KUALA LUMPUR: "Pengumuman rasmi akan dibuat dalam masa terdekat."

Demikian respons yang diberikan Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus sama ada beliau akan dilantik semula sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) selepas kontraknya tamat pada 30 Jun ini.

Enggan mengulas lanjut, Nor Shamsiah bagaimanapun berkata ia satu penghargaan buatnya kerana dapat berkhidmat untuk negara.

"Izinkan saya mengakhiri dengan mengatakan bahawa 'affinity' untuk berkhidmat kepada negara adalah tanggungjawab dan keistimewaan.

"Mari kita biarkan (pengumuman rasmi) sahaja," katanya di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya dalam sidang media pengumuman prestasi ekonomi Malaysia pada suku tahun pertama 2023.

Nor Shamsiah menjadi wanita kedua yang dilantik sebagai Gabenor bank pusat berkuat kuasa 1 Julai 2018 hingga 30 Jun 2023 setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 18 Jun 2018.

Beliau mengambil alih jawatan itu daripada Tan Sri Muhammad Ibrahim yang meletak jawatan pada 15 Jun 2018.

Nor Shamsiah menyertai BNM pada 1987 dan berkhidmat di pelbagai bahagian termasuk perundangan, dan garis panduan sektor kewangan.

Beliau juga terlibat secara langsung dalam mencari penyelesaian krisis kewangan Asia 1998 serta memainkan peranan penting dalam pembentukan Pelan Induk Sektor Kewangan (2001-2010) dan Pelan Hala Tuju Sektor Kewangan (2011-2020).

Selain itu, Nor Shamsiah, 59, merupakan timbalan gabenor BNM dari 2010 hingga 2016.