KUALA LUMPUR: Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) tidak harus dijadikan polemik atau dianggap langkah untuk menafikan hak bukan bumiputera.

Menurut Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, kongres itu lebih berpaksikan kepada matlamat utama untuk merangka strategi terbaik bagi mengangkat tahap sosial dan ekonomi yang jelas termaktub dalam Perlembagaan 153.

"Kalau kita lihat statistik yang muktahir oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, sebanyak 70.1% rakyat Malaysia terdiri daripada bumiputera dan bila kita bercakap soal mereka (bumiputera), kita bukan menafikan hak bukan bumiputera.

"Ini kerana kita turut akan fokuskan strategi mengangkat martabat dan agenda rakyat minoriti ini... supaya dapat kita laksanakan dengan benar-benar berkesan.

“Dari awal lagi, Datuk Seri Zahid Hamidi iaitu selaku Pengerusi KEB menyatakan dengan jelas bahawa (kongres) ini tidak harus dilihat dengan pendekatan top down (atas ke bawah) tetapi harus dilihat sebaliknya iaitu down top (bawah ke atas),” katanya.

Beliau berucap pada Simposium KEB 2024 bagi kluster reformasi pendidikan dan modal insan di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Simposium KEB 2024 merupakan program pemanas kepada Kongres Ekonomi Bumiputera yang dijadualkan pada akhir bulan ini iaitu, 29 Februari hingga 2 Mac di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Bertema "Positif, Progresif, Inovatif", KEB 2024 ialah landasan penting dalam mencari jalan lebih serius bagi memperkasakan ekonomi bumiputera khususnya dalam aspek teknologi baharu dan pelan futuristik untuk generasi akan datang.

Antara objektif program kongres tersebut ialah untuk merangka hala tuju dan pendekatan baharu bagi memperkasa ekonomi Bumiputera untuk Kluster 1 iaitu Transformasi Pendidikan dan Modal Insan.

Dijangkakan seramai 5,000 peserta termasuk beberapa pertubuhan bukan kerajaan akan hadir. Selain itu, program itu turut terbuka untuk orang ramai di mana pameran dan juga gerai-gerai usahawan akan dibuka.