SHAH ALAM: Seorang kontraktor didenda RM30,000 dan satu hari penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan mengemukakan dokumen palsu berhubung kerja baik pulih rumah daif di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) tiga tahun lepas.

Dokumen itu bagi membuat tuntutan bernilai RM73,590 di sebuah agensi kerajaan pada 2021.

Tertuduh Muhammad Hafizul Akmal Hasbulah, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di depan Hakim Datuk Anita Harun.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh menggunakan invois palsu sebagai tulen melibatkan empat syarikat iaitu syarikat Azam Enterprise, syarikat Rezeki SAA Enterprise, syarikat FZ Sinar Resources serta syarikat gabungan IRQHA Resources, untuk tuntutan bayaran kerja-kerja tersebut kepada Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB).

Dia yang merupakan kontraktor bagi syarikat Tuntas Civil Engineering Sdn Bhd milik bapanya, juga mengaku bersalah atas dakwaan memberikan laporan bergambar palsu yang disahkan bukan rumah sebenar bagi syarikat Asri Al Razzaq Enterprise.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Aliff Shaharuzman, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Affendy Mohd Yusop.

Terdahulu, Mohd Aliff memohon hukuman berbentuk pencegahan dan setimpal dikenakan terhadap tertuduh, mengambil kira keseriusan gejala pemalsuan dokumen dalam kalangan masyarakat.

Peguam tertuduh bagaimanapun memohon hukuman ringan, dengan alasan anak guamnya perlu menanggung isteri dan tiga orang anak yang masih kecil, selain Muhammad Hafizul mempunyai sakit belakang yang telah disahkan oleh pegawai perubatan.

"OKT sepanjang beliau dituduh, disiasat telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak pendakwaan, dalam siasatan beliau OKT juga telah insaf atas kesalahan-kesalahan yang dilakukan.

"OKT juga berjanji tidak akan mengulangi kesalahan-kesalahan ini pada masa akan datang, ini merupakan kesalahan pertama dan terakhir beliau dan OKT juga tiada rekod lampau," katanya.

-- BERNAMA