KUALA LUMPUR: Kongres Ekonomi Bumiputera 2024, dianjur selari dengan hasrat kerajaan iaitu pemerkasaan agenda ekonomi Bumiputera yang memerlukan kecerdasan dan paradigma baru, menurut Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau menerusi hantaran di Facebooknya hari ini berkata kongres itu, dianjurkan untuk membincangkan idea kontemporari dan agenda kalis masa, bagi memastikan keterlibatan kaum Bumiputera dalam pelbagai sektor ekonomi dan perindustrian, terus disokong serta diupayakan.

"Tohmahan bahawa kerajaan menggunakan pelbagai kongres sebelum ini untuk mewajarkan perampasan kekayaan negara bagi kepentingan kelompok elit Melayu, adalah keterlaluan.

"Semangat dan aspirasi pelbagai siri kongres sebelum ini ialah untuk mengupayakan penglibatan Melayu dalam pelbagai sektor ekonomi dan perindustrian. Sama sekali bukan untuk mengagihkan kekayaan negara kepada kaum pemodal tertentu dalam kalangan bangsa Melayu," katanya.

Mohamad berkata ini susulan kritikan bernada prejudis yang mula dibuat terhadap kerajaan dan orang Melayu, walaupun kongres itu belum berlangsung.

Kongres itu dijadual berlangsung pada Januari 2024.

Mohamad berkata bangsa Melayu amat terkesan dengan perubahan landskap ekonomi global yang dipacu ledakan teknologi maklumat, sains dan kejuruteraan, selain kesan globalisasi serta konflik antarabangsa mutakhir ini, menggugat kebolehsaingan kaum Bumiputera.

Beliau berkata isu seperti impak perubahan cuaca, krisis makanan, pandemik, kecerdasan buatan (AI) dan kemajuan teknologi kewangan, penting untuk dibahas dan dibincangkan dalam konteks kemajuan bangsa Melayu dan kaum Bumiputera.

"Justeru janganlah terlalu bersangka buruk setiap kali cerdik pandai Melayu berhimpun dan bermuhasabah demi bangsanya. Seperti mana kami semua tidak pernah bersangka buruk dan prejudis pada perhimpunan bangsa lain, untuk membicarakan jalan ke hadapan bangsa mereka," katanya.

Mohamad berkata kerajaan berperanan untuk memastikan potensi setiap bangsa di negara ini dibongkar dan dimajukan secara bertanggungjawab, terutama golongan yang terkebelakang dalam pelbagai sektor ekonomi dan perdagangan.

Beliau berkata semangat itu bakal diterjemah dalam Kongres Melayu akan datang dan tiada siapa akan tertinggal dalam kepesatan dan pemodenan ekonomi Malaysia.

Terdahulu, bekas Naib Presiden MCA Datuk Ti Lian Ker dalam kenyataan, menafikan beliau mempertikai penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputra ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Negara baru-baru ini dan mendakwa kenyataannya diputar belit.

-- BERNAMA