Skip to main content

Malaysia

Konflik Asia Barat: Kerajaan lulus pelan evakuasi, aktifkan bila perlu - Mohamad

SEREMBAN, 7 Mac -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan (kiri) menjawab pertanyaan wartawan selepas hadir pada Majlis Khatam Al-Quran di Dewan NSWO, hari ini.  Turut sama Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Datuk Seri Amran Mohamed Zin.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan (kiri) menjawab pertanyaan wartawan selepas hadir pada Majlis Khatam Al-Quran di Dewan NSWO, hari ini. - Foto Bernama

SEREMBAN: Kerajaan secara dasar telah meluluskan pelan pemindahan atau evakuasi rakyat Malaysia dari kawasan berisiko di Asia Barat dan boleh diaktifkan pada bila-bila masa sekiranya keadaan memerlukan.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kelulusan itu membolehkan kerajaan bertindak segera tanpa perlu menunggu keputusan baharu Kabinet jika situasi keselamatan di negara berkenaan bertambah buruk.

Advertisement

"Pelan evakuasi itu telah diluluskan Kabinet (boleh diaktifkan bila-bila masa). Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersama Kementerian Luar serta agensi lain bersama-sama memantau keadaan ini dan pejabat kedutaan kita sentiasa dibuka.

"Jika keadaan benar-benar memerlukan, kita akan buat pelan evakuasi itu tetapi setakat hari ini tiada keperluan untuk mengaktifkan pelan evakuasi,” katanya selepas merasmikan Majlis Khatam al-Quran Pertubuhan Wanita Negeri Sembilan dan Persatuan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat dan Pegawai-Pegawai Kanan Negeri Sembilan, di sini hari ini.

Beliau turut menasihati mereka yang berada di negara berkenaan untuk mengelakkan kawasan sensitif, termasuk pangkalan tentera kerana lokasi berkenaan dipercayai menjadi sasaran serangan balas, sekali gus berisiko kepada keselamatan.

Dalam pada itu, Mohamad berkata rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara susulan gangguan penerbangan di Asia Barat diminta memaklumkan semula status perjalanan mereka kepada kedutaan Malaysia selepas memperoleh pengesahan penerbangan pulang.

Langkah itu penting bagi membolehkan kerajaan mengetahui jumlah sebenar rakyat yang telah pulang dan yang masih terkandas supaya urusan penyelarasan bantuan dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

“Nasihat saya, mereka yang telah dapat kepastian daripada mana-mana syarikat penerbangan, hubungilah semula (kedutaan) dan maklumkan mereka telah dapat tempat untuk kembali ke tanah air, jadi kita tidak tertanya-tanya … jangan senyap sahaja,” katanya.

Sementara itu, beliau sekali lagi menasihati mereka yang merancang untuk menunaikan umrah supaya menangguhkan hasrat itu buat sementara waktu berikutan keadaan keselamatan di kawasan berkenaan yang masih belum stabil.

Beliau berkata bagaimanapun kerajaan melalui MKN sentiasa memantau perkembangan terkini di rantau itu dari semasa ke semasa bagi menilai tahap keselamatan sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Kita akan keluarkan nasihat setiap hari mengikut perkembangan keadaan di sana sebab kita tidak dapat jangka kerana apa-apa juga boleh berlaku, tetapi seperti yang saya katakan tadi, ia tidak disasarkan kepada awam sebaliknya menyasarkan (kawasan) seperti pangkalan tentera,” katanya.

Mohamad berkata pembukaan kembali beberapa ruang udara di Timur Tengah membolehkan operasi penerbangan disambung semula secara berperingkat, sekali gus membantu usaha membawa pulang penumpang yang sebelum ini terkandas.

Setakat semalam sebanyak 2,367 rakyat Malaysia dilaporkan masih terkandas di beberapa negara termasuk Jeddah, Qatar, Madinah dan Abu Dhabi.

-- BERNAMA

Must Watch Video