Skip to main content

Malaysia

Muhibah di atas pinggan: Menelusuri rasa Pulau Pinang di Ka Satu Dining

TASTE OF MALAYSIA NEW MENU_TASTE OF MALAYSIA
Di George Town, kisah tentang warisan dan muhibah tidak hanya ditemukan pada bangunan bersejarah, tetapi turut dihidangkan di atas setiap pinggan di Ka Satu Dining.

MENJELANG senja di George Town, cahaya matahari mula memantul lembut pada dinding bangunan kolonial yang telah berdiri lebih satu abad.

Di kaki lima yang sibuk, pelancong mengambil gambar mural ikonik, penduduk tempatan berbual sambil menikmati kopi, manakala aroma rempah dari gerai dan restoran berhampiran berlegar di udara.

Inilah George Town yang sentiasa hidup, sebuah kota yang dibina daripada pertemuan pelbagai budaya, bahasa dan tradisi.

Di tengah-tengah denyut nadi kota warisan UNESCO ini, terselit sebuah restoran yang cuba menceritakan kisah Pulau Pinang melalui bahasa yang paling mudah difahami oleh semua orang; makanan.

Namanya Ka Satu Dining.

Terletak di dalam The George Penang by The Crest Collection, restoran yang dahulunya dikenali sebagai Saffron Dining itu kini tampil dengan identiti baharu yang lebih dekat dengan sejarah dan jiwa Pulau Pinang sendiri.

Nama "Ka Satu" bukan sekadar penjenamaan semula.

Ia merujuk kepada gelaran lama Pulau Pinang sebagai "The First Island" atau Pulau Pertama, satu penghormatan kepada kedudukannya sebagai pelabuhan penting yang sejak dahulu menemukan pedagang, pengembara dan masyarakat dari pelbagai pelosok dunia.

Mungkin sebab itulah konsep yang dibawa oleh Ka Satu Dining begitu sesuai dengan bandar ini, muhibah.

Image
TASTE OF MALAYSIA NEW MENU_TASTE OF MALAYSIA

Bukan sekadar slogan yang sering diulang dalam buku teks atau ucapan rasmi, tetapi satu realiti yang masih dapat dirasai di Pulau Pinang hingga hari ini.

Di atas meja makan restoran ini, semangat muhibah itu diterjemahkan dalam bentuk yang paling nyata.

Semangkuk Sup Kambing Berempah yang kaya dengan aroma rempah Melayu. Ayam Masak Lemak yang mengingatkan kepada masakan rumah. Hidangan Kam Heong dan Kung Pao yang mencerminkan pengaruh masyarakat Cina yang telah berakar umbi di negeri ini sejak ratusan tahun.

Tidak ketinggalan, ikon makanan jalanan Pulau Pinang seperti Char Koay Teow dan White Curry Mee yang terus menjadi kebanggaan tempatan.

Menariknya, semua hidangan ini tidak cuba menjadi sesuatu yang bukan dirinya.

Sebaliknya, ia mengekalkan identiti asal sambil diberikan sentuhan moden yang lebih halus dan kontemporari.

Di sinilah Ka Satu Dining membezakan dirinya daripada sekadar sebuah restoran hotel.

Ia cuba menjadi sebuah naratif.

Image
TASTE OF MALAYSIA NEW MENU_TASTE OF MALAYSIA

Sebuah kisah tentang bagaimana pelbagai komuniti yang pernah singgah, menetap dan membina kehidupan di Pulau Pinang akhirnya meninggalkan jejak mereka dalam budaya makanan negeri itu.

Ketika menikmati hidangan sambil melihat keluar ke arah jalan-jalan bersejarah George Town, mudah untuk memahami mengapa makanan sentiasa menjadi sebahagian daripada identiti bandar ini.

George Town tidak pernah berkembang sebagai sebuah kota yang homogen.

Ia dibentuk oleh pedagang Arab, masyarakat Melayu tempatan, komuniti Cina, India, Eropah dan pelbagai kelompok lain yang membawa bersama budaya serta tradisi masing-masing.

Hasilnya ialah sebuah bandar yang tidak hanya kaya dengan seni bina dan sejarah, tetapi juga salah satu destinasi gastronomi paling menarik di Asia Tenggara.

Pada waktu petang, suasana di Ka Satu Dining berubah rentak.

Set minum petang yang disusun kemas tiba di meja bersama pilihan hidangan manis dan savuri yang diinspirasikan daripada cita rasa tempatan.

Di sudut ruang makan, alunan gamelan mula bergema perlahan.

Bukan rakaman audio yang dimainkan melalui pembesar suara, tetapi persembahan secara langsung yang mengisi ruang dengan bunyi yang tenang dan mendamaikan.

Bagi sesetengah pengunjung, ia mungkin sekadar hiburan petang.

Image
TASTE OF MALAYSIA NEW MENU_TASTE OF MALAYSIA

Namun bagi yang lain, ia merupakan satu pengalaman budaya yang semakin sukar ditemui dalam dunia yang bergerak terlalu pantas.

Momen seperti inilah yang menjadikan sesebuah perjalanan lebih bermakna.

Bukan semata-mata tentang apa yang dimakan atau tempat yang dilawati, tetapi tentang pengalaman yang meninggalkan memori.

Dalam banyak cara, Ka Satu Dining sebenarnya mencerminkan Pulau Pinang itu sendiri.

Pelbagai, berwarna-warni dan sentiasa terbuka kepada pengaruh baharu tanpa melupakan akar sejarahnya.

Di sebuah bandar yang telah lama menjadi titik pertemuan dunia, Ka Satu Dining mengingatkan bahawa kadangkala kisah terbaik tentang sesebuah tempat tidak ditemui di muzium atau galeri seni.

Sebaliknya, ia boleh ditemui di sebalik semangkuk sup yang direneh perlahan, sepiring char koay teow yang berasap, atau secawan teh petang yang dinikmati sambil mendengar alunan gamelan.

Dan di George Town, kisah-kisah seperti itu masih terus dihidangkan setiap hari.

Must Watch Video

Advertisement