KUALA LUMPUR : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengambil tindakan susulan berhubung isu kompaun RM50,000 yang dikenakan ke atas peniaga yang melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jelas Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tindakan kompaun itu berada di luar bidang kuasanya, namun secara peribadi beliau menganggap perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

Bagaimanapun, peniaga terlibat masih boleh membuat rayuan terhadap kompaun berkenaan. 

"Menteri Undang-undang telah beri penjelasan bahawa saman RM50,000 keterlaluan sebab RM50,000 itu adalah berkaitan syarikat, namun ia bukan bidang kuasa kita, ia di bawah kuasa polis, untuk buat rayuan di bawah KKM.

"Saya lihat Menteri Kesihatan telah buat kenyataan media dan saya percaya Menteri Kesihatan lihat perkara ini dan akan diambil tindakan.Kita tunggulah. Namun bagi diri saya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku. Namun mereka masih boleh merayu," katanya dalam sidang media pada Selasa. 

BACA: Jual burger depan tangga rumah, peniaga kecewa dikompaun RM50,000

BACA: Bukan lagi RM50,000, nilai kompaun ke atas peniaga burger depan rumah diteliti semula - Polis


 

Media sebelum ini melaporkan, seorang peniaga burger dan colek di dua kampung berasingan di Kota Bharu, dikenakan kompaun RM50,000 kerana didakwa beroperasi melebihi masa ditetapkan pada Ahad malam lalu.

Tindakan yang dikenakan terhadap mereka yang masing-masing berniaga kecil-kecilan di depan rumah menimbulkan ketidakpuasan hati banyak pihak yang menganggap ia keterlaluan.