Skip to main content

Malaysia

Konflik Asia Barat: Persiapan evakuasi rakyat Malaysia di fasa akhir

A drone view shows Kuwait City
Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menyelaras operasi ini dengan kerjasama rapat Kementerian Luar Negeri (KLN) melalui Pejabat Perwakilan Malaysia di negara-negara berkaitan. - Gambar/ Reuters

PUTRAJAYA: Persiapan membawa balik rakyat Malaysia dari negara terjejas dengan konflik Asia Barat, kini memasuki fasa akhir.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan agar semua langkah digerakkan dengan segera bagi memastikan keselamatan, dan kebajian rakyat Malaysia terpelihara. 

Advertisement

“Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menyelaras operasi ini dengan kerjasama rapat Kementerian Luar Negeri (KLN) melalui Pejabat Perwakilan Malaysia di negara-negara berkaitan. 

“MKN bersama KLN juga akan menyalurkan perkembangan operasi ini secara berkala kepada semua pihak sehingga keseluruhan proses membawa pulang rakyat Malaysia ini selesai,” menurut kenyataan itu lagi.

Selain itu MKN berkata, Kerajaan Malaysia akan melakukan segala yang termampu bagi memastikan rakyat Malaysia yang terlibat dapat kembali ke tanah air dengan selamat.

Pada 7 Mac lepas, Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan bahawa kerajaan secara dasar telah meluluskan pelan evakuasi lebih awal, dan ia boleh diaktifkan pada bila-bila masa apabila keadaan keselamatan semakin buruk. 

Beliau berkata, pelan itu dirangka bagi membolehkan kerajaan bertindak tanpa perlu menunggu keputusan baharu Kabinet, membuktikan bahawa persediaan rapi bagi menghadapi sebarang kemungkinan telah lama bermula. 

Setakat 7 Mac 2026, seramai 649 rakyat Malaysia masih terkandas di pelbagai lokasi Asia Barat akibat gangguan penerbangan dan sekatan ruang udara. 

KLN melaporkan seramai 24,568 rakyat Malaysia telah berdaftar melalui sistem e-Konsular untuk memudahkan pemantauan dan penyelarasan bantuan. Negara yang paling terjejas termasuk Arab Saudi, UAE, Oman dan Turkiye. 

Wisma Putra sebelum ini menjelaskan bahawa usaha pemindahan rakyat Malaysia telah digerakkan sejak awal ketegangan, melibatkan kerjasama rapat dengan kerajaan negara terlibat serta syarikat penerbangan. 

Kedutaan dan perwakilan diplomatik Malaysia, kata Kementerian lagi, turut berhubung secara aktif dengan warganya bagi tujuan bantuan konsular dan pengumpulan data untuk perancangan kontingensi evakuasi.

Must Watch Video