MALAYSIA
[KOLUMNIS] Telus dengan pengasingan kuasa
![[KOLUMNIS] Telus dengan pengasingan kuasa [KOLUMNIS] Telus dengan pengasingan kuasa](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-06/71750067270_TBISTANAKEHAKIMAN.jpg)
Kebebasan hakim-hakim di semua peringkat untuk membuat keputusan, tanpa sebarang gangguan mana-mana pihak, sama ada secara langsung ataupun tidak, adalah amat mustahak untuk dipertahankan. - Gambar hiasan Bernama
SISTEM demokrasi berparlimen menawarkan sistem politik dan pengurusan negara yang secara teori menjamin pengasingan kuasa yang di antara komponen pentadbiran iaitu Eksekutif (kerajaan), Legislatif (parlimen) dan Kehakiman (mahkamah).
Di samping tiga komponen tersebut, satu lagi badan yang berperanan besar di dalam pentadbiran negara ialah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan Majlis Raja-raja.
Perkara ini dinyatakan dengan jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan, yang menjadi tunggak kepada undang-undang dan peraturan di negara ini.
Setiap badan ini mempunyai peranan, tanggungjawab dan kuasa yang tersendiri bagi memastikan kelancaran pemerintahan negara.Pengasingan kuasa di antara badan-badan ini bertujuan agar tiada pemusatan kuasa di dalam suatu badan yang boleh membawa kepada penyalahgunaan, korupsi dan lain-lain kesan negatif kepada negara.
Setiap badan haruslah menjalankan tugas mereka dengan berlandaskan kepada undang-undang secara telus dan terbuka agar rakyat dapat memahami fungsi badan-badan pentadbiran tersebut.
Legislatif atau Parlimen terdiri daripada ahli-ahli Dewan Rakyat yang merupakan wakil-wakil rakyat yang dipilih melalui pilihan raya, manakala ahli-ahli Dewan Negara adalah terdiri daripada lantikan Dewan Undangan setiap negeri dan lantikan YDPA.
Tugas legislatif adalah untuk meluluskan undang-undang. Dalam pembikinan undang-undang, sama ada baharu ataupun pindaan, wakil rakyat seharusnya membawa inspirasi dan suara rakyat bagi memastikan undang-undang yang diluluskan adalah untuk menjamin kesejateraan rakyat.
Ekskutif yang terdiri daripada Perdana Menteri, ahli Kabinet dan penjawat awam yang bertanggungan untuk mewujud dan melaksanakan polisi berdasarkan kepada undang-undang yang diluluskan di Parlimen.
Ahli Dewan Rakyat yang mendapat sokongan majoriti dari ahli-ahli Dewan Rakyat akan dilantik sebagai Perdana Menteri.
Menteri Kabinet pula terdiri daripada Ahli-Ahli Parlimen yang dipilih oleh Perdana Menteri.
Kehakiman yang diterajui oleh Ketua Hakim Negara adalah terdiri daripada hakim-hakim yang dilantik oleh YDPA di atas nasihat perdana menteri.
Mahkamah adalah platfom di mana undang-undang ditafsirkan dan kesannya akan dapat dilihat dan dirasai oleh masyarakat.
Kebebasan hakim-hakim di semua peringkat untuk membuat keputusan, tanpa sebarang gangguan mana-mana pihak, sama ada secara langsung ataupun tidak, adalah amat mustahak untuk dipertahankan.
Keputusan mahkamah seharusnya bergantung kepada bukti yang dikemukakan semasa perbicaraan dan undang-undang yang diaplikasi di dalam penghujahan oleh pihak-pihak yang terbabit.
Segala komen atau penyataan di luar mahkamah tidak sepatutnya mempengaruhi keputusan oleh hakim-hakim.
Di samping tiga cabang pentadbiran di atas, sistem politik di Malaysia adalah unik kerana mengamalkan sistem raja berpelembagaan.
YDPA mempunyai kuasa sebagaimana yang tercatat di dalam perlembagaan persekutuan dan pengaruh yang kuat dalam pentadbiran negara walaupun tidak tercatat di dalam undang-undang dengan jelas.
Sebagai contoh, pelantikan jawatan-jawatan penting dalam kerajaan adalah di dalam kuasa YDPA, tetapi pelaksanaan kuasa tersebut adalah tertakluk kepada nasihat perdana menteri.
Perlembagaan Persekutuan juga menetapkan bahawa kecuali dalam beberapa perkara tertentu, YDPA harus bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri.
Di dalam sistem Westminster yang diamalkan di Malaysia adalah mustahil bagi pengasingan kuasa secara total terutama di antara legislatif (Parlimen) dan eksekutif.
Ini adalah kerana kementerian-kementerian diketuai oleh Ahli-Ahli Parlimen yang dilantik mengikut kuasa mutlak Perdana Menteri.
Sudah menjadi lumrah dalam budaya politik di Malaysia, di mana penyokong atau ketua parti gabungan parti memerintah akan dilantik menjadi menteri.
Kedudukan dalam kerajaan menjadi hadiah kepada sokongan politik tanpa mengira kebolehan atau kemahiran seseorang itu untuk menjadi menteri.
Kemelut pelantikan Ketua Hakim Negara yang menjadi perhatian ramai ketika ini boleh dielak sekiranya prosedur pelantikan hakim dibuat secara telus dan ahli masyarakat faham mengenai tugas dan tanggungjawab pihak-pihak berkaitan.
Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 diwujudkan dengan tujuan untuk menjamin kebebasan badan kehakiman dan lain-lain perkara berkaitan perlantikan hakim-hakim mahkamah atasan.
Ahli-ahli suruhanjaya ini terdiri daripada empat orang hakim terkanan dari kehakiman dan lima ahli yang dilantik oleh Perdana Menteri.
Suruhanjaya ini akan membuat syor kepada Perdana Menteri bagi pelantikan seseorang hakim mahkamah atasan.
Selanjutnya Perdana Menteri akan menggunakan syor tersebut untuk menasihati YDPA bagi melantik seorang hakim.
Namun, akta ini dan Perlembagaan Persekutuan tidak mewajibkan Perdana Menteri untuk bergantung sepenuhnya kepada cadangan suruhanjaya tersebut.
Ini menunjukkan bahawa Perdana Menteri mempunyai peranan yang penting di dalam pelantikan hakim untuk mahkamah tinggi sehinggalah kepada pelantikan Ketua Hakim Negara.
Kurangnya ketelusan dalam prosedur dan juga pemahaman masyarakat berkaitan pelantikan hakim menyebabkan isu tersebut dimanipulasikan oleh pihak berkepentingan sebagai satu polemik.
Badan kehakiman Malaysia yang terkenal sebagai badan bebas tidak sepatutnya diseret ke dalam kancah politik.
Sudah tiba masanya perkara-perkara berkaitan pentadbiran negara terutama perlembagaan persekutuan dijadikan subjek teras di dalam sistem pendidikan negara.
* Amerul Muner Mohammad ialah Pengarah Projek di Pusat Kajian MADANI.
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami