MALAYSIA
Konvoi KMJG semarak cintakan negara dengan kibar Jalur Gemilang

Pengarah JAPEN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Sabarudin Yeop Hamzah (tengah) bersama menyertai para peserta Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) pada Majlis Pelepasan KMJG 2025 hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Suasana hujung minggu di ibu negara hari ini meriah dengan kibaran Jalur Gemilang oleh Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 yang menjelajah ke tiga kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan membawa mesej patriotisme dan perpaduan.
Ringkasan AI
- Konvoi KMJG 2025 meriahkan ibu negara dengan 72 kenderaan dan 103 peserta menjelajah tiga kawasan Parlimen di Kuala Lumpur sambil mengibarkan Jalur Gemilang dan menyebarkan mesej patriotisme.
- Empat lokasi persinggahan utama termasuk TAR UMT, KWC Cheras, IPG Kampus Bahasa Melayu dan McDonald's Pantai Sentral Park, dengan aktiviti pengedaran bendera kecil kepada orang ramai.
- Kempen ini bertujuan menyemarakkan semangat cinta negara menjelang Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, dengan seruan agar setiap rumah mengibarkan sekurang-kurangnya satu Jalur Gemilang.
Empat lokasi persinggahan konvoi ialah di Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT) di Wangsa Maju, KWC Fashion Wholesale di Cheras, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Melayu serta McDonald's Pantai Sentral Park di Lembah Pantai.
Di sepanjang laluan dan hentian itu, konvoi mencuri perhatian orang ramai apabila peserta mengibarkan Jalur Gemilang daripada kenderaan masing-masing selain turut mengedarkan bendera kecil kepada orang ramai.
Sabarudin berkata program jelajah seluruh negara bermula 27 Julai lepas itu adalah sebahagian usaha menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM2025).
"Ini merupakan satu gerakan yang kita buat untuk memastikan rakyat menyedari tanggungjawab mereka untuk mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing. Satu rumah, satu Jalur Gemilang, inilah manifestasi rakyat kita bahawa masa untuk kita sama-sama membuktikan cinta pada tanah air," katanya.
Konvoi itu turut mendapat kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan rakan strategik termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sabarudin berkata mesej utama yang ingin disampaikan melalui konvoi itu ialah kasih sayang rakyat terhadap negara dapat diterjemahkan melalui tindakan mengibarkan Jalur Gemilang.
"Saya harap rakyat di luar sana bersama dengan kita. Lepas ini setiap rumah ada bendera sendiri sebagai terjemahan cinta dan kasih sayang kepada negara," katanya.
Pada 27 Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor sebelum melepaskan Konvoi KMJG 2025 yang akan menjelajah seluruh negara.
Konvoi itu akan melalui 88 hentian iaitu 44 di Semenanjung, Sabah (20), Sarawak (22) serta Wilayah Persekutuan Labuan (2) sebelum dijadual berakhir pada 31 Ogos ini di Dataran Putrajaya, lokasi sambutan Hari Kebangsaan 2025.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami