Skip to main content

Malaysia

AS komited perkukuh hubungan pertahanan dengan Malaysia - Mohamed Khaled

KUALA LUMPUR, 3 Ogos -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (kiri) berjabat tangan dengan Duta Amerika Syarikat ke ASEAN, Kevin Kim, semasa menerima kunjungan hormat di luar acara Persidangan Undang-undang dan Operasi Ketenteraan Antarabangsa Tahunan ke-37 (MILOPS) 2026 pada Isnin.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mohamed Khaled (kiri) berjabat tangan dengan Duta Amerika Syarikat ke ASEAN, Kevin Kim, semasa menerima kunjungan hormat di luar acara MILOPS 2026 pada Isnin. - Foto Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) komited untuk terus memperkukuh hubungan rapat dengan Malaysia termasuk dalam sektor pertahanan, kata Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menteri Pertahanan itu berkata perkara tersebut antara disentuh Duta AS ke ASEAN Kevin Kim dalam kunjungan hormat sempena Persidangan Tahunan Ke-37 Undang-Undang dan Operasi Ketenteraan (MILOPS) yang berlangsung di ibu negara hari ini.

“AS akan sentiasa memberi perhatian kepada meningkatkan dan memantapkan lagi hubungan rapat antara kedua-dua negara termasuk dalam sektor pertahanan,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat itu.

Beliau berkata pertemuan itu lebih tertumpu kepada usaha mengukuhkan hubungan sedia ada dan tidak melibatkan perbincangan mengenai perkara-perkara dasar.

Selain Kevin, Mohamed Khaled turut menerima kunjungan hormat Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn dan Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan Singapura Joseph Leong.

Mengulas pertemuannya dengan Kao, beliau berkata kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai cabaran dihadapi ASEAN serta usaha memperkukuh sumbangan sektor pertahanan dalam mengekalkan prinsip Kepusatan ASEAN, keamanan, kestabilan dan kemakmuran rantau.

Beliau berkata mereka turut sependapat bahawa sektor pertahanan mempunyai peranan penting dalam menyokong matlamat ASEAN serta memperkukuh kerjasama antara negara anggota.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata Joseph, yang baru dilantik Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan Singapura, menyatakan komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama dengan Malaysia.

Beliau berkata kerjasama berkenaan bukan sahaja melibatkan hubungan dua hala malah turut merangkumi kerjasama pelbagai hala di peringkat ASEAN serta menerusi Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA).

Persidangan Tahunan Ke-37 MILOPS berlangsung di Kuala Lumpur mulai hari ini hingga 6 Ogos, menghimpunkan pegawai kerajaan dan wakil ketenteraan daripada lebih 30 negara bagi membincangkan cabaran keselamatan serantau serta memperkukuh kerjasama dalam aspek undang-undang dan operasi ketenteraan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement