tidak memerlukan kos yang tinggi - kebanyakannya hanyalah barangan harian yang mudah diperoleh.

Keperluan asas survival kit:

1. Plastik sampah besar  
 Boleh dijadikan alas tidur, baju hujan atau pelbagai kegunaan lain.

2. Pemetik api (sekurang-kurangnya dua unit)  
 Penting untuk menyalakan api. Dalam keadaan terdesak, kumpulkan kayu dan daun kering (atau basah untuk hasilkan asap tebal) bagi memudahkan pasukan penyelamat mengesan kedudukan.

3. Wisel
 Alat bantuan kecemasan yang sangat efektif. Tiup sekuat mungkin secara berkala. Disarankan jenama berkualiti seperti Fox 40.

4. Pisau outdoor 
 Digunakan untuk membuat tanda, mesej pada pokok atau memotong bahan yang diperlukan.

5. First aid kit
 Tidak perlu besar, tetapi mencukupi untuk rawatan asas kecederaan ringan.

6. Lampu suluh
 Walaupun telefon bimbit mempunyai fungsi lampu, penggunaan lampu suluh membantu menjimatkan bateri telefon.

7. Telefon bimbit dengan bateri dalam keadaan baik  
 Pastikan telah memuat turun peta gunung versi offline daripada pelbagai aplikasi.

8. Power bank (beberapa unit)
 Beratnya tidak signifikan, tetapi sangat penting untuk memastikan telefon boleh digunakan lebih lama.

9. Botol air atau water bladder  
 Pengambilan air secara konsisten membantu meningkatkan daya tahan. Dalam situasi sesat, hidrasi adalah faktor kritikal untuk terus hidup.

10. Minuman segera seperti Milo 3 dalam 1 atau Nestum  
  Bukan sekadar minuman, malah boleh dijadikan sumber tenaga segera.

11. Coklat tinggi kalori
  Makanan ringkas yang cepat memberikan tenaga.

12. Ziplock bag
  Berguna untuk menadah air hujan, menyimpan makanan dan pelbagai kegunaan lain.

13. Tali kecil (1–3 meter)  
  Serba guna untuk pelbagai situasi kecemasan.

14. Tisu basah
  Menjimatkan penggunaan air serta boleh dijadikan bahan bakar apabila kering.

15. Insect repellent (jika perlu) 
  Selain menghalau serangga, baunya juga boleh membantu menjauhkan haiwan liar.

16. Lain-lain keperluan tambahan 
  Bergantung kepada keperluan dan pengalaman masing-masing.

Persoalan yang sering timbul - berapa besar beg diperlukan dan berapa berat kesemua peralatan ini?

Hakikatnya, semua item ini boleh dimuatkan dalam dry bag bersaiz sekitar 10 liter sahaja, dengan jumlah berat yang tidak sampai satu kilogram. Tidaklah membebankan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang gemar mendaki secara kompetitif.

Sebagai tambahan, penggunaan dry bag juga praktikal kerana ia boleh berfungsi sebagai bekas menadah air.

Akhirnya, persoalan yang wajar direnung bersama - apalah sangat tambahan berat ini jika dibandingkan dengan risiko meninggalkan rakan atau berdepan situasi kecemasan tanpa persediaan?

Pendaki juga merupakan sebahagian daripada penyumbang kepada sektor pelancongan negara. Namun, sumbangan itu tidak seharusnya terjejas hanya kerana kealpaan sendiri.

Pesanan ini bukan sahaja untuk orang lain - tetapi juga sebagai peringatan buat diri saya sendiri.


*Artikel ini ditulis oleh Naib Cancelor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff. 

**Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

 

Must Watch Video

Advertisement