Dakwaan Anggota Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang berkata wujud konspirasi antarabangsa untuk menjatuhkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Majlis Syura Ulama, merupakan strategi awal pemilihan pimpinan parti itu tahun depan, kata Prof Madya Dr Shaharuddin Baharuddin.

Dr Shaharuddin berkata, dakwaan tersebut dibuat hanyalah sebagai satu perang psikologi Nik Mohamad Abduh untuk memastikan Abdul Hadi tidak dicabar dalam pemilihan pimpinan PAS tahun depan dan bagi memastikan kumpulan pro-ulama menguasai kepimpinan parti.

"Dakwaan yang dibuat ini tidak ada asas dan fakta yang boleh digunakan untuk menguatkan bahawa ada usaha untuk jatuhkan Hadi dan ulama.

"Ini semua semata-mata kerana tahun depan akan ada pemilihan, jadi teori konspirasi ini hanya perang psikologi untuk memperlihatkan ada pihak yang kononnya jahat dalam PAS.

"Sepatutnya tidak dibuat cara ini, berdebat atau berhujahlah di depan ahli-ahli PAS dengan kumpulan profesional ini supaya ahli dapat menilai yang mana lebih berwawasan," kata kepada Astro AWANI.

Katanya, masalah yang timbul sekarang ini, kumpulan yang dikatakan pro ulama tidak dilihat berani untuk berdebat sebaliknya lebih banyak menggunakan media sosial.

Nik Abduh dalam artikelnya "Islam tanpa syariat" yang disiarkan Harakahdaily ahad lepas mendakwa kuasa besar dunia yang berjaya menjatuhkan negara Islam di Timur Tengah seperti di Syria dan Mesir kini mula mensasarkan serangannya di Malaysia.

Katanya, prinsip PAS yang konsisten berjuang menegakkan agama di dalam negara merimaskan musuh Islam antarabangsa.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan PAS diserang, bermula dengan melemahkan pimpinan utama, sekali gus tidak mahu PAS menjadi parti yang kuat dan mendominasi Pakatan Rakyat.

"Jika anda bertanya, adakah gerakan menjatuhkan Hadi dan memperlekeh Majlis Syura Ulama PAS adalah projek konspirasi musuh Islam antarabangsa? Saya jawab, ya," kata anak Mursyidul Am PAS itu.