KUALA LUMPUR: Komuniti MADANI di seluruh negara diminta untuk memainkan peranan meningkatkan pemahaman mengenai isu keselamatan dalam talian dalam kalangan rakyat.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata platform media sosial seperti aplikasi Telegram dan WhatsApp terbuka untuk disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab termasuklah untuk menyebarkan berita-berita yang tidak sahih.

"Isu melibatkan sebarang berita, kalau boleh berita yang sahih sahaja disebarkan. Saya tahu ramai di sini ada dalam pelbagai platform...Kadang-kadang ada orang sebar maklumat yang kita tidak dapat sahkan.

"Saya pohon disiplin dalam kalangan kawan-kawan dalam Komuniti MADANI untuk kita mempunyai keupayaan membantu komuniti kita mengesahkan maklumat yang sampai kepada kita," katanya ketika berucap pada majlis Amanat Menteri Komunikasi dan Taklimat PEDi Bersama Komuniti MADANI Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di sini hari ini.

Beliau berkata susulan pelbagai masalah dikaitkan dengan media sosial seperti isu hak cipta dan perjudian dalam talian, Jemaah Menteri baru-baru ini telah menubuhkan jawatankuasa teknikal bagi meneliti undang-undang membabitkan keselamatan dalam talian.

"Kita dapati terdapat sejumlah platform (media sosial) yang dari segi luarannya nampak okey, tiada masalah. Tapi bila kita selidik dan kita dalami, platform-platform ini agak bermasalah," katanya sambil merujuk kepada kes seorang lelaki tempatan menjalankan aktiviti menjual video melakukan hubungan seks dengan lebih 20 wanita pelbagai bangsa menerusi laman sosial.

Dalam ucapannya, Fahmi sekali lagi mengingatkan pengamal media supaya lebih berhati-hati dalam membuat laporan berita dan tidak bersandarkan kepada maklumat diterima daripada sumber semata-mata.

-- BERNAMA