Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Pas tidak akan menyokong UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih yang berlangsung ketika ini.

Dr Mahathir berkata pengakuan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu dibuat pada pertemuan mereka di Yayasan Al-Bukhary di sini kira-kira jam 9 pagi pada Jumaat.

“Berkenaan dengan politik. Politik je la. Macam-macam politik. Tentang pihak parti Pas dalam pilihan raya kecil ini tidak akan menyokong parti UMNO

“Tidak akan menyokong UMNO. Tapi ada juga pengakuan secara tertulis dan ditandatangani,” katanya kepada media pada Sabtu.

Beliau sebelum itu menyampaikan ucaptama pada Pesta Demokrasi Kuala Lumpur 2019 anjuran Gerakan Pembaharuan Untuk Asia Tenggara (FORSEA) di sini, pada Sabtu.

Abdul Hadi dalam sidang media di Terengganu pada Jumaat berkata pertemuannya dengan Perdana Menteri adalah bagi membincangkan penyelarasan pentadbiran antara kerajaan negeri dengan Persekutuan.

Beliau berkata, pertemuan itu turut menyentuh mengenai Wang Tunai Petroleum (WTP), Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) dan projek Kerajaan Persekutuan dan Negeri agar tidak wujud sebarang percanggahan.

Abdul Hadi turut menyifatkan pertemuan itu mendapat reaksi positif Dr Mahathir.