JASIN: Seorang pemandu lori direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung tragedi kemalangan yang mengakibatkan seorang kontraktor maut ketika sedang menukar tayar kereta di kilometer 179.3 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di Jasin, Melaka pagi semalam.
 
Perintah reman sehingga Jumaat ini terhadap lelaki berusia 37 tahun itu, dikeluarkan Majistret Tan Chai Wei di Mahkamah Jasin di sini pagi tadi.

Terdahulu suspek berpakaian lokap ungu tiba di pekarangan kompleks mahkamah diiringi anggota polis pada jam 9.15 pagi menaiki kenderaan polis.
 

Penahanan suspek bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun dan denda RM20,000.
 
Dalam kejadian jam 9.30 pagi semalam itu, Khaidzir Zainuddin, 59 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak bongsunya parah selepas dirempuh lori ketika sedang menukar tayar kereta mereka.
 
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, anak mangsa, Muhammad Ashraf, 22 tahun, yang patah tulang rusuk dibawa ke Hospital Tangkak, Johor untuk rawatan lanjut.
 
Menurut beliau, sebelum kejadian, kedua-dua beranak terbabit dikatakan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pengerang, Johor sebelum tayar keretanya pancit ketika tiba di lokasi.
 
Perlanggaran itu tambah beliau, menyebabkan lori tunda terbabit melanggar kedua-dua mangsa yang berada di but kereta Mercedes Benz milik mereka menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak ke tepi lebuh raya.