MALAYSIA
Konflik Thailand-Kemboja: Trump sebut ‘fantastic’ tiga kali, puji peranan Malaysia - PM Anwar

Anwar berkata Trump telah memuji langkah Putrajaya dan menganggap pencapaian gencatan senjata itu sebagai sesuatu yang hebat. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah memperakui peranan yang dimainkan oleh Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, dalam rundingan antara Thailand dan Kemboja, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ringkasan AI
- Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memuji peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dalam rundingan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja, menyifatkan usaha diplomatik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai -fantastic- sebanyak tiga kali dalam perbualan telefon pada 30 Ogos.
- Anwar menjelaskan bahawa kejayaan rundingan tersebut dicapai dalam tempoh singkat hasil kerjasama Kementerian Luar, Angkatan Tentera Malaysia dan kedua-dua pemimpin Thailand dan Kemboja yang hadir ke Putrajaya, menjadikan nama Malaysia disebut di peringkat antarabangsa.
- Susulan kejayaan itu, Menteri Pertahanan Thailand dan Kemboja dijadualkan bertemu di Kuala Lumpur pada Isnin depan bagi memperhalusi pelaksanaan gencatan senjata, sebagai langkah lanjutan ke arah keamanan serantau yang lebih kukuh.
"Pertemuan pertama kurang berjaya, Presiden Trump telefon … negara China cuba … ada kejayaan sedikit. Maka Malaysia, Kementerian Luar, Panglima Angkatan Tentera, semua berusaha... setuju Pemangku Perdana Menteri Thailand dan Perdana Menteri Kemboja datang dan dalam tempoh dua jam setengah … Alhamdulillah tercapai.
"Nama Malaysia harum di dunia, dari Washington ke London... ASEAN orang bicara tentang kejayaan negara Malaysia untuk mempersatukan ASEAN dan mencapai pendamaian dan kemajuan," katanya ketika merasmikan Karnival Mega 3 Dimensi tahun 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Dalam pada itu, Anwar mengumumkan kedua-dua Menteri Pertahanan Thailand dan Kemboja telah bersetuju untuk bertemu di Kuala Lumpur pada Isnin depan memperhalusi gencatan senjata yang dipersetujui.
"Menteri Pertahanan Thailand dan Kemboja nak datang berunding di Kuala Lumpur mulai Isnin untuk mencerakinkan beberapa cara terperinci mengenai keamanan," jelas Anwar lagi.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami